Fakta, sejarah

Tiada Diceritakan Dalam Buku Sejarah, Kisah Tok Janggut Ini Ramai Orang Tidak Tahu

Tidak suruh percaya. Kerana ianya bukan Rukun Iman. Sekadar menerangkan. Sepanjang hidup Insan ini sehingga ke akhir hayat Beliau. Beliau berjuang.

Awal nya berjuang bersama mereka yang ingin bersama.

Setelah ‘kerajaan’ sendiri waktu itu menyokong penjajah, maka beliau memilih untuk DIAM sementelah juga telah di cop sebagai penderhaka dan didakwa telah mati, dengan tubuh di gantung terbalik menjadi tontonan rakyat Kota Bharu.

Beliau yang masih hidup ketika itu dianggap mati. Maka, beliau memilih untuk ‘mati’ kerana mereka sudah ‘mati’. Walau sudah merdeka dan diajak keluar oleh rakan seperjuangan, namun beliau memilih untuk diam.

Apa kata Beliau?

“Puok-puok ‘demo tu’ nok pilih orghe Putih, biar pun ‘demo hok tu'(penjajah kulit putih) dah kelik pun. Biarlah aku hidup gini jah.”

Dengan maksud lain, jika Beliau keluar mengisytiharkan diri sekalipun masih tidak mengubah apa-apa. Maka, Beliau memilih untuk hidup ‘mendiamkan’ diri.

“Mugo ggini sek duk royak ko orghe, orghe kato kito gilo.(Cerita ini jangan diceritakan pada orang, orang kata kita gila)”, Pesan ALLAHyarhamuha tersayang suatu ketika dulu.

Namun, jiwa membara setiap kali semasa mata pelajaran sejarah, cikgu-cikgu sejarah mengatakan yang di gantung terbalik itu adalah Tok Ayah Faqir iaitu Tok Janggut. Sang faqir akan bersuara, “itu bukan Tok Janggut, tapi mayat orang lain.”

Kenapa? Kerana pada zaman tersebut Tok Kenali yang juga adik seperguruan Tok Janggut (semasa di Jamiatul Fathoniyyah di bawah tarbiyyah Syeikh Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zain Al Fathoni) masih hidup.

Dan sudah pasti sebagai orang Islam, yang juga Ulama, jika tubuh itu milik orang Islam lain sekalipun, sekalian Ulama akan menentang keras ianya digantung terbalik menjadi pameran orang ramai selama 3 hari.

Usahkan selama tiga hari, cadangan untuk menggantung itu sahaja pasti mendapat tentangan.

Persoalannya, jika benar itu tubuh Tok Janggut yang juga merupakan Abang seperguruan kepada Datuk Paduka Perdana Menteri Nik Mahmud, kenapa mereka yang lain berdiam diri dengan keadaan tubuh orang Soleh diperlakukan sebegitu?

Kerana, mereka tahu, itu bukan tubuh orang yang bernama Syeikh Haji Mat Hassan Bin Munas Bin Samad Bin Raja Bahar atau lebih dikenali dek penjajah dengan gelaran Tok Janggut. Mereka kenal akan tubuh sebenar Syeikh Haji Mat Hassan.

Kerana orang yang mengenali Tok Janggut tidak pernah menggelar kan diri Syeikh Haji Mat Hassan dengan gelaran Tok Janggut. Panggilan Tok Janggut adalah dari kalangan orang luar yang sama sekali tidak mengenali Tok Janggut.

British menggunakan kaedah ‘character assassination’ untuk menjatuhkan Tok Janggut dan para sahabat Beliau pada ketika itu di hadapan Sultan dan juga untuk menjatuhkan semangat juang rakyat Kelantan pada ketika itu dengan menggantung terbalik tubuh yang didakwa sebagai Tok Janggut itu di Padang Bank (Padang Merdeka).

Inilah nama kaedah ‘character assassination’, perkara yang sama yang pernah dilakukan pada Aki Mat Kilau dan para Sahabat yang lain, yang kononnya mereka mati dengan peluru British pada 1890-an, dan dihebahkan di dalam akhbar rasmi mereka.

Hakikatnya, Aki Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Gajah, Mat Kelubi, Mat Lela dan beberapa yang lain lagi, tidak pernah mati dengan ‘jasa’ peluru British.

AlhamduLILLAH. Dengan hadirnya pengisytiharan diri Aki Mat Kilau pada Disember 1969 dan kemunculan Tok Peramu iaitu Tok Bahaman, membuktikan bahawa British sememangnya menggunakan kaedah ‘Character assassination’ dan propaganda untuk menyatakan mereka benar dan menang.

Hujjah begini sang faqir berikan kepada Cikgu sejarah di sekolah dahulu, sehingga Cikgu terdiam. Maafkan sang faqir Cikgu, sang faqir tidak berniat untuk menderhaka. Sekadar menyatakan perkara yang perlu diletak-fikir di dalam pemikiran para Melayu Islam di Malaysia.

Jangan hanya percaya pada yang dicatat oleh mereka yang pernah mencanak.

Kenapa Tok Ayah Faqir @ Tok Janggut memilih untuk diam?

Kerana bagi Beliau dengan keluarnya Beliau sekalipun, ianya tidak mengubah apa-apa. Perjuangan Beliau telah disalah erti oleh pemerintah waktu itu. Ada yang berkata, “eh, sultan waktu itu terpaksa.” Yes, exactly. Kalimah terpaksa itulah yang sebenarnya memeritkan.

Dalam satu wacana, ada seorang yang kononnya anak cucu Tok Janggut yang menyokong bahawa tubuh yang tergantung itu adalah Tok Janggut, sanggup mengeluarkan ayat seperti berikut, : “Tok Janggut mati syahid, bukan pengecut. Macam Pahlawan Pahang (merujuk Aki Mat Kilau dan sahabat Pahlawan lain) macam ayam mematuk, patuk-patuk, lari.”

Sang faqir tersandar di kerusi, beristighfar. Tidak dapat dibayangkan jika ada anak cucu Para Pahlawan Pahang ketika wacana itu. Semoga individu tersebut menyesal dengan kata-kata nya. Kerana itu adalah kata-kata orang yang tidak memahami erti sebenar Perjuangan.

Berundur bukan senyata-nyata tanda pengecut. Maju bukan sebenar-benar tanda berani. Mereka dari kalangan yang bijak pandai, yang mendapat Tarbiyyah dari yang Alim di dada. Sudah pasti tindakan mereka ada tujuan yang besar dan benar.

Begitulah juga dengan Tok Ayah Faqir.

Setiap kali terkenangkan Tok Ayah Faqir, sang faqir akan menitiskan air mata. Terbayang wajah mereka yang di samping Beliau. Mereka bersungguh untuk tanah air. Tetapi perjuangan mereka dinafikan oleh pemerintah pada ketika itu dengan keluarnya surat bercop Mohor kerajaan menyatakan mereka adalah Penderhaka. AstaghfirULLAH.

Jika sekarang baharu hendak menghargai, sang faqir boleh katakan, ianya sudah terlewat. Nyata, sudah dari azali, ketentuan Tok Ayah hidup dalam tenang. Tok Ayah sudah menjalankan tugas sepenuh hati dalam usia yang sudah melebihi separuh abad.

Apa lah yang diinginkan oleh seorang tua yang pulang ke tanah air dalam usia 63 tahun setelah hampir 40 tahun berada di Makkah? Pangkat? Harta? Wanita? Tidak. Mereka bangkit untuk mencari kebajikan di akhirat kelak. Dan ketahuilah Tok Ayah Faqir sudah pun berjaya menunjukkan semangat juang Beliau walaupun usia sudah lanjut.

“Bukti mana bukti?” Kata mereka.

Jika Tuan punya badan sendiri memilih untuk diam, dengan tidak membuat sebarang catatan, tinggalan bukti dan sebagainya, siapakah sang faqir untuk hadirkan semua itu? Yang ada hanya sebuah kubur yang bertandakan dengan botol lama sebagai batu nisan. Itu sahaja.

“Dah tu, takdok bukti, kecek sajolah, tak boleh pakai mano.” Kata mereka.

Ya, tugas sang faqir hari ini bukan untuk membuat kalian percaya. Tetapi sekurang-kurangnya sang faqir sudah menyampaikan hal yang sepatutnya kalian sekurang-kurangnya tahu dan fikir, kalau tidak mahu percaya sekalipun. Apa boleh buat? Sumber dari oxford lebih dipercayai dan kuat.?

Kepada mereka yang hendak percaya bahawa tubuh yang tergantung itu adalah tubuh Tok Janggut, kerana ada bukti dan ada catatan. Silakan. Tidak berdosa pun. Pada sang faqir, sang faqir sudah nyatakan, akan perkara yang perlu semua tahu. I’m done.

Kalian menjadi saksi. Sang faqir sudah membuat tugas sang faqir. Peritnya hati seorang Pejuang. Di sertakan bersama gambar ALLAHyarhuma Che Yah Binti Adam yang merupakan moyang kepada sang faqir, sepupu kepada Tok Ayah Faqir.

Sang faqir membesar dengan ALLAHYARHAMUHA moyang tersayang ini, yang berpindah alam pada usia 138 tahun pada tahun 2008. Moyang tersayang ini berumur 45 tahun semasa Perang Pasir Putih iaitu pada 29 Mei 1915. Moyang tersayang ini bertindak sebagai ‘jururawat’ kepada para Pejuang ketika itu dan antara yang bertanggungjawab merawat cedera pada bahu Tok Ayah Faqir yang terkena bedilan askar British.

Pernah menjadi isteri kepada ALLAHyarham Tok Mat Kelubi. Gambar tersebut adalah sewaktu usia anak sulung sang faqir berusia 2 hari dan moyang tersayang berumur 136 tahun.

Semoga Roh ALLAHyarham Syeikh Haji Mat Hassan Bin Munas, ALLAHyarhamuha Che Yah Binti Adam, ALLAHyarham Tok Mat Kelubi dan sekalian pejuang Melayu Islam yang lain, diredhai, dirahmati dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi ALLAH Azza Wajalla.

Bissirril Faatihah.

Kredit : Wan Asrul Al-Kalantani

Leave a Reply