Travel

Dengan Bajet Tak Sampai RM2,500, Semua Boleh Travel Ke Maldives Selama 4 Hari 3 Malam!

Sebenarnya dah lama tak mengembara ke dunia luar. Pergi melancong bukan sekadar pergi merehatkan diri dari kesibukan bekerja, malah nak nikmati keindahan alam ciptaan yang maha Esa.
Korang pun sama juga kan , bila nak hilangkan rasa stress tu, pasti nak melancong juga lah. Hehe. Terlalu banyak tempat menarik untuk diterokai. Baru-baru ni penulis merehatkan diri terbang jauh ke Maldives dengan Air Asia. Alhamdulillah.


Hari Pertama!

Penerbangan ke Maldives dengan menaiki pesawat AirAsia dari KLIA2. Penerbangan secara terus dari Kuala Lumpur ke Maldives memang ada. Penulis cadangkan booking tiket masa tengah promosi. Dapat murah beb! Kos tiket penulis sekitar RM599 termasuk tiket pergi balik. Murah lah kan? Hehe.

Tempoh penerbangan dari Kuala Lumpur ke Maldives sekitar 3 jam 45 minit. Nilai tukaran wang mereka berbeza sikit. Korang perlu tukar duit Malaysia ke USD siap-siap. Sebab kat Malaysia tak boleh tukar duit MVR.

Sampai kat sana, terus beli sim internet. Hidup tanpa internet boleh stress woo! Tak galakkan jika korang bercadang nak buat roaming gunakan data tempatan sebab mahal. Jimatkan duit korang tu, beli sim internet bila tiba di Male.

Sim internet apa laju?

Penulis menggunakan data dari Dhiraguu. Internetnya pantas mencapai kelajuan 4G. Haha. Memang laju. Pakej internet yang ada dari 5GB,8GB dan 15GB. Kalau korang berada di Maldives sekitar 4/5 hari, data 5GB atau 8GB dah cukup banyak. Jimat-jimatlah sikit. Pergi bercuti. Hehe. Dah beli sim internet, penulis terus gerak ke hotel budget di Hulhumale. Tak jauh mana pun dari airport ke Hulmale hanya 10 minit sahaja. Nama tempat penulis bermalam tu adalah Dream Relax Hotel.

Biasanya Pihak Hotel akan ambil pelancong di airport dan bawa terus ke tempat penginapan.

Kos bermalam di Dream Relax Hotel ini USD60(RM270) untuk 1 malam. Lepas dah selesai check in hotel, makan lah. Tunggu apa lagi kan. Perut lapar weh! Jangan risau, kat sini makanan memang halal. Semua tahu Maldives adalah negara Islam. Makan malam sekitar USD5(RM22.50).

Hari Kedua Di Maldives, Yeah!

Penulis bergerak ke destinasi berikutnya untuk menikmati keindahan negara Maldives. Sebelum meneruskan perjalanan yang cukup panjang, kena amik bersarapan pagi dahulu. Sarapan PERCUMA je sebab dah termasuk sekali dengan kos penginapan.

Untuk ke Rashdoo Island, korang ambil speed boat. Kos sekali naik speed boat ni berharga USD40(RM180) seorang. Sebagai altenatif lain, boleh juga naik public ferry sebab makan masa yang panjang. Kos USD3(RM12.83) sehala. Tempoh perjalanan dari airport hingga sampai ke Rashdoo Island selama 1 jam. Kalau rasa nak tidur, silakan. Angin pun sedap sepoi-sepoi Bahasa.

Bila sampai kat Rashdoo Island, terus check in ke Holiday Garden Rashdoo. Kos USD70(RM315) untuk satu malam. Makan tengah hari, harga tak termasuk sekali. Kos makan tengah hari sekitar USD10(RM45) seorang.

