Info Semasa

Suspek Dakwa Sering Dibuli Mangsa, Punca Letak Racun Lipas Dalam Mi Goreng.

Pelajar lelaki yang meletakkan racun di dalam mi goreng rakannya mendakwa, dia berbuat demikian kerana tidak tahan dibuli mangsa.

Datuk kepada pelajar Tingkatan Satu berusia 13 tahun itu mendakwa, mangsa rakan sekelasnya itu juga sering meminta wang dan makanan daripada cucunya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, datuk pelajar yang menjadi suspek kes itu membuat laporan di Balai Polis Sri Aman pada jam 5 petang tadi, mendakwa tindakan cucunya itu adalah tindak balas terhadap perbuatan mangsa.

“Polis akan menjalankan siasatan berhubung laporan itu, sama ada ia mempunyai kaitan dengan kejadian keracunan makanan yang dilakukan suspek,” katanya.

Semalam, seorang pelajar sekolah menengah di Sri Aman dikejarkan ke hospital kerana muntah selepas makan mi yang mengandungi racun lipas.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Sri Aman sehingga kini.

Suspek yang juga rakan sekelasnya ditahan polis pada jam 2.30 pagi tadi susulan laporan polis yang diterima daripada bapa mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan racun dan suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Sumber : Berita Harian Online

Leave a Reply