Info Semasa

Penantian 10 Tahun Juara Dunia Oleh Azizulhasni Awang Berakhir


Azizulhasni Awang memperoleh pingat emas acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong, malam ini.

Pocket Rocketman melakukan kayuhan menuju garisan penamat dengan masa 0.382 saat mengatasi pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata, yang memenangi perak dan Tomas Babek (gangsa) dari Republik Czech.

Pada pusingan kedua sebelum itu, Azizulhasni menamatkan saingan di tempat keempat ketika pelumba Jerman, Joachim Eilers, di kedudukan kedua di belakang pendahulu, Matthew Glaetzer.

Tapi penyertaan Eilers dibatalkan kerana didapati bersalah menyentuh Azizulhasni dan keputusan itu melonjakkan Azizulhasni ke tempat ketiga sekali gus menempatkannya ke pusingan akhir.

Pelumba Australia, Glaetzer, gagal beraksi cemerlang dengan sekadar di kedudukan keempat pada pusingan akhir.

“Alhamdullillah, terima kasih Allah kerana memberikan keizinan kepada saya untuk kejayaan ini. Ia sukar dipercayai pada saya. Saya telah mencubanya selama 10 tahun sejak menyertai perlumbaan tahap elit,” kata Azizulhasni.

“Pada 2007 saya terus mencuba, saya gagal banyak kali. Saya dapat gangsa dua kali dan perak dua kali, dan tewas tipis kepada ramai pelumba hebat. 

“Saya terus mencuba dan tidak pernah putus asa kerana jika saya terus bekerja keras, suatu hari nanti ia menjadi milik saya dan akhirnya hari ini, hari ini adalah masa saya. Saya adalah juara dunia.”

Pocket Rocketman adalah rakyat Malaysia pertama menjuarai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI selepas meraih perak pada 2009, 2019 dan gangsa pada 2015, 2016. 

Keputusan pusingan akhir:

1. Azizulhasni Awang (MAS)
2. Fabian Hernando Puerta Zapata (COL) +0.382
3. Tomas Babek (CZE) +0.417
4. Matthew Glaetzer (AUS) +0.473
5. Pavel Kelemen (CZE) +0.590
6. Marc Jurczyk (GER) +0.663

sumber: Stadium Astro

Leave a Reply