Automotive, Info Semasa, menarik, Tips

Puspakom Lancarkan Kempen #drivesafenoregrets Sempena Perayaan Aidilfitri 2017

Menyedari faktor yang menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya disebabkan keadaan kenderaan, syarikat pemeriksaan kenderaan Puspakom Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) mengambil inisiatif melancarkan kempen #drivesafenoregrets.

Kempen ini menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Persendirian Sukarela atau Voluntary Vehicle Inspection (VVI) secara percuma mulai 13 Jun sehingga 23 Jun ini di pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM.

Tujuan kempen #drivesafenoregrets ini adalah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemanduan berhemah dan juga menggalakkan pemilik kenderaan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat sewaktu menyambut Aidilfitri.

Pemeriksaan percuma ini akan dijalankan di semua pusat pemeriksaan PUSPAKOM kecuali di Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Mak Mandin dan Kota Bharu yang dikhaskan untuk pemeriksaan kenderaan perdagangan sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, pemeriksaan ini merangkumi 25 peringkat ujian secara menyeluruh termasuk ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, suspensi, ketelusan cahaya cermin, brek serta lampu.

Laporan pemeriksanan ini akan dikeluarkan sejurus pemeriksaan kenderaan dijalankan dan laporan ini boleh digunakan pemilik untuk mengetahui keadaan kenderaan mereka dan mengesan sebarang kerosakan. Pemilik kenderaan seterusnya boleh melakukan pembaikan dan penyelenggaraan sewajarnya.

“Pada musim perayaan yang sama pada tahun lepas, PUSPAKOM memeriksa sejumlah 3,000 kenderaan. Melalui kempen #drivesafenoregrets ini, PUSPAKOM menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus jumlah pemeriksaan kenderaan pada tahun ini,” katanya.

Kempen ini bermula dari 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari (tertakluk kepada waktu operasi setiap cawangan di negeri berlainan) tanpa perlu membuat sebarang temujanji.

“Sempena kempen ini, PUSPAKOM juga menganjurkan Pertandingan #drivesafenoregrets ‘Write Caption & Win’, di mana para pelanggan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

“Para pelanggan hanya perlu hadir menjalani pemeriksaan VVI dengan menghantar kapsyen gambar melalui ‘private message’ di Facebook PUSPAKOM. Pemenang hadiah Super Grand Prize akan ditentukan berdasarkan jumlah ‘Like’ tertinggi dan juga komen kapsyen yang paling kreatif,” katanya.

Jadi tunggu apa lagi? Hanya 3 hari sahaja tinggal untuk anda jalankan pemeriksaan percuma ini dan rebutlah peluang untuk memenangi hadiah menarik daripada Puspakom!

Leave a Reply