“Aku Tak Pernah Rasa Abah Sayang Aku Dulu. Jangan Jadi Macam Aku”

5744

Abah aku peneroka Felda. Dia pun ambil upah menoreh getah. Mak aku pula tukang kebun sekolah.

Emak pernah jatuh longkang sekolah sampai tangan terkehel masa sapu sampah.

Bayangkan kau dalam kelas tapi mak kau sapu sampah kat luar. Angkut sampah berpanas. Pergi toilet mak kau tengah mencuci.

Makan lauk ayam sangat special. Nak puasa ni aku teringat sehari sebelum puasa abah mesti beli ayam. Mak buat ayam masak merah. Rendang raya ayam kampung.

Pergi sekolah 2 kilometer jalan kaki. Kalau hujan abah tak pergi menoreh. Petang abah pergi sungai tahan bubu/jala ikan. Sebab tu aku makan saja ikan sungai.

Kena kutuk kawan? Tu NORMAL. Barang sekolah turun menurun abang ke adik.

Dulu raya bulan Disember. Kami ada pilihan baju raya or baju sekolah baru?

Kasut raya? Steady selipar Ultraman/kasut sekolah.

Aku tak beraya sebab orang kutuk anak siapa? Ala Khalid anak banyak tu. Sembilan saja pun kecoh!

Kami kesian dekat mak. Kadang-kadang malu. Kami mintak mak tukar kerja. Mak jadi tukang kebun kilang sawit. Jadi tak adalah nampak dah.

Sebenarnya aku nak cerita lain. Ni kisah abah aku. Aku dulu memang tak rapat pun tambahan pula takut dengan dia sebab garang.

Ni kisah buruk aku dulu. Jangan jadi macam aku.

Aku tak pernah rasa dia sayang aku dulu.

Kami sembilan beradik. Aku no 5. 1 sampai 5 tu semua lelaki.

Kisah ni muncul balik bila baru ni aku dengan mak terjumpa orang yang patut jadi keluarga angkat aku.

Aku tahu kisah ni dari remaja lagi. Sebab tu aku dingin sikit dengan abah. Berdosa aku sebenarnya.

Balik tu aku tengok mak diam. Aku tau kisah tu. Abah berjanji bagi kat orang kalau mak bersalin ni keluar anak laki lagi.

Bila mak selamat bersalin orang tu datang menuntut hak. “Kami datang ni nak menuntut hak”. Mak tak tahu tentang tu.

Mak terkejut dan pertahankan aku. Mak tetap tak nak bagi.

Dipendekkan cerita, aku memang tak banyak bercakap dengan abah masa remaja. Sampai sekolah menengah.

Bila hari akademik. Semua mak bapak datang nak tanda buku rekod. Dia tak pernah datang langsung. Aku bawa balik buku tanda tangan sendiri tak pun emak.

Aku rasa memang dia tak sayang aku. Tulah silap aku sebenarnya.

Aku tak pandai pun masa sekolah. Kategori sederhana. Masa Form 4 aku buat pecutan nak berjaya. Bila dapat nombor 1 aku mengharap dia datang sekolah jumpa cikgu.

Aku tunggu dekat luar. Jenguk ikut tingkap. Sampai tengah hari tapi dia tak muncul. Asal dengar bunyi motor toleh keluar.

Aduii.

Aku beritahu dia suruh datang. Tapi langsung tak ada. Dia tak sayang tu Menoreh tu lagi penting. Aku tak sedar dia kerja tu untuk isi perut kami semua makan.

Balik rumah aku merajuk.

Bila nak SPM tu aku merayu emak datang tanda buku rekod. Mak cuti separuh hari kerja. Masa tu dia kerja tukang kebun kilang.

Aku dapat no 1 tapi aku bukan kelas pandailah. Kelas tengah percubaan SPM dapat 4A.

Cikgu tanya. Ayah tak datang ke? Aku geleng.

Aku tak sangka mak datang. Memang aku gembira sangat. Tu la kenangan paling manis aku.

Ada parents kawan aku. Result dia teruk terus campak buku rekod dekat muka. Gulp!!

Aku dapat result SPM. One of the best students dekat sekolah. Balik saja tengok abah dekat depan rumah. Dia tak menoreh kot.

Dia tanya aku.. Macam mana result kamu? Aku jawab acuh tak acuh. Bolehlah.

Aku terus laju pergi dekat mak. Mak kat beranda. Abah tengok saja dari jauh. Aku gembira dengan emak.

Rupanya abah naik rumah ambil wuduk buat solat sunat syukur dan sujud syukur. Meraikan keputusan SPM aku.

Masa ni mak berhenti kerja dah sebab kontrak habis. Aku tolong mak gerai jual nasi lemak.

Abah tanya kamu nak masuk universiti ke? Abah tak mampu. Lagilah aku nak memberontak.

Aku tekad nak masuk universiti. Tapi masalah kewangan tu buat mak risau.

Kalau nak tau aku masuk uitm dapat duit Zakat Pahang RM500, Hadiah Yayasan Pahang RM1500, Hadiah Felda RM1000. Lepas itu abang bagi sikit. Aku buat Lower 6 kejap. Dapat biasiswa juga masa tu.

Tu la duit aku ada.

Masa nak daftar abah bagi duit. Dalam hari ada pula duit. Emosi betul aku!

Tahukah Ridzuan Khalid yang duit kamu dapat tu hasil beliau tebal muka merayu untuk berhutang dengan Pengurus Felda dan Ketua Kampung? Tidakkkk!!!

Dah grad baru aku tahu.

Abah hantar daftar uitm. Dia sewa kereta kawan. Orang tu gak bawak. Kereta Datsun Tonggek. Sadis!

Kenapa tak masuk universiti lain? Uitm yuran murah ya tuan-tuan dan puan-puan. Makan percuma bawak kad makan saja pergi dewan makan. Woi rindu ayam KFC setiap Sabtu.

Masa tu aku tak pernah makan KFC sebenarnya.

Masa nak SPM mak tunggu setiap malam aku study. Sampai tersengguk2. Abah masa tu. Hurmm!

Maaf abah! Aku tak faham sifat seorang ayah masa tu. Rupanya dia banyak tanya tentang aku tapi ikut emak. Tapi takkan tanya sendiri. Sampailah aku dekat uitm. Tak pernah aku update tentang belajar dekat dia.

Abah nak aku fokus belajar. Dia marah bila aku balik sekolah dulu kerja dekat nursery sawit. Aku nak beli buku rujukan.

Jujurnya abah tak ada mintak aku pergi kebun. Abah tak bawak aku pergi sungai mancing semua. Aku ingat dia pilih kasih.

Rupanya dia tak nak aku sakit. Aku lelah dulu.

Bila aku mula buka mata dan sedar dia sebenarnya sayang aku. Hurm!

Ini kisahnya..

Cuti semester diploma.

Aku kena ambil adik balik sekolah.

Naik motor lalu rumah kosong.

Ada sarang tebuan dekat pokok jambu.

Ada budak baling.

Aku kena sengat tebuan 2 3 das.

Balik rumah meraung.

Sakit!

Abah lepas solat.

Dia dengar aku meraung.

Kena gigit tebuan sakit weh.

Abah tanya kenapa? Aku bagi tau budak baling sarang tebuan masa aku lalu.

Abah mula motor pergi tengok tempat tu.

Balik rumah muka dia merah padam.

Dia cari buluh minyak api semua.

Dia pergi bakar sarang tu.

Hasilnya dengan dia sekali kena sengat. Bengkak muka dia.

Allahuakbar!

Macam drama kan!

Sejak itulah aku berubah. Aku teringat pesan mak semula. Sebenarnya aku yang salah.

Semua perangai buruk aku flashback balik. Aku minta maaf. Aku cuba rapat dengan dia. Abah tetap abah.

Padahal masa aku belajar tu abah bagi saja duit belanja. Tak banyak sikit ada saja. Duit pinjaman tu tahan saja sampai habis semester.

Aku belajar salam cium tangan abah. Masa raya aku peluk dia. Tu la benda paling awkward dulu. Sentuhan pertama tu macam ada karan. Rasa macam kelakar pun ada.

Huhu!

Aku tekad nak bantu keluarga. Akulah harapannya. Aku nak buat rumah baru. Adik-adik aku nanti belajar senang.

