Info Semasa, Kesihatan

Mus MAY Dimasukkan Ke ICU Tengah Malam Tadi

Penyanyi kumpulan MAY, Mus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini akibat demam panas sejak tiga hari lalu.

Isterinya, Suraya Bahari berkata, Mus, 49, atau nama sebenarnya Mustaffa Din dikejarkan ke HKL kira-kira jam 10 pagi dan ditempatkan di Zon Kritikal.

“Abang Mus mengalami demam panas sejak tiga hari lalu dan sudah mendapatkan rawatan di klinik biasa.

“Mungkin ubat yang diberikan kurang serasi membuatkan keadaannya semakin lemah. Dia juga seperti diserang sawan membuatkan mulutnya berbuih dan saya mengambil keputusan menghubungi ambulans,” katanya.

Menurutnya, Mus seperti berada dalam keadaan tidak tenang dan meronta-ronta ketika di HKL membuatkan doktor mengambil keputusan meletakkannya dalam keadaan koma bagi membolehkan dia berehat dan keadaannya stabil.

“Pada mulanya doktor mengesyaki dia menghidap denggi tapi apabila diperiksa tiada pula. Cuma platlet darahnya agak rendah.

“Doktor memberitahu terdapat kuman dalam darahnya dan ia mungkin berpunca daripada pengambilan ubat yang salah diberikan sebelum itu,” katanya.

Suraya berkata, doktor yang melakukan ujian imbasan otak terhadap Mus selepas itu turut mengesahkan keadaannya normal.

Menurutnya, doktor akan membuat proses mencuci darah selepas ini dan Mus dipindahkan ke ICU jam 10 malam tadi.

“Doktor menjangka suami akan ditahan selama dua minggu sehingga keadaannya benar-benar pulih sebelum dibenarkan keluar.

“Sepatutnya dia akan membuat persembahan untuk Rumah Terbuka Risda pagi ini tapi apakan daya keadaan jadi begini. Apapun kita sama-sama doakannya supaya cepat sembuh,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply