Info Semasa, Kejam, Pelik, Viral

Bom Jenis IED Dilekatkan Pada Kereta Jururawat Di Klang

Seorang jururawat berusia 27 tahun terkejut selepas menemui sejenis bom buatan sendiri yang dilekatkan pada keretanya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kapar sekitar jam 10 malam Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga secara tiba-tiba terdengar bunyi pelik pada bahagian belakang kenderaannya.

“Bimbang dengan keadaan itu, mangsa kemudiannya singgah di rumah bapa saudaranya di Taman Damai, Kapar untuk meminta bantuan memeriksa kenderaannya itu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, bapa saudaranya turut terkejut apabila menemui sejenis objek yang diubahsuai seperti bahan letupan dilekatkan pada bahagian bumper belakang kereta mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa segera menghubungi polis dan sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari IPK Selangor tiba di lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan adalah peranti letupan atau dikenali Improvised Explosive Device (IED).

“Bahan itu boleh menyebabkan letupan kecil dan mungkin juga boleh meragut nyawa mangsa,” katanya hari semalam.

Beliau berkata, ekoran itu, UPB telah memusnahkan bahan letupan menyerupai bom itu di kawasan padang bola bersebelahan Balai Polis Kapar dengan menggunakan robot pemusnah bom (TEODOR) sekitar jam 2.30 pagi semalam.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Letupan 1957.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply