Info Semasa, Takut, tempat

Bongkah Ais Sebesar London Hanyut Daripada Rak Ais Di Antartika Kerana Masalah Pemanasan Global

Data dari satelit baru-baru ini mengesahkan yang satu bongkah ais gergasi seberat 3 trilion tan, sebesar 5,800 kilometer persegi, telah ‘dilahirkan’ apabila satu seksyen daripada rak ais Larsen C terpisah di Antartika.

Bongkah ais bersaiz gergasi itu dikatakan bersaiz 2 kali ganda Luxembourg atau sebesar kota London dan kini sedang hanyut ke Laut Weddell.

Bongkah ais seberat 3 trilion tan itu sudah mula merekah sejak beberapa bulan yang lalu dan kini sudah berpisah dari Larsen C sejak pagi Rabu semalam setelah para saintis mengesahkannya melalui imej satelit.

Rak ais Larsen C kini menjadi 12% lebih kecil di kawasan tersebut setelah ketulan bongkah ais gergasi itu mula hanyut – para penyelidik mengatakan fenomena ini mengubah landskap benua Antartika dan Larsen C dicatatkan bacaan paling kecil setakat ini.

Para saintis juga mengatakan bahawa tidak mungkin sama sekali yang Larsen C ini akan pulih sepenuhnya seperti sedia kala setelah kehilangan 12% daripada kapasiti asalnya.

“Ianya satu kejadian yang besar dari segi bongkah ais yang hanyut,” kata Anna Hogg, seorang pakar dalam pemantauan satelit glasier dari University of Leeds.

Pada saiz 5,800 kilometer persegi, bongkah ais baru yang diberi nama A68 ini adalah separuh daripada rekod bongkah ais hanyut yang pernah dicatatkan, B15. B15 terpisah daripada rak ais Ross pada tahun 2000, dan tidak disangkal bahawa A68 ini memasuki rekod antara bongkah ais hanyut terbesar pernah dicatatkan.

Pecahan bongkah ais ini dikatakan berkaitan dengan pemanasan global yang semakin teruk akibat aktiviti manusia yang mencemarkan alam sekitar seperti pembakaran terbuka secara meluas, penebangan pokok yang berleluasa, dan juga industri moden seperti logam dan bahan api yang menipiskan lapisan ozon di langit.

Semoga kejadian seperti ini menjadi iktibar kepada industri-industri di dunia agar mula menceburi bidang kuasa alternatif bagi memastikan Bumi dalam keadaan sihat agar generasi akan datang dapat menikmati keindahan alam.

Leave a Reply