Jenayah

Kes Pembunuhan Ratu Cantik, Anita Cobby Di Australia Pada 1986-Pt 1

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Anita Lorraine Cobby, 26, ialah seorang jururawat di Hospital Sydney. Pada satu tahap, dia ialah pemenang pertandingan ratu cantik dan dianggap cukup cantik untuk menceburi kerjaya sebagai seorang model profesional. Namun Anita memilih untuk bekerja sebagai jururawat.
AnitaCobbyAN

Anita tinggal bersama ibu bapanya, Garry dan Grace Lynch, satu keluarga yang tinggal di Blacktown, sebuah bandar yang didiami masyarakat kelas pertengahan, 40 kilometer di barat Sydney. Garry Lynch bekerja sebagai seorang artis grafik untuk Tentera Laut Australia sehinggalah bersara beberapa tahun sebelum itu. Isterinya Grace, ialah seorang jururawat dan kadangkala bekerja syif sambilan di hospital walaupun telah bersara.


Di samping Anita, pasangan itu mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Kathryn, 21. Kedua-dua anak mereka ialah anak yang baik dan mendengar kata. Mereka mempunyai pencapaian akademik yang baik di sekolah, tidak pernah keluar hingga larut malam, suka bersiar-siar di pantai dan melakukan aktiviti sukan luar rumah. Mereka tidak pernah ada masalah penyalahgunaan dadah atau alkohol.

Di masa lapang, keluarga Lynch akan menghabiskan masa untuk percutian keluarga. Kesemua anggota keluarga itu sukakan muzik dan sukan serta sering meluangkan masa lapang menaiki bot di Sungai Napean berhampiran rumah mereka.

Anita ialah seorang pelajar yang baik dan sangat popular di kalangan rakan sekelasnya di Sekolah Tinggi Evans di Blacktown. Semasa berusia 20 tahun, seorang rakan keluarga memujuknya untuk menyertai pertandingan Ratu Cantik Australia untuk meraih dana bagi satu pusat spastik.

1

Ahli keluarga Anita kemudiannya bekerjasama untuk menjual tiket di pusat beli belah tempatan bagi membantu meraih dana dan hasilnya, Anita telah dimahkotakan Miss Western Suburbs Charity Queen. Gambar wanita yang bertubuh tinggi lampai itu dengan rambut gelap kerinting, mata bulat dan senyuman memikat diterbitkan di semua akhbar. Anita menjadi selebriti sekelip mata.

Tetapi Anita tidak mahu menjadi tumpuan ramai. Dia layak menjadi model pentas peragaan, tetapi ibu bapanya merasa gembira kerana Anita sebaliknya memohon untuk menjadi jururawat pelatih untuk mengikut jejak langkah ibunya. Malah, Anita sangat bagus dalam kerjanya sehingga dipilih sebagai jururawat mahir dalam pembedahan mikro.

Semasa bekerja di Hospital Sydney. Anita Lynch jatuh cinta dengan John Cobby, seorang pelajar kejururawatan kacak yang tua tiga tahun darinya.

John dan Anita sukar dipisahkan. Mereka berdua sama-sama suka menonton filem, mendengar muzik dan mereka belajar bersama. Ibu bapa Anita sukakan John dan apabila mereka bertunang, ibu bapanya merasakan Anita membuat pilihan yang tepat.

Screen Shot 2017-02-27 at 2.21.14 PM

Anita dan John Cobby berkahwin pada Mac 1982. Untuk tiga tahun berikutnya, mereka sering mengembara ke luar negara dan untuk satu jangka masa tinggal dan bekerja di Pelabuhan Coffs di New South Wales.

Mereka kembali ke Sydney pada tahun 1985 dan dalam masa beberapa bulan, perkahwinan mereka berakhir atas sebab yang sukar dijelaskan. Anita kemudiannya tinggal bersama ibu bapanya di Blacktown. Pasangan muda itu tidak menceritakan masalah perkahwinan mereka kepada sesiapa tetapi mereka berdua kelihatan tertekan dengan perpisahan itu. Mereka sering berhubung melalui telefon.

Screen Shot 2017-02-27 at 2.23.34 PM

Anita Cobby tidak mengalami masalah untuk mendapatkan semula pekerjaan lamanya di Hospital Sydney. Untuk melupakan kekecewaan perkahwinannya yang gagal, dia mendedikasikan masa sepenuhnya kepada pekerjaannya di hospital. Dia tak kisah berapa jam pun masanya dihabiskan untuk bekerja. Apabila dia bekerja sehingga larut malam, dia akan menelefon bapanya dari stesen Blacktown untuk mengambilnya. Jika bapanya Garry sedang tidur sekalipun, dia tetap akan bangun untuk menjemput Anita dari stesen keretapi.

Screen Shot 2017-02-27 at 2.23.46 PM

Lima minggu selepas berpisah, dia dan suaminya John merancang untuk berbaik semula. Mereka masih belum berjumpa, hanya bercakap melalui telefon dan mereka sepakat bercadang mencari pangsapuri di Sydney untuk tinggal bersama.

Seminggu selepas itu, habis waktu kerja, pada pukul 5.30 petang Ahad, 2 Februari 1986, Anita dan dua orang rakan sekerja pergi ke satu restoran Lubnan di Redfern untuk makan malam yang awal. Sebelum itu, suaminya John ada bertanya sama ada Anita mahu John menjemputnya. Namun Anita menolak kerana perjumpaan dengan rakan sekerjanya telah dirancang lebih awal. Cerita John:

Saya telefon dia pagi Ahad itu dan tanya jika dia mahu saya jemput dia, tetapi dia kata dia sudah merancang makan malam dengan rakan dan bermalam di rumah ibu bapanya.

Lyn Bradshaw dan Elaine Bray menjalani latihan bersama Anita dan mereka sudah berkawan bertahun lamanya. Mereka berkongsi minum sedikit wain dan Lyn telah menghantar Anita ke Stesen Keretapi Railway supaya Anita boleh menaiki keretapi untuk pulang ke rumah. Kedua-dua rakan menawarkan kepada Anita untuk bermalam saja di rumah mereka, tetapi dia menolak. Mereka berdua adalah antara orang terakhir melihat Anita masih hidup.

Apabila anak perempuannya tidak menelefon malam itu, Garry Lynch tidak merasa risau. Anita sering pulang lewat dan bermalam bersama rakan sekerjanya di bandar. Anita ialah seorang wanita yang rasional dan bertanggungjawab, jadi Garry fikir dia tak ada sebab untuk merasa bimbang.

Apabila seorang rakan sekerja Anita menelefon Garry awal tengahari bertanya mengapa wanita itu tidak hadir bertugas, Garry mencadangkan dia untuk menghubungi Lyn dan Elaine, kerana dia mungkin bermalam di rumah mereka. Dia kemudian diberitahu yang Lyn dan Elaine sudah hadir bertugas dan mereka juga bimbang kerana Anita masih belum muncul di hospital.

Garry mula rasa risau. Dia menelefon isterinya di tempat kerja, dan isterinya juga tidak tahu apa-apa mengenai Anita.

Garry menelefon ke semua tempat Anita berkemungkinan berada namun semua tidak tahu di mana Anita. Petang itu, Garry membuat keputusan untuk membuat laporan mengenai anaknya yang hilang di Balai Polis Blacktown.

Dan keesokan harinya, ahli keluarga Anita kian panik, apabila kesemua mereka memperhebatkan carian, termasuk John, yang mencari Anita di setiap hospital. Tidak mendapat sebarang khabar berita, akhirnya tiada apa lagi yang boleh mereka lakukan selain menunggu dan berdoa yang Anita akan muncul di pintu rumahnya.

Screen Shot 2017-02-27 at 2.28.06 PM

Pada Selasa, 4 Februari 1986, seorang peladang, John Reen telah menelefon polis untuk memberitahu yang dia telah menemui mayat seorang wanita muda dalam keadaan bogel di sebuah kawasan padang ternakan dalam ladangnya. Reen mendakwa wanita itu kelihatan seperti telah dibunuh. Polis bergegas ke tempat kejadian, dan menemui apa yang mereka jangkakan: mayat Anita Lorraine Cobby, yang telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sehari sebelum itu.

Apa yang dilihat oleh beberapa orang detektif berpengalaman luas mengenai jenayah pembunuhan di padang ternakan hari itu akan menghantui mereka selamanya. Peladang Reen memberitahu yang lembu-lembu peliharaannya berkelakuan mencurigakan dan berkumpul sekeliling satu objek di atas tanah sewaktu dia meninggalkan ladangnya pada waktu pagi. Semasa dia pulang, dia lihat lembu-lembunya masih mengelilingi sesuatu, menyebabkan Reen mula menyiasat.

