Info Semasa, Viral

Tidak Sampai Sebulan Beroperasi, Stesen MRT Jadi Mangsa Vandalisme Minda Kelas Ketiga

Baru beberapa hari dilancarkan, Kemudahan Transit Aliran Massa (MRT) aliran Sungai Buloh – Kajang sudah menjadi ancaman minda kelas ketiga yang merosakkan kemudahan awam tersebut.

Melalui tinjauan yang dilakukan oleh pihak Astro Awani, puntung rokok dan sampah banyak dibuang merata-rata terutama di kawasan luar stesen. Lebih buruk lagi, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab mencalarkan serta merosakkan tempat duduk di kawasan platform MRT.

Bagi penyelenggara di Stesen MRT Bukit Bintang, Md Rasal, dia sendiri pernah melihat perbuatan membuang sampah di kawasan sekitar stesen tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

“Saya pernah nampak beberapa orang membuang sampah, kayu dan bermacam-macam lagi.

“Saya tak boleh tegur mereka, kerana mereka orang Malaysia, saya orang luar. Apa yang boleh saya buat hanyalah mengambil gambar dan laporkan kepada pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Bagi Muhammad Amir Jamal penyelenggara Stesen MRT Merdeka, beliau turut kecewa dengan tindakan memanjat serta menoreh tempat duduk di stesen berkenaan.

“Stesen ini unik dan cantik, malah antara pengguna yang ramai menggunakan stesen ini ialah orang muda daripada kalangan pelajar sekolah dan universiti.

“Jadi, dinding dengan mesej Rukunegara ini sewajarnya dihormati kerana ia ikrar kita sebagai Rakyat Malaysia.

“Takkanlah kita nak calarkan Rukunegara ?”

Sekiranya individu atau kumpulan ditangkap melakukan kerosakan kepada kemudahan awam terutamanya di stesen MRT, mereka boleh didakwa di bawah Akta Kerajaan Tempatan (9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), yang boleh membawa kepada denda RM 2,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun jika disabitkan kesalahan.

Tidak kurang dengan itu, mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply