Viral

“Kenapa Allah SWT Patahkan Motosikal? Kenapa Allah Tak Patahkan Kamu?’ – Bapa

Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sebagai bapa, mengenai insiden yang menimpa anak lelaki saya baru-baru ini. Mungkin juga ini boleh diambil sebagai pengajaran terhadap adik-adik remaja agar mematuhi larangan/nasihat ibu bapa.

Saya ada seorang anak lelaki yang baru-baru ini tamat SPM. Sewaktu dia masih bersekolah, dia selalu menggunakan kenderaan saya baik motosikal atau kereta tanpa izin.

Motosikal saya izinkan tetapi hanya di sekitar kawasan taman perumahan sahaja. Kereta, saya haramkan langsung. Ada berlaku kes yang dia curi-curi menggunakan kereta, tetapi dia akan kantoi dengan saya melalui adik-adiknya dan sudah tentu dia akan kena. Saya tidak benarkan sehingga dia ada lesen.

Saya mengenakan kawalan yang ketat untuk keluar rumah. Kemana, di mana, dengan siapa dan berapa lama? Jika tanpa izin saya atau ibunya, maka saya akan menjerit dan dia akan makan penyakit. Saya tahu kawan-kawannya tidak sukakan saya kerana kawalan yang saya kenakan terhadap anak saya.

Selepas tamat SPM dan usianya layak untuk memohon lesen memandu, saya sendiri yang menghantar dan mendaftarkannya di sekolah memandu.

Selepas tamat sekolah, dia rasa dia dah dewasa dan boleh bebas, boleh keluar dengan kawan-kawan atau keluar malam. Sekarang, saya haramkan dia dari terus keluar malam melainkan ada perkara-perkara tertentu dan dengan izin saya.

Saya tahu dia tidak sukakan saya sekarang, cuma dia jenis yang bukan melawan dan hanya memendam sendirian. Tetapi saya nak peduli apa? Saya beri dua pilihan sahaja kepada dia.

Nak hidup dengan saya, maka kena ikut cara dan didikan saya.

Jika mahukan kebebasan, saya boleh lepaskan tanggungjawab sebagai bapa dan kamu boleh bungkus kain baju serta keluar dari rumah ini untuk hidup sendiri

Dia lulus ujian memandu tahap pertama dan dapat lesen L. Kepaknya agak terbuka sedikit. Tetapi saya tidak benarkan dia memandu kereta lagi. Hanya motosikal sahaja dan itupun dengan kawalan saya.

Dia mesti beritahu saya dengan jujur kemana dia mahu pergi, dengan siapa dan berapa lama. Ini bagi tujuan jika berlaku apa-apa yang tidak diingini, saya tahu di mana mahu mencari dia, laluan nmana dan apa-apa sahaja petunjuk yang boleh membantu.

Satu petang di awal Januari 2017, dia sedang buat kerja dengan saya tiba-tiba saja dia menghilang. Saya ingatkan dia pergi sembahyang atau berada di biliknya. Tiba-tiba dia menelefon saya.

“Abah, abah! Cepat datang. Orang (saya) accident di Jalan Kebun…”

Terkejut tak usah cakap, saya terus pergi tanpa memberitahu ibunya sebab tidak mahu isteri terkejut kerana dia ada darah tinggi.

Tiba di tempat kejadian, terkejut saya melihat motosikal Vespa yang baru dibeli tiga bulan lalu. Bayar saja bayar dua kali dan belum buat servis 1,000 km pertama.

Motosikal patah, kereta lelaki tua Cina yang dilanggarnya hanya kemek di bahagian bumper. Anak saya hanya luka di kaki.

Melihat keadaannya yang tidak teruk, dia hampir saja ‘dimakan’ oleh saya di situ kerana keluar dan menunggang motosikal tanpa keizinan saya. Mujur lelaki tua dan bibiknya itu sempat menahan saya dari berbuat demikian.

Saya tidak mempedulikannya beberapa hari, tak melihat lukanya dan tidak bertanya khabar kerana geram. Dia hanya dilayan oleh ibunya dan adik perempuannya sahaja.

Pihak insuran motosikal menghubungi saya dan memaklumkan motosikal tersebut tidak boleh dibaiki lagi, total lost. Nasib baik insurans all rider dan anak pun ada lesen L. Saya yang bawa dia pergi buat lesen, saya yang menanggung kos, akhirnya motosikal saya yang hancur.

Saya panggil dia dan tanya dia.

“Kenapa Allah SWT patahkan motosikal dan kamu sendiri terbang sewaktu kemalangan itu, tapi kamu hanya mengalami luka di bahagian kaki? Kenapa Allah tidak patahkan kamu atau cedera yang teruk?

“Sebab jika melihat pada keadaan motosikal dan cerita-cerita saksi, tidak munasabah dengan kecederaan yang kamu alami. Tapi itu, Allahuakbar, Allah Maha Besar. Allhamdulillah.

“Sebabnya Allah masih sayangkan kamu .Allah nak beri pengajaran kepada kamu agar mendengar nasihat/cakap ibu bapa. Tidak ada ibu bapa yang waras, yang nak mengawal atau mengongkong anak. Ibu bapa buat begitu sebab mereka sayangkan anak kerana ianya harta yang paling bernilai.”

Semoga kisah ini dapat menjadi pengajaran kepada adik-adik remaja yang lain. dengarlah nasihat dan ajaran ibu bapa. Anak-anak seharusnya bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang prihatin terhadap anda.

Hari ini kamu mungkin terasa menyampah dan nasihat ibu bapa itu mungkin tidak bernilai bagi kamu tetapi sesungguhnya satu hari kelak, ketika ibu bapa kamu telah diselimuti kain putih dan disimpan kemas dalam liang lahat, kamu akan menangis mengenangkan nasihat-nasihat ibu bapa kamu dulu dan ketika itulah baru kamu nampak nilainya.

Semoga insiden yang berlaku di Johor Bahru adalah yang terakhir dalam negara kita. Dengarlah nasihat ibu bapa. Al-Fatihah.

Sumber : Mohd Faisal

Leave a Reply