Info Semasa

Bagaimana Pedofil Mencipta ‘Mangsa Yang Sukarela’

Pertama sekali, apabila membincangkan tentang pedofilia di Malaysia, mungkin ramai dari anda yang tidak tahu maksud yang sebenarnya. Ia sebenarnya sejenis kecelaruan seksual di mana seorang dewasa menjadikan kanak-kanak sebagai objek seks atau berfantasi menjalankan aktiviti seksual dengan kanak-kanak. Individu-individu yang terlibat dalam aktiviti pedofilia dipanggil pedofil.
Untitled-1

Di Malaysia, masih ramai yang tidak memahami aktiviti pedofilia dan aktiviti ‘grooming’ atau mempengaruhi kanak-kanak untuk menjalinkan perhubungan seksual dengan orang dewasa. Untuk pengetahuan anda, kebanyakan pedofil adalah sangat pintar, selalunya mempunyai personaliti yang menarik, bersifat penyabar dan sering dianggap individu yang bernilai dalam masyarakat.


Ini kerana mereka meluangkan banyak masa untuk mempengaruhi ibu bapa, rakan-rakan kanak-kanak di sekeliling mereka, di samping mempengaruhi kanak-kanak itu sendiri. Pedofil biasanya akan memilih kerjaya yang membolehkan mereka mendapat akses dan mendekati kanak-kanak yang mereka ‘igaukan’.

Kemudian, mereka akan ‘mengambil hati’ orang dewasa di sekeliling kanak-kanak itu dengan melakukan kerja-kerja kebajikan secara sukarela dan menjadi individu yang ‘boleh diharapkan’, seorang sahabat yang paling murah hati, seorang jiran yang suka bersedekah atau saudara yang paling digemari.

Mereka akan tampil sebagai individu yang berpenampilan dan berperawakan penuh ikhlas, boleh dipercayai dan ahli komuniti yang berharga. Pedofil juga boleh jadi sangat pintar dalam mengambil hati orang dewasa sehinggakan ibu bapa kepada kanak-kanak yang mereka cabul biasanya akan merasa terkejut atas kenaifan mereka selama ini.

Bagi pedofil, matlamat sebenar mereka ialah membina perhubungan seksual dengan kanak-kanak.

Bahaya yang sebenarnya

Ramai orang mahu percaya bahawa pencabul kanak-kanak ialah orang asing yang menculik kanak-kanak dengan cara mengumpan mereka menggunakan gula-gula. Kita mengajar anak-anak kita untuk berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali, untuk menjerit ‘tak nak!’ atau lari dan cari seorang dewasa yang boleh dipercayai jika didekati orang jahat.

Memang niat kita baik, tetapi sebenarnya kita tidak menyediakan mereka kepada realiti sebenar penderaan seksual kanak-kanak.

Realitinya, pencabul lebih berkemungkinan seorang dewasa yang dipercayai kanak-kanak, dan sentuhan mereka menerbitkan rasa selesa. Mereka mungkin ahli keluarga, rakan-rakan atau jiran, malah guru, jurulatih dan ustaz yang melayan kanak-kanak dengan lebih baik dan mesra berbanding orang dewasa lain, mendengar apa yang dikatakan oleh kanak-kanak dan berusaha untuk memenuhi keperluan emosi, fizikal dan rohani kanak-kanak sebagai cara untuk memenuhi keperluan dan keinginan seksual mereka.

Lebih ‘baik’ penampilan seorang pencabul dan lebih ‘bermasalah’ seorang kanak-kanak, lebih sukar bagi penderaan seksual yang berlaku dikesan dan dipercayai orang ramai.

Proses ‘Grooming’

Grooming ialah satu proses untuk memikat secara romantik, contohnya anda sukakan seseorang–anda pasti berusaha untuk mengetahui apa yang boleh anda tahu tentang orang itu, bagaimana anda boleh berhubung, menghabiskan masa bersama dan akhirnya menjadi intim secara fizikal.

