Info Semasa, Manusia, Viral

Enam Sekeluarga ‘Berumah’ Di Bawah Jejambat

Enam sekeluarga terpaksa tinggal di bawah jejambat di Pandan Perdana dekat Cheras dengan bertemankan sebuah khemah, dapur memasak dan beberapa barangan peribadi mereka sejak dua bulan lalu.

Jeffry Husin, 41, dan keluarganya diusir keluar dari rumah mereka di flat kos rendah di sini selepas gagal membayar sewa untuk tempoh dua bulan.

Jeffry, isterinya Siti Nor Sazila Zakaria, 30, dan empat anak mereka, Siti Nurfadhilah, 8, Siti Nurfatihah, 6, Nur Farisha Alesha, 4, dan Nur Cahaya Ada*wiyah berusia sembilan bulan tinggal di flat tersebut sejak 11 tahun lalu.

“Saya tidak dapat membayar sewa, jadi saya mahu bayar RM200 dahulu tetapi tuan rumah enggan menerimanya,” kata Jeffry yang melakukan kerja rencam seperti menjual barangan kitar semula selepas tidak lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan setahun yang lalu.

Dia terpaksa berhenti kerja selepas kecederaan lama pada tulang belakang akibat terjatuh pada 2006 bertambah teruk dan menjejaskan kesihatannya.

Dia mendakwa tuan rumah pergi ke rumah tersebut hampir setiap hari sebelum mereka diusir.

“Dia akan menjerit kepada kami dan menyebut nama kami,” kata Jeffry.

Dia berkata anak bongsunya sering mengalami demam sejak mereka tinggal di bawah jejambat itu.

Jeffry berkata dia dan keluarganya kini hidup dihantui perasaan malu memandangkan jejambat itu dekat dengan flat yang pernah didiami mereka sebelum ini.

“Ia amat memalukan setiap kali kami melalui kawasan flat itu,” katanya.

Dia berkata mereka sekeluarga akan masak dan makan di bawah jejambat tersebut tetapi keempat-empat anaknya akan tidur di rumah adiknya pada sebelah malam.

Pengerusi MCA Pandan, Datuk Leong Kok Wee melawat Jeffry dan keluarganya pada Khamis dan mendermakan wang serta barangan keperluan untuk mereka.

Kok Wee berkata beliau telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyakarat (JKM) yang memberi jaminan akan mencari tempat berteduh bagi keluarga tersebut.

Seorang penderma, Danny Sum turut menyerahkan sejumlah wang kepada keluarga itu dan akan menawarkan pekerjaan kepada Jeffry sebaik sahaja dia mendapat tempat tinggal. – mStar Online

Comments 1

  1. Anonymous

    KELUARGA TINGGAL DI BAWAH JAMBATAN TELAH DIBANTU OLEH LEMBAGA ZAKAT SELANGOR seperti dilaporkan oleh The Star Online

    Kenapa orang kita cepat menghukum atas salah orang lain tanpa usul periksa?

    Apa peranan masyarakat/kejiranan dalam situasi begini?bantu dengan saluran yang betul?atau hanya pandai mencari salah?

    Berikut adalah laporan dari Lembaga Zakat Selangor:

    BANTU KELUARGA TINGGAL BAWAH JAMBATAN

    Pandan Perdana , Ampang. Hari ini, 18 Mei, Zakat Selangor mendapat maklumat tentang keadaan sebuah keluarga yang tinggal di tepi highway di bawah jejambat MRR2 laluan Pandan Perdana.

    Pihak kami terus bergegas ke lokasi yang dimaklumkan dan mendapati terdapat sebuah keluarga tinggal di situ bersama anak-anak kecil.

    Siasatan mendapati keluarga Jefri Hussin (41 tahun) disuruh keluar oleh tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa yang didiaminya di Pandan Perdana.

    Jefri yang bekerja di Pasar Karat KL bersama adik iparnya yang sebelum ini bekerja sebagai sekuriti telah dibuang kerja sejak berapa bulan lalu. Perkara ini membuatkan mereka sekeluarga tidak mampu membayar sewa rumah yang tertunggak dan terpaksa tinggal di bawah jejambat hampir tiga minggu.

    Jefri juga tidak mmpu melakukan pekerjaan berat kerana dia pernah mengalami kemalangan menyebabkan tangannya lemah dibahagian kiri. Pasangannya sazila , tidak bekerja menanggung 4 orang anak iaitu Nur Fadilah (8 tahun), Nurfatehah (6 tahun), Juliana (4 tahun) dan Nur Cahaya (9 bulan).

    Turut tinggal di situ adalah adik iparnya Roslan Abd rahman (40 tahun) dan pasangannya Nuriana. (39 tahun) yang tidak bekerja.

    Kami akan membantu untuk membiayai deposit sewa rumah serta bantuan sewa rumah bulanan sementara keluarganya memperolehi pekerjaan. Turut akan dibantu ialah bantuan pendidikan bagi anaknya dan bantuan kecemasan bagi permulaan bekerja.

    Semoga bantuan daripada Zakat Selangor ini akan meringankan bebanan hidup mereka.

    #zakat
    Cc: BeautifulNara.com pun bukan main dia punya tajuk

Leave a Reply