Tips

Proses Bersalin Semakin Dekat! Ini 9 Tanda Yang Perlu Bakal Ibu Peka.

Berdebarnya menanti saat akan melahirkan anak ini. Akhirnya, selepas 9 bulan hamil, anda akan melahirkan anak sendiri!

Proses bersalin adalah proses yang panjang lagi meletihkan. Sebelum anda melalui proses ini, anda akan mengalami beberapa tanda yang menunjukkan proses bersalin semakin dekat.

Walaubagaimanapun, tak semua bakal ibu baru akan mengalami semua tanda-tanda ini. Akan tetapi, jika tahu 9 tanda yang berikut, boleh mempersiapkan diri untuk menghadapi proses bersalin!

#1 Rasa kandungan seperti “menurun” ke bawah

Dalam minggu-minggu terakhir sebelum proses bersalin semakin dekat, anda akan mengalami situasi di mana kandungan seakan bergerak “menurun” ke bahagian bawah perut anda.

Sesetengah ibu hamil akan mengalami tanda ini sama ada dalam tempoh empat minggu atau dua minggu sebelum bersalin.

Buat wanita yang pernah bersalin sebelum ini, anda tak akan merasai kandungan seperti “menurun” kerana otot pelvis anda sudah merenggang.

Akan tetapi, kepala bayi memang akan semakin menghampiri pintu pelvis anda.

#2 Asyik rasa nak kencing

Rasa nak kencing semakin meningkat.

Ia disebabkan oleh kedudukan kepala bayi yang semakin hampir dengan tulang pinggul dan pundi kencing anda. Maka, anda akan semakin kerap ke bilik air.

#3 Sakit belakang

Anda akan merasai kesakitan di bahagian punggung, perut dan bahagian belakang badan.

Hal ini sebab bayi yang bakal dilahirkan semakin berat dan “menurun” semakin rendah ke pintu pelvik. Lalu, rahim dan legimen pelvis semakin merenggang.

#4 Sukar untuk tidur

Dengan segala kesakitan, kegelisahan dan keterujaan yang anda rasai kini, pasti sukar untuk tidur, kan?

#5 Kontraksi Braxton-Hicks yang menyakitkan

Salah satu tanda-tanda yang proses bersalin semakin dekat adalah rasa kesakitan melampau akibat Braxton-Hicks.

Braxton-Hicks sering dipanggil sebagai “kontraksi palsu“. Ia rasa kesakitan di bahagian perut dan pinggul akibat pengecutan perut.

Sekejap ia datang, sekejap ia pergi dengan sendiri.

Walaupun kesakitannya tak sama seperti kontraksi betul ketika bersalin, tapi kontraksi ini boleh berlangsung sehingga 120 saat!

Jika anda ingin meredakan kesakitan, cuba ubah posisi duduk atau mula berjalan.

#6 Loya dan cirit-birit

Hormon kelahiran akan mengakibatkan anda rasa tidak selesa di bahagian perut. Ada beberapa sebab mengapa perut anda seolah-olah “meragam” dengan teruk.

Antara sebabnya adalah kerana badan ingin mengosongkan usus dan memberi ruang kepada bayi.

Oleh itu, anda akan mengalami cirit-birit atau loya kerana bahagian bawah abdomen (bahagian usus) mula “bekerja”.

#7 Keluar lendir dari vagina

Anda mungkin akan perasan ada lendir berwarna putih dan merah jambu (beserta telur) yang semakin banyak keluar daripada vagina.

Lendiran ini mungkin berbeza daripada lendiran darah.

#8 Lendiran darah

Ketika hamil, bahagian servik anda dilindungi oleh lendiran yang takkan mengalir.

Akan tetapi, apabila proses bersalin semakin dekat, bayi semakin menghampiri “pintu” pelvik dan kontraksi mengakibatkan lendiran yang “terkunci” ini terbuka.

Oleh itu, anda akan melihat banyak lendiran bercampur darah keluar dari vagina. Jika lendiran bercampur darah ini semakin banyak, seolah-olah anda datang haid – hubungi doktor dengan segera!

Namun, jangan mudah panik. Kadang-kadang, lendiran darah juga boleh diakibatkan oleh hubungan seks ketika hamil atau sebab pemeriksaan vagina.

#9 Air ketuban pecah

Ini tanda yang paling umum. Ada wanita yang mengalami kontraksi teruk sebelum air ketuban pecah. Ada wanita pula sebaliknya!

Air ketuban pecah dulu sebelum kesakitan kontraksi menerjah. Agak bahaya jika air ketuban sudah pecah, tapi anda tak mengalami sebarang kontraksi.

Cepat-cepatlah ke hospital ya, jika air ketuban anda itu sudah pecah.

Sumber

Leave a Reply