Ilustrasi, Info Semasa, Manusia, Misteri, Pelik, Seram, Takut, Video, Viral

[VIDEO] Makhluk Misteri Di Laut Ini Memakan Kaki Seorang Remaja Di Australia

Lawatan ke pantai menjadi satu tragedi buat seorang remaja lelaki berumur 16 tahun, Sam Kanizay.

Baru-baru ini menjadi viral gambaran seorang remaja lelaki apabila dia tiba di hospital dalam keadaan kakinya berdarah seperti dilapah oleh ikan piranha.

Remaja yang berasal dari Melbourne, Australia ini menderita apabila kakinya digigit oleh makhluk laut misteri yang memakan daging apabila dia meletakkan kakinya di dalam air di pantai.

Sam Kanizay merasakan kakinya sakit selepas perlawanan bola pada Sabtu, 5 Ogos yang lalu, dan membuat keputusan untuk merendamkan kakinya di Dendy Street Beach di Brighton, Melbourne sebelum pulang ke rumah.

Setelah keluar dari air, dia perasan yang kakinya dipenuhi dengan darah.

“Saya keluar dan menyangkakan bahawa pasir pantai menyelubungi kaki saya dan hanya goncang untuk membuangnya. Selepas berjalan lebih kurang 20 meter, saya pandang ke bawah dan perasan yang kaki saya dipenuhi dengan darah,” katanya.

Remaja itu dibawa ke hospital selepas bapanya, Jarrod Kanizay, tidak berjaya untuk menghentikan pendarahan tersebut.

Selepas membawa anaknya ke hospital, bapanya berkata bahawa walaupun sudah menerima rawatan awal, anaknya masih lagi mengalami pendarahan kerana serangan pada kakinya itu.

“Sebaik sahaja mengelap, kaki dia terus berdarah; terdapat takungan darah di atas lantai,” kata Kanizay.

Demi mencari jawapan kepada misteri yang menyebabkan pendarahan kaki anaknya, Kanizay pergi semula ke pantai tersebut di mana anaknya digigit.

Dia mengambil air di bahagian pantai di mana anaknya diserang dan menuangnya ke dalam bekas dengan kandungan daging dan merakam eksperimen beliau.

Dalam video tersebut nampak dengan jelas beribu-ribu makhluk perosak melapah daging itu. Seorang saintis hidupan laut mengatakan bahawa kemungkinan besar kutu laut yang membuat serangan tersebut.

Walaupun kutu laut cenderung untuk memakan daging, Dr Genefor Walker-Smith mengatakan bahawa ianya jarang sama sekali berlaku. Beliau turut menambah bahawa kecederaan yang berlaku kepada remaja tersebut adalah disebabkan segerombolan yang sangat besar yang mungkin tertarik dengan luka pada kulit beliau.

Yang lebih menakutkan, kutu laut ini wujud di mana-mana sahaja dalam laut dengan beratus-ratus spesis.

“Ianya sentiasa wujud di mana-mana; anda boleh letak daging dalam air di mana-mana pantai dan anda boleh mencarinya,” tambah Walker-Smith.

Walau bagaimanapun, beliau mengatakan kes Sam ini adalah terpencil dan dia ‘berada di salah tempat pada salah waktu’.

Merujuk kepada darah yang tidak henti-henti keluar, Walker-Smith mengatakan kutu laut ini mungkin menyuntik anti-koagulan ke dalam makanan mereka untuk menghentikan darah daripada membeku.

“Mungkin kutu laut ini mempunyai anti-koagulan yang dilepaskan sama seperti lintah, jadi ianya menghentikan darah daripada membeku.”

Berita baiknya, darah itu akhirnya berhenti mengalir dan Sam dijangkakan akan pulih sepenuhnya tanpa sebarang parut kekal.

Walau bagaimanapun, insiden tersebut tidak akan menghentikan Sam daripada kembali ke pantai.

“Saya mungkin akan henti buat sementara waktu, tetapi saya pasti akan kembali untuk berenang di pantai.”

“Ramai orang yang pergi ke sana untuk berenang, jadi mungkin ianya hanya berlaku sekali seumur hidup,” kata Sam.

Leave a Reply