Inspirasi

Bosan Jadi Siswazah Menganggur, Gadis Ini Kini Kerja Sebagai Pembantu Rumah Sambilan

Apabila Siti Nursyazalina Zailani tamat pengajian sebegai jurutera bahan, dia mencuba selama beberapa bulan untuk mendapatkan pekerjaan.
Maideasy_AN
Selepas ditolak beberapa permohonan, dia memutuskan untuk tidak menunggu lagi dan mula bekerja sebagai seorang pekerja pembersih domestik dengan agensi Maideasy.  Ibu Nursyazalina ialah seorang ibu tunggal dan Nursyazalina ingin membantu mengurangkan beban kos kehidupan tinggi yang ditanggung ibunya. Katanya kepada The Malaysian Insight:

Saya tertarik untuk menjalankan pekerjaan ini kerana jam bertugas fleksibel, dan jika saya rajin, saya boleh bawa pulang sehingga RM 2,000 sebulan atau lebih.

Saya tiada masa nak memilih kerja kerana saya datang dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk cari kerja dan tolong ibu saya.

Nursyazalina berkata dia dibayar RM 80 untuk setiap rumah yang dibersihkannya. Tugasnya termasuk mengemas, mengemop dan mencuci tandas. Agensi mengambil RM 20 sebagai komisyen bagi setiap tugasan yang diambilnya.

Saya dibayar untuk bekerja lapan jam sehari, lima hari seminggu, dan saya boleh menerima pendapatan sama sebagai graduan universiti, jika tidak lebih dari itu.

Adik perempuannya, Siti Nurdiyana, 21, sedang belajar untuk persijilan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Intec, Shah Alam kini menyertai Nursyazalina di Maideasy.

Tak malu

Menurut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idsris Jusoh,  54,867 atau 23.9% dari 228,568 graduan universiti seluruh negara pada tahun 2015 tidak berjaya mencari pekerjaan dalam tempoh tiga bulan setelah tarikh upacara konvokesyen mereka.

Saat jumlah penganggur dan graduan yang menanggung hutang belajar semakin meningkat, makin ramai memilih membuat pekerjaan yang biasanya mereka tidak terfikir akan lakukan.

Nurdiyana memberitahu dia tidak peduli dengan stigma yang terkait dengan kerja-kerja domestik yang biasanya dilakukan warga asing. Dia berkata, ia pekerjaan halal dan apa yang penting dia mempunyai pekerjaan dan pendapatan. Katanya:

Ramai yang tanya, tak rasa geli ke bersihkan rumah orang lain?

Bagi saya, jika nak kerja, tak payah fikir atau peduli apa orang kata.

Kami bukannya buat apa-apa kesalahan.

Nursyazlina berkata dia tak pernah rasa malu dengan kerja yang dilakukannya, tetapi mengakui rasa kurang selesa bila pelanggan menyatakan rasa terkejut apabila mengetahui dia seorang siswazah.

Bila mereka berkomunikasi dengan saya dalam bahasa Inggeris, kadang kala mereka terkejut dan tanya mengapa saya punya penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

Mereka tak sangka saya memiliki ijazah, dan tanya macam-macam soalan, contohnya kenapa saya kerja bersihkan rumah orang?

Tak popular di kalangan orang tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif Maideasy, Azrul Rahim berkata, meyakinkan orang tempatan untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan domestik pada mulanya sangat mencabar, kerana ia menawarkan perkhidmatan pembersihan yang dilakukan sepenuhnya oleh krew warganegara Malaysia.

Untuk membawa rakyat Malaysia bekerja sebagai pembantu rumah pada mulanya sangat susah. Saya terpaksa merayu mereka untuk bekerja dengan saya.

Tetapi lama-kelamaan, ramai yang ingin bekerja bila mereka tahu yang ia boleh menjana sehingga dua atau tiga kali lebih pendapatan dari bekerja di restoran makanan segera.

Antara sebab syarikatnya tidak menggunakan warga asing kerana proses mengupah mereka lebih kompleks dan kos pula tinggi. Dia juga tidak sanggup mengambil risiko mengupah pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen kerja sah.

Syarikat itu yang mula beroperasi sejak 2015 melatih krew pembersihannya selama tiga bulan sebelum mula bekerja di rumah-rumah.

Latihan yang diberi termasuk teknik pembersihan, kemahiran komunikasi dan bagaimana mengendalikan pelanggan.

Azrul memberitahu terdapat peningkatan pada jumlah pelajar universiti yang berkhidmat untuk Maideasy:

Kebanyakan pelajar universiti lebih gemar bekerja di outlet makanan segera. Kami mempunyai krew pembersihan yang terdiri dari mahasiswa.

Mereka rahsiakan pembabitan mereka, tak nak orang lain tahu. Kini, main ramai yang jadi pekerja pembersihan domestik dan ajak kawan-kawan ikut bekerja.

Azrul berkata, walaupun stigma yang terkait dengan kerja sebagai pembantu rumah semakin lenyap, maklumbalas terhadap seruannya untuk mengupah lebih ramai krew pembersihan masih perlahan.

Cabaran utama kami ialah untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap jenis kerja sebegini.

Mereka tak pernah dengar rakyat Malaysia bekerja sebagai pembantu rumah sambilan. Biasanya, hanya warga asing atau pendatang asing tanpa izin yang lakukannya.

Sumber: The Malaysian Insight


Leave a Reply