Menurut bekas agen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS), Kenneth Lanning, terdapat lima fasa ‘grooming’:

1) Mengenal pasti mangsa yang berpotensi
2) Mengumpul maklumat mengenai mangsa yang disasarkan
3) Penuhi keperluan mangsa
4) ‘Membiasakan’ mangsa
5) Memulakan penderaan

1) Mengenal pasti mangsa yang berpotensi

Kanak-kanak ialah mangsa yang ideal. Kanak-kanak secara semulajadi bersifat curiga, memerlukan perhatian dan kasih sayang, dan sedang mencuba untuk berdikari. Kanak-kanak dari keluarga yang porak peranda dan bermasalah adalah ‘sasaran yang mudah’.

Jika seorang kanak-kanak merasa lebih tidak disayangi, maka lebih kurang kemungkinan bagi kanak-kanak itu untuk memberitahu orang lain mengenai seorang dewasa yang ‘menyayanginya’ dan lebih kurang kemungkinan untuk orang lain mempercayai kanak-kanak itu jika kanak-kanak itu cuba membuka rahsia. Kanak-kanak yang baru ditangkap mencuri, berbohong atau melakukan kesalahan ialah mangsa yang paling ideal.

2) Mengumpul maklumat mengenai mangsa yang disasarkan

Lebih banyak yang diketahui oleh seorang pencabul tentang mangsanya, maka dia akan boleh mendapatkan kepercayaan ibu bapa mangsa dengan lebih mudah. Dia akan mempelajari bagaimana kanak-kanak itu memberi respon kepada perhatian yang dia berikan, dan memuji.

Dia secara luarannya, akan menunjukkan simpati dan perhatian apabila mangsa mengadu masalah. Dia akan menilai kekuatan dan kelemahan mangsa, memerhati dengan khusus cara mangsa berinteraksi dengan rakan-rakan dan orang dewasa lain. Semua maklumat ini akan digunakan untuk mengawal mangsa dan memanipulasi orang sekeliling mangsa.

3) Penuhi keperluan mangsa

Pencabul akan cuba memenuhi keperluan emosi mangsa dengan menawarkan kasih sayang, persahabatan dan sokongan. Ibu bapa mungkin akan merasa lega kerana anak mereka telah menemui seorang sahabat yang bertanggungjawab, seorang mentor mahupun suri teladan atau merasakan mereka sudah menemui seorang ‘pengasuh’, bergantung kepada umur kanak-kanak itu.

Apabila ibu bapa perlukan sesuatu, pencabul itu pasti menawarkan untuk membantu. Apa saja yang diperlukan atau dimahukan oleh kanak-kanak itu akan diberikan oleh si pencabul tanpa pengetahuan atau kebenaran ibu bapa.

Sesetengah pencabul akan menjalinkan hubungan seksual dengan ibu atau bapa tunggal untuk mendapat akses kepada anak mereka. Lebih tinggi keperluan sesuatu keluarga, dan lebih tinggi kepercayaan terhadap si pencabul, maka lebih kurang kebolehan seorang kanak-kanak mengatakan ‘tidak’.

4. ‘Membiasakan’ mangsa

Setelah kepercayaan diperoleh dalam perhubungan itu, pencabul mungkin akan cuba memberi hadiah dan wang kepada kanak-kanak untuk memerhati sebagus mana kanak-kanak boleh menyimpan rahsia dari ibu bapanya dan membuat kanak-kanak itu merasa ‘istimewa’ dan disayangi.

Pencabul akan mula menunjukkan kasih sayang, menakluki ruang peribadi kanak-kanak termasuk memeluk, mencium, menyentuh tangan, bahu atau kaki mangsa dan tersentuh anggota sulit mangsa ‘secara tidak sengaja’.

5. Memulakan penderaan

Semakin lama, ‘tersentuh’ anggota sulit mangsa akan menjadi lebih serius dan melibatkan pengakuan cinta atau mengisyaratkan keinginan seksual.

