Info Semasa

3 Sebab Untuk Syarikat Anda Mendapat Pengecualian Audit

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan Arahan Amalan kepada tiga kategori syarikat swasta yang layak mendapat pengecualian audit.

SSM menyenaraikan tiga kategori syarikat swasta yang dikecualikan audit

1. Syarikat tidak aktif
Bagi syarikat tidak aktif, ia layak mendapat pengecualian audit sekiranya tidak aktif dari tarikh pemerbadanan atau tidak aktif sepanjang tahun kewangan semasa dan tahun kewangan terdahulu.

2. Syarikat sifar pendapatan
Syarikat pendapatan sifar pula dikecualikan audit jika tidak mempunyai pendapatan pada tahun kewangan semasa, tiada pendapatan dalam tempoh dua tahun lepas dan jumlah aset dalam Penyata Kedudukan Kewangan (FS) semasa tidak melebihi RM300,000 serta dalam FS dua tahun kewangan yang lepas

3. Syarikat berkelayakan nilai ambang
Syarikat berkelayakan nilai ambang turut dikecualikan audit sekiranya pendapatan tidak melebihi RM100,000 pada tahun kewangan semasa, jumlah aset tidak melebihi RM300,000 dan dalam masa dua tahun kewangan lepas serta tidak melebihi lima pekerja.

Untuk dikecualikan daripada audit, syarikat tersebut perlu menyerahkan satu set lengkap penyata kewangan yang belum diaudit, kenyataan syarikat yang layak mendapat pengecualian audit dan tidak menerima permintaan daripada pemegang saham bahawa audit harus dijalankan untuk tahun tertentu.

Syarikat perlu menyimpan rekod perakaunan dan menyediakan penyata kewangan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Syarikat 2016 dan syarat-syarat tersebut adalah wajib terhadap semua syarikat tanpa mengira sama ada mereka layak untuk pengecualian audit atau sebaliknya

Sehingga 30 Jun 2017, sejumlah 189 kertas siasatan telah dibuka, 32 kes telah selesai dan empat kes pendakwaan terhadap syarikat atau pengarah yang menyalahi undang-undang dengan memberi kenyataan palsu serta mengelirukan.

Pengecualian audit ini memudahkan syarikat kecil mengurangkan kos pematuhan, terutama syarikat yang diuruskan pemilik. – Bernama

Leave a Reply