Jenayah

Kisah Pembunuhan Nurul Huda Abdul Ghani Pada Tahun 2004-Pt 3

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Pada 28 Ogos 2004, Mohd Abbas Danus Baksan telah didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Nurul Huda Abdul Ghani pada 17 Januari 2004 di bilik pengawal pencawang TNB, Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Semasa membacakan pensabitan, Komisioner Perhakiman, K.P Gengadharan Nair berkata:
AbbasDanusAN

Kamu telah mengambil nyawa seorang kanak-kanak yang masih muda dan tidak bersalah untuk memuaskan nafsu kamu. Saya dengan ini mendapati kamu bersalah dan mensabitkan kamu atas pertuduhan itu.

Hakim itu, yang mengambil masa selama 40 minit untuk membacakan draf penghakimannya, memberitahu satu-satunya hukuman yang patut dia beri ialah ‘hukuman mati’.


Gengadharan Nair berkata yang dia berpuas hati bahawa pihak peguambela telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah berkaitan pertuduhan itu.

Mohd Abbas yang memakai seluar putih dan kemeja biru muda telah diterangkan mengenai keputusan itu dalam bahasa Tamil oleh penterjemah mahkamah.

Dia hanya tunduk sepanjang prosiding belangsung, serta tidak menunjukkan sebarang emosi apabila penterjemah memberitahunya yang dia didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman mati.

Perbicaraan telah berlangsung selama 21 hari, 26 orang telah dipanggil sebagai saksi dan 29 item telah diterbitkan sebagai barang bukti.

Pendakwaraya kes ialah Timbalan Pendakwaraya Awam, Abdul Rasid Sudin dan Nordin Ismail, manakala peguam Mohd Abbas ialah Hanif Hassan.

Sebaik sahaja sidang mahkamah selesai, ibu Nurul Huda, Zainon A. Bakar, 46, kelihatan menangis lalu ditenangkan anaknya, Nor Aien Azlynah dan Norasihkin.

Keadaan sedih itu turut dirasai oleh bapa Nurul Huda, Gani Juni, 52, yang berada di ruang legar bangunan mahkamah di Menara Ansar sehingga terpaksa ditenangkan oleh peguam pemerhati bagi keluarga tersebut, Mohamed Zaini Mazlan.

Sebelum hukuman dijatuhkan Hanif berkata, tertuduh tidak pernah bersekolah, seorang yang buta huruf, tidak boleh membaca dan tinggal bersendirian setelah ibu bapanya meninggal dunia.

Katanya, Abbas juga tidak pernah terlibat dalam jenayah terancang, kegiatan kongsi gelap dan sebelum ini bekerja sebagai buruh lori balak serta pekerjaan terakhirnya sebagai pengawal keselamatan.

Abd. Rashid pula berkata, Abbas mempunyai sembilan kesalahan jenayah termasuk merogol Nurul Huda, rompakan bersenjata, pecah masuk rumah dan mencuri.

Pihak peguam Mohd Abbas telah membuat rayuan terhadap persabitan bersalah ke atasnya selepas itu, namun pada 3 Julai 2006, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Mohd Abbas.

Pada 15 Oktober 2008, Mahkamah Persekutuan telah diminta untuk mempertimbangkan kehadiran pihak ketiga yang terkait secara langsung dengan kejadian rogol dan bunuh Nurul Huda.

Peguam Jagdish Kaur yang mewakili perayu, Mohd. Abbas Danus Baksan, 52, berhujah, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas air mani yang ditemui di tempat kejadian turut menunjukkan kehadiran lelaki lain.

Ini membuktikan bukan perayu seorang yang merogol mangsa sebelum kematiannya.

Selain itu, beliau menyatakan, tuduhan asal terhadap bekas pengawal keselamatan itu ketika di Mahkamah Majistret turut melibatkan dua lagi individu yang masih bebas.

Bagaimanapun katanya, tuduhan itu kemudian dipinda menjadikan hanya anak guamnya dituduh ketika kes tersebut dibawa ke Mahkamah Tinggi, walhal siasatan awal polis dengan jelas menunjukkan kehadiran pihak ketiga.

Dalam hujahnya, Jagdish turut mempertikaikan bagaimana jangka masa kira-kira lapan minit memungkinkan mangsa diseret bersama-sama basikalnya masuk ke dalam pondok pengawal dan kemudian pintunya dikunci.

Sehubungan itu, peguam bela menghujahkan bahawa Nurul Huda mengekori seseorang yang dikenalinya masuk ke situ dan individu tersebut merupakan salah seorang yang disebut dalam pertuduhan asal.

Pada 16 Oktober 2008, pensabitan bersalah terhadap  Mohd Abbas atas pertuduhan membunuh Nurul Huda telah diketepikan, sekaligus menyebabkan dia terlepas dari hukuman gantung.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi ketika membenarkan rayuan akhir Mohd. Abbas Danus Baksan, 52, berpuas hati bahawa wujud kehadiran pihak ketiga yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan mangsa.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Mohamad bagaimanapun sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 24 kali terhadapnya atas kesalahan merogol mangsa.

Mohd. Abbas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 27 Ogos 2004 kerana membunuh mangsa. Dia kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan. Rayuannya ditolak.

