Info Semasa

“Peminjam Bukan Tidak Mampu, Tetapi Enggan Bayar Hutang PTPTN” – Idris Jusoh

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dalam kenyataannya berkata, ramai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mempunyai pendapatan tetapi sengaja memilih untuk tidak membayar hutang mereka walaupun sebenarnya mampu berbuat demikian.

Kaji selidik Bank Negara menunjukkan segelintir peminjam yang ingkar membayar balik pinjaman PTPTN, pada masa sama mampu menjelaskan pinjaman-pinjaman mereka yang lain termasuk pinjaman kenderaan dan perumahan.

“Bank Negara ada jumpa saya, mereka tunjuk satu kajian yang mereka sendiri buat, mengikut kajian itu, orang tidak bayar PTPTN, tetapi pada masa yang sama mereka membayar pinjaman kereta, rumah dan kad kredit.

“Kerana apa (tidak bayar PTPTN). Sebab tak nak, bukan sebab mereka tidak mampu,” katanya.

Idris berkata PTPTN perlu lebih tegas terhadap peminjam yang ingkar, namun tidak sehingga menganiaya peminjam.

“Sesiapa yang rasa dianiayai boleh berbincang dengan PTPTN. Saya akan bela pelajar itu sendiri,” katanya yang turut menasihatkan mereka yang menghadapi masalah untuk membayar supaya tidak berdiam sebaliknya berbincang dengan pihak PTPTN sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

Sumber : Bernama

Leave a Reply