Uncategorized

Feri Pulau Pinang Akan Dinamakan rapidFerry Tidak Lama Lagi! Bakal Diambil Alih Prasarana

Jika bercakap tentang perjalanan ke Pulau Pinang, pasti kita biasa dengar tentang makanan yang popular untuk dimakan, atau lokasi yang mendapat perhatian orang ramai. Tetapi berapa banyak kali kita dengar tentang perjalanan ke Pulau Pinang menggunakan servis feri?

Bagi mereka dari generasi yang sebelum ini, kita mungkin ingat perjalanan ke Pulau Pinang dengan menggunakan khidmat feri yang membawa kereta keluarga untuk menyeberang ke sana.

Mungkin anda ada terdengar, servis feri yang hampir dilupakan di Pulau Pinang akan diambil alih oleh Prasarana Malaysia Bhd, satu agensi pengangkutan awam kerajaan Malaysia yang turut bertanggungjawab ke atas servis bas, LRT dan monorel yang kita gunakan setiap hari.

Servis feri yang ikonik di Pulau Pinang ini bakal dijual kepada Prasarana Malaysia Bhd dengan jumlah harga RM1!

Menurut Star Online, Penang Port Sdn Bhd (PPSB), syarikat yang dimiliki oleh Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary, akan membayar jumlah wang tahunan yang besar kepada Prasarana dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan perkhidmatan feri itu merupakan perniagaan yang merugikan.

Laporan itu turut menerangkan bahawa sejak pembukaan Jambatan Pulau Pinang pada tahun 1985, setiap feri mengalami kerugian RM700 bagi setiap perjalanan.

Laporan itu turut mengatakan bahawa Kementerian Pengangkutan menolak cadangan PPSB untuk menghapuskan servis feri selepas dua hingga tahun dibeli oleh agensi terbabit.

“Terlalu banyak nilai pelancongan dan warisan dalam servis feri Pulau Pinang,” menurut sumber.

Penang Port Commission (PPC), pengawal selia Pelabuhan Pulau Pinang memberitahu akhbar tersebut yang perjanjian sudah muktamad dan sedang menunggu kelulusan kabinet.

“Memandangkan ramai pengunjung yang datang ke Pulau Pinang gemar menaiki feri, Prasarana akan mencari jalan untuk menaiktaraf perkhidmatan ini untuk mereka,” katanya.

Laporan mengatakan pemilik baru PPSB berharap agar syarikat itu boleh disenaraikan dalam Bursa Saham tetapi terpaksa mengundur diri kerana kerugian di atas servis feri.

Berdasarkan satu video montaj dalam Facebook Prasarana, servis feri ini bakal digelar ‘rapidFerry’.

Buat masa sekarang, Pelabuhan Pulau Pinang ini mengendalikan rangkaian tujuh feri. 2 feri terakhir mula beroperasi pada tahun 2002 manakala 2 feri paling lama sudah mula beroperasi sejak 1975.

Servis feri di Pulau Pinang ini sudahpun mula beroperasi sejak tahun 1920 lagi.

MalaysiaKini

Leave a Reply