Info Semasa, menarik, Tips

MBPJ Menyita 250 Basikal Yang Dimiliki Syarikat Kongsi Basikal Kerana Mengganggu Laluan Pejalan Kaki

Kalau anda lalu lalang di kawasan sekitar Petaling Jaya, pasti anda nampak basikal berwarna kuning ditinggalkan bersepah di kawasan orang awam. Ini merupakan satu servis perkongsian basikal yang dibangunkan oleh syarikat oBike (M) Sdn Bhd.

Nampak gayanya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memandang bahawa servis perkongsian basikal melalui aplikasi telefon pintar ini mengganggu lalu pejalan kaki dan membuat keputusan untuk menyita lebih daripada 250 basikal-basikal ini.

Platform oBike ini adalah satu servis perkongsian basikal untuk jarak dekat melalui aplikasi telefon pintar yang bertujuan untuk membantu menghubungkan sistem pengangkutan awam dan turut menerapkan konsep gaya hidup sihat.

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi oBike, bayar, membuka kunci basikal dengan menggunakan kod QR dan terus boleh menggunakan basikal tersebut.

Aplikasi bike-sharing ini kini mempunyai lebih daripada 20,000 pengguna yang dikenakan caj RM1 bagi setiap 15 minit, dan 40% penggunanaya terdiri daripada pelajar pengajian tinggi.

Selepas perjalanan selesai, pengguna boleh meletakkan basikal di mana-mana tempat awam berdekatan. Namun begitu, pihak berkuasa memandang perkara ini sebagai satu gangguan kepada pejalan kaki dan menyebabkan mereka mengambil tindakan.

“Satu lagi sebab kenapa basikal ini disita ialah kerana ianya satu perniagaan yang tidak berlesen kerana kami tidak menerima apa-apa permohonan daripada oBike,” kata Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain ketika dihubungi.

Beliau turut menambah bahawa operasi oBike di sekitar Petaling Jaya adalah haram dan mereka berharap agar syarikat ini tampil dan membuat permohonan untuk menjalankan perniagaan platform bike-sharing ini.

“Kami menyokong idea yang basikal boleh dijadikan satu mod pengangkutan awam dan memberikan manfaat kepada pejalan kaki di sekitar bandar, tetapi ianya perlulah dikawal selia.

“Bayangkan jika kami tidak memantau atau kawal selia dan satu lagi operator membuat keputusan untuk memberikan servis yang sama, nanti keadaan jadi tidak terkawal,” katanya lagi.

Beliau risau yang basikal ini akan mengganggu pejalan kaki atau pengguna jalan raya kerana tiada tempat yang sesuai untuk meletakkan basikal di Petaling Jaya.

Mohd Azizi turut berkata bahawa tiada kawal selia khusus untuk operasi perkongsian basikal di Petaling Jaya tetapi MBPJ bakal merangka sesuatu.

Buat masa ini, penguatkuasa masih lagi menyita basikal-basikal ini dengan aktif.

Pengurus Pemasaran oBike, Elaine Chan berkata, syarikat itu sedar tentang keadaan yang sedang berlaku dan sedang bekerjasama dengan MBPJ untuk menyelesaikan masalah ini.

Di Subang Jaya, oBike hanya dibenarkan beroperasi di kawasan yang dibenarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ).

“Untuk Subang, kami letakkan cadangan, bentangkan idea dan kemudian menerima surat kelulusan untuk beroperasi,” kata Chan, yang turut menambah bahawa prosedur adalah berbeza bagi setiap pihak berkuasa tempatan.

Leave a Reply