Kiriman Pembaca, Viral

Netizen Ini Luah Mengenai Kesukaran Graduan Baru Diberi Peluang Kerja Di Sektor Kerajaan

Anda boleh katakan apa saja mengenai pekerjaan sebagai penjawat awam namun apa yang tidak dapat dinafikan ialah ramai mengidamkan untuk bekerja dalam sektor ini. Ini ialah kerana ia ialah sektor pekerjaan yang terjamin dan selamat, serta menjanjikan faedah selepas persaraan untuk tempoh yang panjang. Setiap kali ada kekosongan jawatan yang diiklankan di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), berduyun yang membuat permohonan walaupun kadangkala  kursus yang diambil di universiti tidak berpadanan dengan jawatan yang dipohon.
sektorkerajaan

Tetapi, ramai yang akan melakukan apa saja untuk merebut satu peluang memasuki sektor kerajaan. Terbaru, seorang pengguna Facebook telah menulis mengenai nasib graduan zaman kini yang terpaksa menempuh kesukaran untuk membuat permohonan bagi bekerja dalam sektor kerajaan. Ikuti tulisannya:

Bertabahlah wahai sahabat seusia ku, antara umur 22 ke 26 tahun. Zaman kita ini ada diploma ke, ijazah ke, sarjana atau doktor falsafah belum tentu lagi mampu untuk masuk sektor kerajaan.

Simpanlah sijil kita itu sebagai kenangan dan tanda ilmu yang pernah kita pelajari. Gambar konvokesyen kita melangkah terima skrol itu simpanlah juga untuk tontonan anak cucu kita nanti.

Sekarang memang susah nak dapat penempatan kerja dalam sektor kerajaan dan swasta. Termasuklah graduan perubatan, perguruan yang dapat biasiswa kerajaan sekalipun ada yang dah hampir nak masuk dua tahun menganggur masih tak dipanggil untuk penempatan.

Saya terfikir juga macam manalah agaknya generasi adik-adik akan datang. Semakin hari semakin bertambah bilangan anak-anak Malaysia ini, bagaimana nasib mereka suatu hari nanti.

Kalau dilihat dalam laman web SPA, kerajaan sedang membekukan pengambilan pekerja dan mengoptimumkan bilangan pekerja. Maksudnya kalau ada kekosongan barulah akan ambil pekerja baru.

Nak tunggu kekosongan yang letihnya, kerana tunggu pakcik dan makcik nak pencen umur 60 tahun baru ada kekosongan. Memang agak sedikitlah yang pencen sebab bilangan mereka tak ramai.

Jadi, mulai sekarang, anak muda kena tetapkan dalam minda bahawa kita belajar diploma atau ijazah bukan tiket untuk dapat kerja. Dan perlu fikir juga macam mana nak bayar balik pinjaman PTPTN dan Mara selepas habis belajar.

Nak tak nak, kita kena fikirkan 10 hala tuju yang hendak kita lakukan setelah tamat belajar untuk teruskan kehidupan. Selepas senaraikan 10 hala tuju tersebut, kaji dan pilihlah yang terbaik. Contohnya seperti berniaga ke, kerja kilang ke, buat perkhidmatan ke, kerja dengan orang ke dan sebagainya.

Asalkan halal dan dapat kita teruskan hidup untuk sara kehidupan diri sendiri dahulu tanpa mengharapkan duit mak ayah lagi.

Jangan risau sahabat rezeki di bumi Allah ini luas, bukan hanya terhad kepada sektor kerajaan sahaja. Yang tak ada ijazah, sarjana pun dah ramai yang berjaya dan kaya raya dalam bidang mereka ceburi. Perjalanan hidup kita masih jauh dan kita tak akan jangka apa akan berlaku pada kehidupan kita 10 tahun akan datang iaitu ketika umur 32 hingga 36 tahun.

Dan kepada yang dapat kerja bagus selepas tamat belajar itu, itu adalah rezeki anda. Dan hargailah rezeki itu dengan kerja bersungguh-sunguh kerana ramai yang menginginkan apa yang anda nikmati itu.

Saya sendiri pun kerja sendiri. Buat bisnes . Kadang-kadang orang kata saya menganggur dan tak ada masa depan. Tak apa. Kerana manusia boleh cakap apa sahaja. Mereka bukan Tuhan yang aturkan kehidupan kita, dan mereka tak tahu apa yang kita rasa dan lalui.

Itu sahaja. Terima kasih sudi baca ya. Lama dah tak tulis panjang-panjang. Ini hanyalah pendapat peribadi saya saja. Tak kena mengena dengan yang hidup mahu pun yang mati.

Apa yang boleh dikatakan, bersabarlah. Mana-mana sektor ada baik dan buruknya. Kalau dari segi keterjaminan dan keselamatan sememangnya sektor kerajaan pilihan yang terbaik. Namun langkah mungkin lebih panjang jika menyertai sektor lain seperti swasta dan perniagaan.

Cuma dalam keadaan ekonomi semasa yang menekan, sememangnya sektor swasta dan perniagaan yang paling terkesan dan berdepan risiko. Bersabar dan berusahalah mengintai peluang-peluang lain yang ada, walaupun ia hanya peluang yang kecil, siapa tahu menjanjikan kejayaan yang besar, bukan?

Terima kasih atas mesej yang berguna kepada semua.

Sumber: Aliff Azrai Zain – disunting untuk amazingnara.com


Leave a Reply