Fakta, sejarah

Kerajaan Purba Kelantan Yang Agung Dengan Emas Tenggelam Di Dalam Buku Teks

Sebelum wujudnya Hang Tuah dan Melaka, Tanah Melayu sudah mempunyai banyak kerajaan purba yang kukuh dan terkenal. Ini bukan cerita pasal kerajaan Cik Siti Wan Kembang atau Syed Hussein Jamadil Kubra (Long Yunus), ini merupakan kisah kerajaan yang wujud 100 tahun sebelum Nabi Muhamad lahir ke dunia. Ini merupakan cerita kerajaan Langkasuka, Funan, Champa dan Chih Tu yang sudah wujud antara kurun pertama hingga ke lima masihi dan sudah menjalin hubungan dengan kerajaan besar seperti Cina yang pada ketika itu diperintah oleh Maharaja Sui.

Rekod kewujudan kerajaan ini dibuktikan dengan catatan oleh Dinasti Sui yang telah menghantar wakil ke kerajaan Chih Tu yang pada ketika itu di bawah empayar Funan. The Red Earth Land merupakan kerajaan tanah melayu yang kaya dengan emas dan mempunyai industri yang besar seperti mana tercatat dalam catatan kuno Chih Tu Kuo Chi. Rekod kuno China ini telah diterjemahkan oleh Professor Paul Wheatly dalam Bahasa Inggeris yang dibukukan dalam The Golden Khersonese.

Menurut catatan sejarah, Chih Tu dijangka wujud sejak awal abad pertama sebelum masihi, kira-kira 100 tahun sebelum Masihi. Boleh dikatakan kewujudan Chih Tu ini berdiri dalam lingkungan 100 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa A.S.

Menurut Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, Chih tu merupakan sebuah pusat pemerintahan entrepot yang cukup terkenal sebagai transit bagi kapal-kapal dagang satu ketika dahulu.

Jelasnya, kerajaan tersebut diterajui oleh sebuah keturunan keluarga diraja yang dikenali dengan nama Chu Dan. Difahamkan, kerajaan awal ini merupakan sebahagian pusat pemerintahan yang berasal dari kerajaan Funan, sebuah empayar purba pertama wujud di Asia Tenggara.

Chi Tu mula dikenali oleh dunia ketika dalam catatan Dinasti Sui di mana dalam catatan tersebut mengatakan mengenai hubungan pertama yang dibuat oleh negara kota Melayu ini dengan kerajaan China Dinasti Sui pada lingkungan 581-618 Masihi. Untuk membalas serta menunjukkan rasa hormat Empayar China ketika itu, seorang utusan ataupun duta telah dihantar oleh kerajaan China ke Chi Tu. Rekod tersebut merupakan antara rekod terawal yang bercerita mengenai Chi Tu

Menurut catatan China, diceritakan bahawa raja kerajaan Chihtu ini bersemayam di sebuah kota yang bernama Seng-Chih yang dimana kekayaan dan kehebatan kota ini dikatakan mempunyai tiga buah pintu gerbang, di mana setiap pintu gerbang itu luasnya dikatakan sejauh 100 langkah kaki.

Di setiap pintu gerbang dikatakan terdapat ukiran indah mengenai pari-pari yang sedang terbang, beberapa elemen agama Buddha, dan juga setiap pintu gerbang dihiaskan dengan bunga emas yang merupakan sumber kekayaan Chi Tu. Juga digantungkan sebuah loceng kecil pada setiap pintu gerbang.

Diceritakan juga bagaimana kerajaan ini tidak lekang dengan emas, sebagai contoh sebuah kuil kecil yang dikelilingi dengan emas, atau hiasan utama bagi kerajaan Chih Tu ini adalah bunga emas, di mana bunga emas boleh dilihat merata-rata di sekitar istana dan negara kota.

Diceritakan lagi dalam catatan China tentang Istana Chih tu yang dikatakan bahawa kesemua pintu yang terdapat pada bangunan istana adalah menghadap kearah utara. Takhta sang raja dibina tiga lapis tingginya dan setiap hari sang raja akan jubbah berwarna merah mawar dan baginda memakai pelbagai kalung dan perhiasan dari emas. Mahkotanya dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan yang terbuat dari emas dan bertatahkan pelbagai hiasan daripada batu-batu permata. Di sisi kanan dan kirinya ada empat orang wanita. Dikatakan juga pengawal yang terdapat di dalam balai tersebut adalah lebih dari seratus orang. Di belakang takhta tempat sang raja bersemayam pula wujud pintu gerbang yang dibina daripada lima jenis kayuan wangi yang bercampur baur dengan emas dan perak, serta dibelakang gerbang tersebut terdapat sebuah relung logam yang berbentuk seperti api yang menyala yang turut diperbuat dari emas yang berkilauan.