Pada masa sentuhan sudah melebihi batasan yang jelas, kanak-kanak mungkin merasa takut akan ditinggalkan oleh pencabul jika dia membantah, atau merasa terlalu malu dengan bahagian badannya ‘yang terlalu menarik perhatian’ untuk memberitahu orang lain.

Apatah lagi, keintiman secara fizikal memang menimbulkan rasa seronok. Adalah sangat semulajadi bagi seorang kanak-kanak untuk mahukan keintiman fizikal ini atau menikmatinya.

Memalukan dan menyalahkan

Kebolehan seorang pencabul dewasa untuk berbohong, membesarkan cerita, memperkecilkan cerita, merasionalkan dan memanipulasi orang lain adalah lebih besar dari kebolehan seorang kanak-kanak untuk mengatasi ketakutan dan emosinya serta berfikir secara rasional tentang pencabulnya.

Apabila seorang kanak-kanak terikat secara emosional dengan dengan seorang pencabul, dia akan rasa bertanggungjawab kepada pencabul itu. Malah, kanak-kanak tersebut mungkin mempercayai yang dia juga sama bersalah dengan pencabul itu terhadap penderaan seksual yang dialami.

Pada masa ini, manipulasi psikologi oleh pencabul mungkin bertukar dari positif kepada negatif. Pujian-pujian yang diberi oleh pencabul sebelum ini mungkin bertukar kepada kritikan atau mangsa mungkin tidak lagi diendahkan. Mangsa mungkin lebih banyak menerima ugutan berbanding ucapan sayang.

Melindungi kanak-kanak

Dalam kes grooming, apa yang kita sering ajar kanak-kanak tentang penderaan seksual menyebabkan mereka lebih rasa malu dan bersalah dari menggalakkan mereka untuk menyedari sesuatu yang salah telah berlaku dan mendorong mereka untuk memberitahu perkara sebenar.

Pada tahap mana mereka patut mengatakan ‘tidak’? Kepada siapa hendak diberitahu? Ia sangat menakutkan untuk ibu bapa–walaupun ibu bapa yang bagus. Tidak menghairankan, ramai yang memilih untuk mendiamkan diri dan berpura-pura penderaan seksual terhadap anak meraka tidak pernah berlaku dan tidak akan berlaku. Bagaimana ibu bapa nak melindungi anak mereka?

Kesedaran ialah langkah pertama. Langkah kedua ialah memfokuskan tenaga kita untuk memberi kasih sayang kepada anak-anak berbanding merasa takut terhadap pemangsa yang berpotensi.

Beri teladan mengenai batasan fizikal dan emosi yang sihat kepada anak, dan asuh anak mengenai apa yang sepatutnya sulit dan apa yang tidak.

Tunjukkan pada anak-anak anda boleh bercakap dengan mereka tentang apa saja. Ajar mereka untuk mengetahui beza antara ‘kejutan yang menyeronokkan’ dengan ‘rahsia’ dan beritahu mereka rumah ialah tempat yang selamat untuk bercakap tentang rahsia.

Kanak-kanak yang merasakan kasih sayang tanpa syarat dari ibu bapa dan merasa selamat di rumah sendiri akan membina kebolehan dalaman untuk menganggarkan tahap perhubungan serta batasan yang wajar antara orang dewasa dan kanak-kanak.

Itulah pertahanan terbaik kita ada untuk melawan ‘pemangsa’ yang memilih mangsa untuk ‘grooming’.-amazingnara.com

Sumber: NAASCA


Comments 1

  1. nana

    ada cara nk mengelak benda mcm ni. pertama… ibu bapa kena ingat yg anak2 ssh nk menipu atau x pandai menipu perkara yg memboleh menyebabkan trauma. ajar anak2 apa tu pencabulan…pantau aktiviti anak2 dan dgn sapa anak selalu meluangkan masa. bler anak nk tido tanya apa yg anak lakukan pada hari tu. jgn beri kuasa pd org yg mencabuli kanak2 walaupon org tu yg kita hormat sbb ramai kunci mulut sebab malu dan takot merosakkan masa depan pencabul.

Leave a Reply