2 Bank Dari Indonesia Rancang Bakal Buka Operasi Di Malaysia Tidak Lama Lagi..

112

Dua bank Indonesia merancang untuk membuka cawangan di Malaysia susulan pemeteraian perjanjian antara pihak berkuasa kewangan kedua negara Isnin lalu.

Menurut portal FMT, Bank Mandiri milik kerajaan merancang untuk membuka cawangan di Malaysia tidak lama lagi sementara Bank Rakyat Indonesia berharap dapat bertapak dalam masa terdekat.

Pihak berkuasa kewangan Indonesia, Otoritas Jasa Keuangan (OJK), dan Bank Negara Malaysia menandatangani perjanjian membenarkan tiga bank masing-masing membuka cawangan di kedua negara.

Dua bank Malaysia CIMB dan Maybank  antara bank yang besar di Indonesia, menurut laporan Nikkei Asian Review.

Bagaimanapun, Mandiri, pemberi pinjaman terbesar Indonesia mengikut aset, satu-satunya bank Indonesia di Malaysia, menjalankan satu pejabat kiriman wang di negara ini.

Sebelum ini bank itu merungut tentang kawalan ketat keatas keperluan modal di Malaysia, antara kawalan lain, untuk bank asing yang mahu masuk ke negara ini.

OJK berkata perjanjian baharu antara dua negara itu bertujuan untuk mengurangkan “ketidaksamaan akses” di dua pasaran itu.

“Kita akan bertindak pantas merebut peluang ini,” kata setiausaha korporat Mandiri Rohan Hafas kepada pemberita Rabu lalu, menurut laporan Nikkei Asian Review.

“Kami merancang untuk segera memohon lesen penuh bagi menjalankan operasi penuh di Malaysia.”

Hafas berkata Mandiri akan mencapai keperluan modal RM300 juta yang ditetapkan BNM menjelang hujung tahun ini  RM100 juta darinya “akan didepositkan secepat mungkin”.

Mandiri, menurut laporan itu, tidak semestinya menyasarkan pasaran Malaysia.

Bahkan, bank itu menyasarkan pendapatan berasaskan fi daripada perkhidmatan kiriman wang untuk pekerja-pekerja asing warga Indonesia, serta daripada aktiviti perdagangan yang melibatkan perniagaan warga Indonesia.

Terdapat lebih 800,000 pekerja berdaftar Indonesia di Malaysia — kebanyakannya digajikan sebagai pembantu rumah atau pekerja ladang.

Pekerja asing mengirim AS$979 juta (RM3969 juta) dari Malaysia ke Indonesia sepanjang tempoh lima bulan hingga Mei, menurut data daripada agensi penempatan pekerja asing Indonesia.

“Kita hanya akan buka pejabat di beberapa kawasan — yang menjadi tumpuan komuniti pekerja asing warga Indonesia, dan mungkin di kawasan pusat perdagangan yang menyaksikan aktiviti perdagangan yang rancak melibatkan perniagaan Indonesia,” kata Hafas.

Sebuah lagi pemberi pinjaman milik kerajaan, Bank Rakyat Indonesia, berkata ia akan pertimbangkan kemasukan ke negara ini. Bagaimanapun ia mungkin tidak akan berlaku sehingga tahun depan, kerana bank itu sekarang ini sedang meluaskan perniagaannya di Timor Timur, kata pengarah Haru Koesmahargyo.

BRI akan memanfaatkan sepenuhnya kelonggaran kawalan ini,” katanya seperti yang dilaporkan.

OJK berkata pemeteraian perjanjian itu sebahagian daripada perlaksanaan Kerangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN.

Di bawah skim itu, negara anggota Asean termasuk Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk membenarkan bank-bank tempatan akses dan keanjalan yang lebih besar di rantau ini, selagi mereka memenuhi ciri-ciri kelas Bank Asean Bertaulian.

Comments

comments