Dikatakan juga, kerajaan Chih Tu mempunyai sebuah kolam yang akan diisi dengan jongkong emas. Jongkong emas ini merupakan persembahan yang diberikan oleh rombongan yang dihantar kepada raja. Emas tersebut akan dibuang ke dalam kolam tersebut. Selepas kemangkatan setiap raja yang memerintah, kolam itu akan dikeringkan dan emas tersebut akan dihitung dan dinilai untuk mengetahui kebesaran pemerintahan. Kemudian emas tersebut akan diagihkan kepada setiap rakyat oleh raja baru yang memerintah.

Sebenarnya tidak banyak yang boleh diceritakan mengenai Chih Tu ini, tetapi ianya sangat penting untuk diperkatakan untuk menidakkan hujah seorang cina kiasu yang mengatakan bahawa kerajaan ini adalah milik bangsa cina. Antara hujah yang menyokong mengenai Chih Tu ini adalah milik etnik Melayu ialah pendapat seorang pengkaji daripada Jepun iaitu Tatsuo Hatsuno.

Menurut beliau, nama Chi Tu ini sebenarnya telah dingati sejak zaman Dinasti Tang lagi. Taiping Huanyu Ji, sebuah eksiklopedia yang terkenal pada zaman China dahulu dikatakan bahawa jarak antara Chi Tu dan sebuah lagi empayar Melayu ketika itu, iaitu Srivijaya dikatakan dalam lingkungan 1500 li.

Menurut Hatsuno lagi, kerajaan Chi Tu dikaitkan dengan Srivijaya atas alasan ianya mempunyai hubungan rapat dengan Srivijaya kerana merupakan etnik yang sama yang menubuhkan Srivijaya iaitu milik bangsa Melayu. Bahkan dikatakan bahawa Srivijaya itu adalah pewaris kepada raja-raja yang pernah memerintah Chi Tu suatu masa dahulu. Tambah mengejutkan di katakan bahawa permulaan kepada Empayar Melayu Srivijaya adalah bermula di Chi Tu.

Kesimpulannya di sini, Chi Tu ialah lambang kepada kekayaan orang Melayu suatu ketika dahulu dalam membina kerajaan. Emas adalah permaianan orang Melayu ketika itu. Bayangkanlah bagaimana bangsa Cina sendiri menceritakan kisah Chih Tu dengan penuh kekaguman, bagaimana sebuah tamadun di Tanah Melayu ketika itu yang menggunakan emas secara berleluasa dan mempunyai teknologi untuk memproses emas.

Kaedah proses emas wujud di kurun ke-5? Soalan seperti ini sering ditanyakan. Bukti kewujudan teknologi memproses besi ini boleh dibuktikan dengan penemuan Perak Man di Perak. Artifek besi dan perhiasan yang dijumpai bersama Perak Man merupakan bukti kukuh bahawa orang Melayu telah mempunyai teknologi memproses besi sejak berkurun lamanya lagi.

Menurut Dr. Nik Hassan Suhaimi lokasi kerajaan ini boleh dikatakan terletak di hulu sungai Kelantan mengikut catatan rekod purba. Teori ini adalah pilihan yang paling sesuai kerana ia merupakan laluan air utama yang boleh menjadi laluan kapal-kapal bersaiz kecil dan sederhana. Selain itu, ia juga pernah direkodkan sebagai laluan utama ke kawasan lombong emas yang terdapat di Kelantan dan Pahang. Dibuktikan lagi dengan Kapal Stim pada zaman British boleh memasuki Sungai Kelantan hingga ke Kuala Krai.

Berdasarkan rekod penyelidikan arkeologi oleh seorang ahli arkeologi British yang bernama Gale Sieveking, lokasi ini pernah dihuni oleh manusia sejak 8,000 tahun lalu. Ia dibuktikan melalui penemuan tempat pengebumian prasejarah di Gua Cha pada tahun 1954 olehnya.

Selain itu, hasil ekskavasi di Gua Chawas, Ulu Kelantan turut menjumpai sejumlah besar votive tablets Buddha Mahayana yang mungkin berasal dari zaman kerajaan Srivijaya pada abad ke sembilan hingga ke-11. Malangnya, sehingga hari ini tidak ada bukti nyata diperoleh untuk mengesahkan lokasi kerajaan Chi tu.

Sayangnya, kisah seperti ini tidak langsung diceritakan bahkan dikaitkan dengan Melayu pun sehinggakan orang Melayu berfikir bahawa sebelum Melaka, bangsa mereka adalah bangsa bercawat di hutan, memburu binatang laksana orang zaman batu.

Wujudnya kerajaan Langkasuka (Kedah Tua) dan Chih Tu (Kelantan) membuktikan orang Melayu terawal sudah maju dan mempunyai pengaruh yang kuat di Semenanjung Melayu hingga dapat melahirkan pemimpin yang kuat untuk kerajaan Srivijaya dan Majapahit. Orang Kedah dan Kelantan pada ketika itu sudah dapat membina empayar yang besar dan kuat serta menjadi hub perdagangan dan industri yang terkenal pada ketika itu.

Leave a Reply