Hakim Zaki ketika membacakan penghakimannya menyatakan, kehadiran pihak ketiga itu dibuktikan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan penemuan kesan air mani pada sehelai tikar yang dijumpai di luar pondok pengawal itu.

Dengan adanya pihak ketiga, mustahil bagi mahkamah membuat kesimpulan bahawa perayu merupakan satu-satunya individu yang terlibat membunuh mangsa.

Hakim Zaki turut berpendapat, siasatan polis tidak menyeluruh menyebabkan wujud banyak lompang pada kes pendakwaan antaranya kesahihan identiti salah seorang saksi pendakwa yang sebelum itu ditangkap bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, peguam Jagdish Kaur yang mewakili Mohd. Abbas berhujah, walaupun kesan air mani pihak ketiga itu tidak ditemui pada tubuh mangsa sebaliknya pada sehelai tikar, ia mencukupi bagi menyimpulkan bahawa bukan perayu seorang berada di tempat kejadian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria berhujah, perayu bijak melupuskan bukti kes menyebabkan ahli kimia tidak menemui apa-apa kesan air mani pada tubuh mangsa.

Menurut beliau, pemeriksaan doktor tidak menemui sebarang spermatozoa pada kemaluan mangsa melainkan cecair jernih yang memungkinkan bahawa alat sulit kanak-kanak itu telah dibersihkan daripada kesan ejakulasi.

Mohamad Hanafiah turut menghujahkan, perayu seorang penipu kerana kerap berdolak dalih ketika gerakan mencari mangsa dilakukan di kawasan pondok pengawal itu.

Beliau menyatakan, perayu bukan sahaja tidak mengaku melihat kanak-kanak itu ketika ditanya oleh kakak yang mencarinya di situ, malah dia juga menafikan demikian ketika ditanya oleh penduduk kampung dan polis.

Sebaliknya, hujah Mohamad Hanafiah, dia menyuruh mereka mendapat kebenaran pihak pengurusan untuk memasuki pondok pengawal bagi melengah-lengahkan masa agar dia sempat melupuskan mayat kanak-kanak itu.

Kini, Norasihkin Gani, kakak Nurul, seakan reda dengan apa yang telah berlaku:

Sekarang sudah 12 tahun (Abbas dihukum penjara).

Maksimum sebatan yang dikenakan terbatal kerana sudah melebihi umur 50 tahun. Asalnya gantung dari Mahkamah Johor. Lepas itu berjaya rayuan dari Mahkamah Persekutuan.

Undang-undang dunia. Sementara saja kita di sini. Berdoa saja kami mampu.

Mengimbas kembali kejadian itu, Norasihkin menceritakan kepada AmazingNara tentang ibunya setelah Nurul ditemui.

Mak, seingat saya, sepanjang menguruskan arwah sangat tenang, langsung tak menangis. Selepas kebumikan baru dia lepaskan semua yang terbuku, dia nangis puas-puas selepas itu.

Kasihannya mak dan abah. Mak sampai sekarang masih tenang tapi kalau rindu dia ke kubur.

Kubur dekat saja. Berhadapan dengan  stesen TNB. Kalau tiba-tiba mak tak ada ke kuburlah dia. Rindu.

Abah pula tengok saja tenang tapi kami tahu abah sangat-sangat rindukan arwah.

Bilik berkunci, kalau tak menangis, baca Al Quran. Rumah kami sekarang tiada satu pun gambar keluarga di dinding rumah apalagi gambar arwah. Sunyi.

Dia juga menceritakan mengenai Nurul:

Arwah sangat manja dan sangat-sangat periang. Pandai mengaji. Tak suka pakai seksi. Berseluar atau pakai skirt pendek pun tak suka. Dia suka pakai baju kurung.

Malam kejadian, dia baring dekat riba emak, arwah pesan “kalau dia hilang, tolong zikir nama Allah “Ya Mu’id (Maha Mengembalikan) Ya Mubdi (Maha Memulakan).

Dia suka baca Zikir Asma Al Husna. Dia hadiahkan mak alat kira zikir. Mak guna sampai sekarang. Masa itu umurnya baru sembilan tahun sebenarnya.

Cuti sekolah sementara nak naik darjah empat.

nurulhudaSifatnya yang pandai memujuk adalah ‘penyelamat’ buat adik-beradiknya. Tambah Norasihkin, sebak:

Kalau kami nakal kena marah Abah, arwahlah penyelamat kami. Dia pandai pujuk abah. Suka senyum dengan matanya yang bulat dan bergigi kapak di hadapan.

Tak apa, ini ujian Allah untuk kami sekeluarga. Kami rindu MANJA (panggilan nama arwah). Pada pesalah yang tidak lama lagi bebas, tak mengapa hukuman dari manusia sememangnya tak sempurna. Moga keinsafan Allah kurniakan. Allah jua selayak-selayak Penghukum.

Senyumlah selalu Manja kami. Doakan semoga kami semua dapat berjumpa arwah di Syurga nanti. Pimpin tangan mak dan abah ke Syurga Firdaus, ya Manja.

###

Sumber: Norasihkin Gani, Utusan Malaysia: 1 , 2 , The Star

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Leave a Reply