Kemudian penulis naik bot untuk ke Sandbank pula. Sandbank cukup terkenal tempat mandi manda yang agak private. Antara aktiviti lain boleh buat snorkelling dan tengok sunset lewat petang. Kos untuk aktiviti ini dalam USD15(RM67.50) seorang.

Untuk penggemar aktiviti snorkelling boleh bersnorkelling kat sini. Korang yang baru nak belajar pun boleh cuba. Senang je!

Dah puas mandi manda kat pantai, bersnorkeling dan tengokt sunset, balik hotel nak rehatkan badan dan nikmati makan malam. Perut pasti rasa lapar punya. Hehe. Harga makan malam dalam USD15(RM67.50) seorang.

Waktu malam tak tahu nak buat apa? Pergilah jalan-jalan tepi pantai sambal tengok bintang. Cantik weh!

Hari Ketiga, Enjoy Lagi!

Penulis teruskan dengan aktiviti yang lain. Tak sabra sebenarnya. Haha. Bangun je pagi terus sarapan. Kos PERCUMA kerana harga dah termasuk sekali dengan harga bilik.
Lepas tu jalan-jalan jap sekitar Rashdoo Island tengok keliling. Boleh tengok keadaan sekitar dan gaya hidup orang kat sini.

Macam-macam kemudahan asas ada seperti hospital, bank, balai polis dan sekolah. Cukup sempurna kemudahan yang ada termasuklah wujudnya kedai runcit. Kebanyakannya barang yang dijual kat sini seperti jajan sama seperti di Malaysia. Cuma harga agak mahal sikit.

Dah puas jalan-jalan sekitar Rashdoo Island, penulis check in kat Rashdoo Shallow Lagoon. Tak jauh sangat dari yang sebelum ini. Dalam 100 meter dah boleh sampai. Hehe. Kos bermalam disini berharga USD70(RM315) semalam.

Tak lama lepas tu bersiap nak buat snorkelling safari! Bezanya snorkelling safari ini, boleh ke tengah lautan biru Maldives. Lihat macam-macam hidupan laut dengan lebih dekat. Jika bernasib baik, dapatlah tengok penyu besar. Haa!

Bila dah seronok sangat buat aktiviti tengok hidupan laut dalam, perut dah tentu rasa lapar. Balik ke hotel untuk menikmati makan tengah hari. Kos dalam USD10(RM45) seorang. Kat sini ada Sun Desk, Boleh berenang ke situ untuk amik gambar. Air setakat paras dada je.

Jika cuaca baik, boleh tengok dolphin berenang secara depan mata dan nikmati sunset cruise. Harga untuk keduanya dalam USD55(RM247.50) seorang. Dah puas selfie kat Sun Desk, balik hotel rehat dan makan! Kos makan malam USD15(RM67.50) seorang.

Hari Terakhir, Dah Nak Balik..

Dalam jam 8-9 pagi tu ambil sarapan. Tiada caj tambahan untuk sarapan ni kerana dah termasuk dengan bayaran bilik. Lepas je habis bersarapan, sambung berenang di tepi pantai atau buat aktiviti snorkelling lagi. Enjoy lah sepuas hati sebelum balik. Haha.

Dah puas lepas geram buat aktiviti air, pulang ke hotel untuk makan tengah hari. Harganya cuma USD10(RM45). Dah siap packing barang-barang, penulis ambil speed boat untuk ke Male City. Kos USD40(RM180).

Setibanya di Male City, penulis diberi peluang oleh All H Maldives melawat tempat Seaplan beroperasi dan jalan-jalan tempat menarik di Hulhumale. melawat kejaplah sekitar bandar Maldives. Rugi datang jauh tapi tak nak tengok bandar Maldives. Kat sini, korang boleh lihat suasana bandar termasuklah ke Grand Friday Mosque, National Museum, Jumhooree Maidan dan Fish Market.

Dah puas pusing keliling bandar Maldives, penulis singgah makan malam kat restauran Male.

