Info Semasa

Penjual Krim Progesterone Buat Dokumen Palsu? KKM Ambil Tindakan Lanjut.

KEMENTERIAN Kesihatan telah mengesahkan bahawa dokumen yang tersebar mengenai pengkelasan produk Natural Progestrerones Cream yang kononnya dikeluarkan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) adalah palsu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, dokumen bertarikh 10 Julai dengan rujukan 100717/08/357 itu dikatakan menggunakan kepala surat palsu bertulisan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

Dokumen tersebut adalah palsu dan pihaknya menafikan ia dikeluarkan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang kini dikenali sebagai Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau NPRA.

“Satu laporan polis sudah dibuat mengenai perkara itu. Selain itu, semakan pada pangkalan data pengkelasan produk NPRA mendapati bahawa tiada permohonan diterima oleh NPRA bagi pengkelasan produk Natural Progesterones Cream.

“Selain itu, Progesterone iaitu suatu racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan bahan yang tidak dibenarkan dalam formulasi sesuatu produk kosmetik,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Putrajaya.

Katanya lagi, pihaknya memandang serius isu pemalsuan dokumen terutama membabitkan penggunaan nama agensi kerajaan dan keselamatan pengguna.

Kementerian dalam pada itu turut memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk bahawa memiliki, menjual atau membekal produk tidak berdaftar adalah satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia & Harian Metro

Leave a Reply