Info Semasa, Inspirasi, kagum, Makanan

Restoran Nasi Kandar Line Clear Tersenarai Antara Makanan Paling Sedap Di Dunia

Dari satu lorong kecil, kini mendapat pengiktirafan dunia apabila Restoran Nasi Kandar Line Clear (RNKLC) Jalan Penang, Pulau Pinang terpilih antara sembilan daripada 50 makanan paling sedap di dunia baru-baru ini.

Pengiktirafan itu yang diberikan The World Streets Food Congress 2017 yang berlangsung di Manila, Filipina pada 31 Mei sehingga 4 Jun lalu ternyata cukup mengembirakan pengurusan restoran tersebut.

Pengusahanya, Abdul Kader Zainul Abidin berkata, sejak RNKLC dibuka pada tahun 1930, sambutan yang diberikan pelanggan tempatan dan pelancong asing dari dulu sehingga kini cukup memberangsangkan. Malah, tarikan restoran ini juga menarik perhatian selebriti terkenal tanah air dan luar negara.

Menurutnya, menyingkap kejayaan yang dicapai ini sebenarnya cukup mengejutkan kerana langsung tidak menyangka akan memperolehi pujian di peringkat antarabangsa.

“Sebagai peniaga adalah menjadi tanggungjawab kami untuk melayan dan memberikan perkhidmatan terbaik tanpa meletakkan sebarang jurang.

“Kini bagai satu kejutan yang tidak disangka apabila dunia mengiktiraf RNKLC antara yang terbaik dan kami ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu.

“Perhargaan ini diberikan kepada pelanggan dan tidak lupa, Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihak media cetak dan elektronik, blogger dan lain-lain,” katanya ketika ditemui Rojak Daily Skop!, semalam.

Abdul Kader berkata, RNKLC yang kini berusia 87 tahun menjadi tarikan ramai pengunjung kerana keistimewaannya terletak pada resepi turun menurun tradisi keluarga yang terus kekal sehingga ke hari ini. Meskipun bersaing dengan banyak restoran nasi kandar yang menjual menu sama tetapi mereka percaya pengunjung mempunyai cita rasa tersendiri yang memilih restoran mereka sebagai pilihan utama.

Sumber: Rojak Daily

Leave a Reply