Walau sekadar makan burger ayam, dagingnya segar dan kenyal. Kenyang perut! Kos makan malam kat sini dalam USD20(RM90) seorang. Berbaloi dengan kualiti makanan. Selesai je makan malam, penulis ke airport ambil penerbangan pulang ke Malaysia. Walau dalam keadaan penat, layan je. Dalam kapal terbang boleh tidurkan. Haha!

Pada korang yang belum lagi datang ke Maldives, jika ada kesempatan waktu atau rezeki yang lebih, boleh datang ke sini. Ambil masa untuk berehat seketika dari kesibukan bekerja. Bajet memang tak sampai RM2,500/pax. Jimat!

Maklumat penting perlu tahu sebelum ke Maldives :

1. Waktu di Maldives 3 jam lewat berbanding waktu di Malaysia

2. Tukar matawang USD siap-siap. Sampai je airport Maldives, tukar terus ke matawang Rufia. Pastikan resit disimpan. So, boleh tukar balik ke USD sebelum balik ke Malaysia.

3. Sim data internet boleh beli di airport Maldives. Pilih kedai Dhiraguu. Network mantap 4G! Kat pulau nanti pun, boleh layari internet dengan senang hati.

4. Bila sampai di Guest House, jimatkan data internet korang tu. Gunakan internet percuma kat sana. Boleh tanya password. Diorang tak kedekut. Tanya baik-baiklah walaupun korang dah kepenatan. Hehe. Jadi, data internet tu boleh dijimatkan. Tak membazir.

5. Di Maldives, duit USD dan Rufiya sahaja yang diterima.

6. Di Guest House, korang akan dilayan seperti VIP. Orang disana memang peramah. Jadi bila orang dah berbudi, kita berbahasa.

7. Kebanyakannya fasih berbahasa inggeris. Tak perlu fluent sangat, tahu yang asas je pun da cukup.

8. Makanan di Guest House sangatlah healthy. Sepanjang admin berada disana, tiada jumpa pun makanan yang berminyak sangat. Kebanyakannya kering dan sihat. Antara makanan yang admin makan seperti roti,sosej,macaroni, nasi goreng, ikan tuna. Air lebih kepada jus namun dorang juga akan beri air mineral. Air mineral memang banyak dorang kasi. Ambil je.

9. Bila bersantai di Guest House, boleh minta coffee. Samaada Milk Coffee atau Black Coffee. Admin suka milk coffee. Sedap!

10. Setiap kali hidangan sarapan,makan tengah hari dan makan malam, akan disediakan sekali buah sebagai pencuci mulut. Bestkan? Hehe.

11. Jika nak ke Maldives, terutamanya ke Rashdoo Island, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya 2bulan awal kerana memang ramai pelancong datang ke sana.

12. Seeloknya dari Malaysia, korang buat tempahan siap-siap. Beritahu berapa pax yang nak datang. Aktiviti pula boleh pilih secara “customize”. Pembayaran boleh dibuat sejurus sampai kesana.

Kat bawah ini penulis sediakan rujukan pada yang bercadang datang ke Maldives. Boleh hubungi mereka untuk membuat sebarang tempahan atau pertanyaan lanjut mengenai pakej-pakej yang ada.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Maldives Getaways sebab bantu uruskan penginapan sepanjang berada di Rashdoo Island. Layanan tiptop!

Keseluruhannya, boleh je datang Maldives selama 4 hari 3 malam termasuk makan dan minum tak sampai RM2500/pax seperti yang dah diberitahu kat atas tadi. Tak mencecah RM3000 pun kan. Berbaloi weh.

Harga tiket flight subjektif. Kos tiket dalam RM599(return flight). Maksudnya, kena tempah awal-awal atau pun ketika ada promosi. AirAsia menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Maldives dan Maldives ke Kuala Lumpur. Sesiapa pun boleh terbang ke destinasi menarik dengan harga yang cukup berbaloi.

Happy travel!

Leave a Reply