Padang ternakan itu terletak agak jauh dari rumah Reen, dan Reen menyimpan semua lembu tuanya di situ. Padang ternakan itu terletak bersebelahan Reen Road, di Prospect, sebuah kawasan pinggir bandar dan untuk memandu ke kawasan itu hanya mengambil masa beberapa minit dari stesen keretapi Blacktown. Mayat Anita Cobby ditemui kira-kira 100 meter dari pagar. Pada masa itu, detektif menyimpulkan bahawa pembunuh Anita telah mengheret wanita malang itu melalui pagar berduri untuk masuk ke dalam padang. Disebabkan jalan ke rumah Reen biasa digunakan untuk menghabiskan masa bersama oleh pasangan kekasih, pemandangan kereta diparkir di kawasan itu bukan pemandangan luar biasa.

Detektif Sarjan Kennedy dan Detektif Konstabel Heskett mengetuk pintu rumah keluarga Lynch pada hari itu. Grace dan Garry Lynch sebenarnya dapat merasakan sesuatu yang buruk telah berlaku. Pegawai polis itu memberitahu mereka yang mayat seorang wanita telah ditemui di padang ternakan di Prospect. Mayat itu didapati menepati ciri-ciri fizikal Anita yang telah hilang. Sarjan Kennedy menunjukkan kepada ibu bapa Anita sebentuk cincin perkahwinan yang dikenal pasti serupa seperti yang dipakai oleh anak mereka.
Screen_Shot_2017-02-27_at_2.31.48_PM

Detektif tersebut meminta Garry menemani mereka ke rumah mayat untuk membuat pengecaman. Sebaik saja mengenal pasti mayat yang berada dalam keadaan menyedihkan itu ialah Anita, Garry telah menangis teresak-esak sambil mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya, sehinggakan detektif yang menemaninya turut menangis.

Anita Cobby dipercayai telah diseret melalui pagar kawat berduri, ditumbuk, dibelasah dan ditendang. Terdapat luka parah di kepala, payudara, wajah, bahu, anggota sulit dan kakinya.   Lehernya telah dikelar manakala kepalanya hampir putus.

Pegawai-pegawai perubatan percaya bahawa Anita masih sedar sewaktu lehernya dikelar. Dia dipercayai mati dalam masa dua hingga tiga minit selepas lehernya dikelar akibat pendarahan. Anita Cobby juga telah dirogol berkali-kali. Satu-satunya tekaan polis yang tepat sewaktu mayatnya dijumpai, ialah pembunuh Anita lebih dari seorang individu, dan mungkin juga terdiri dari satu geng.

Geram, dua detektif tersebut bertekad, walau berapa lama pun masa diambil, mereka akan mencari pembunuh Anita hingga ke lubang cacing.

Kes pembunuhan Anita menyatukan seluruh rakyat Australia yang berang dengan kejadian itu. Petisyen yang ditandatangani berpuluh ribu orang menuntut hukuman mati dikembalikan telah diserahkan kepada kerajaan New South Wales. Sebuah stesen televisyen Sydney telah melaksanakan undian melalui panggilan telefon yang mendaftarkan lebih dari 16,000 panggilan, dengan 95% darinya  mahukan hukuman mati diadakan semula.

Bagi orang ramai, mengetahui terdapat raksasa yang memakai topeng manusia normal seperti pembunuh-pembunuh Anita masih berkeliaran dalam negara itu ialah sesuatu yang sangat membimbangkan. –amazingnara.com

Nota: Bersambung ke Bahagian 2

Sumber: TruTV 2008 Crime Library (defunct site).

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3


Comments 11

  1. Nini

    Mane part 2?

  2. anon

    nak part 2 please

  3. jamal

    mana part 2.. min tidur kali…

  4. Hani

    Mana part 2…

  5. Anonymous

    part 2 mana nara..

  6. Ziera clara basar

    Haaala mana part 2

  7. x

    woi abg nara. kau jgn nk buat gile. aku tgu part 2 dah lama tau

  8. MIRA

    biasa la abg nara, nak update part 2 kemain lama. aku dok tgu nurul huda pt2 pun dari october last yr kot.

  9. MIAW

    Alaaaa, abg nara biasa mmg mcm ni. Kes nurul huda pt2 baru update dr Oct 16 ke Feb 17. Jgn le tgu sangat.

  10. Anonymous

    Nak baca part 2…tolonglah sambung

  11. serenity

    Dah sambung, sila klik Bahagian 2 ada kat atas artikel dan hujung artikel.

Leave a Reply