Masa degree dekat Shah Alam kerja part-time waiter setiap hari sampai aku final semester. Penat nak mati. Aku resign tapi weekend kerja dekat tuition centre. Nak fokus buat IS.

Anggaplah ini nasihat dari abang kepada adik-adik.

Dahulukan keluarga apa sekali pun. Nasib orang beza-beza. Jangan lupa diri bila dah berjaya. Kembali kepada BASIC.

Kami pernah dikutuk dihina sebab hidup susah. Aku tekad tak beli kereta. Aku rempit. Cukup 6 bulan gaji terus buat loan.

Pedulikan orang. Jangan makan sedap travel sana sini tapi mak bapak dekat kampung makan nasi dengan ikan kering. Pensyarah naik kapcai. Steady! Kena kutuk amalkan konsep mampuslah orang cakap.

Naik bas. Naik LRT. Jangan malu.

Aku beli kereta lepas 4 tahun kerja. Tu pun adik-adik dah habis belajar.

Aku beli rumah pertama pun masa umur 33 tahun. Banyak tips kewangan semua. Teknik menabung. Setahun kumpul 10k. Invest semua. Jangan taksub sangat.

Bahagiakan dulu syurga kamu. Rezeki manusia berbeza. Jangan COMPARE. Harta tak bawa ke mana.

Mereka harta dunia akhirat. Tu la BASICnya.

Hiduplah dgn acuan kita sendiri. Ingatlah kejayaan kita hari ni bukan usaha kita seorang diri. Tak berkat hidup. Allah tarik nikmat rezeki tanpa kita sedar.

Sekarang malu lagi tak? TIDAK!

Kamu anak siapa? Anak Khalid dengan Sapiah.

Oooooo!! Anak-anak dia ramai yang berjaya. Pandai-pandai.

Aku dah puas merantau hidup jauh. Ada cakap kenapa kau nak duduk sini. Redha aku bersama mereka. Aku buat perniagaan jual kuih #projekkuihbangkit tu. Aku ambil job seminar semua.

Aku memang minta duduk dekat mereka. Kenapa? Mereka lagi perlukan aku. Walaupun kadang sesak tapi ada saja rezeki.

Tiap minggu aku balik kampung rasa masakan ibu. Dulu susah aku dapat. Aku bawak emak pergi beli barang dapur.

Aku sikit pun tak ada rasa cemburu dengan kehidupan best kawan-kawan.

Kami tak kaya tak mewah. Tapi rezeki kami ada saja. Kalau terdesak mak bagi pinjam. Katanya duit anak-anak bagi. Ingatlah dalam rezeki kita ada juga rezeki orang lain. Saya banyak join dan buat charity program.

Adakah saya bahagia? Sangat bahagia.

Saya dulu pernah merungut susah. Tapi saya lupa rupanya ada yang lebih susah. Jangan COMPARE!

Terima kasih mak abah.

INI KISAH SAYA. ANDA PULA BAGAIMANA? Siapa follow kisah aku di Instagram ramai yg mengalir airmata baca kisah pembatalan umrah kami last minute.

Mcmana aku struggle belajar dulu. Abah kena strok dan sebagainya.

Hormat mak ayah ya, adik-adik. Jangan bagi mereka menangis. Please!

Doakan rezeki umrah kami semula yeh. #kembalimenabung

Kembali kisah abah yang aku merajuk tak penah datang sekolah.

Abah dengan penuh bangga naik pentas mewakili aku terima Top 4, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2000.

Aku dah 3 kali konvokesyen tapi abah tak pernah datang. Aku tak sedih pun. Aku tau abah bangga dengan kejayaan aku.

Pernah dengar pasal PENGORBANAN kan. Yang pakai jubah konvo tu abang ke-2 saya. Dia bijak tapi terpaksa melepaskan impian sendiri demi adik-beradik. Habis SPM berhijrah ke KL cari kerja. Dia dahulukan keperluan adik-beradik yg lain. Masa tu abang sulong berjaya masuk ke universiti.

Bersatulah kita adik-beradik dan bina hubungan yang utuh. Saling membantu.

Jangan ada rasa tamak dan sombong.

Biar kita tak kaya harta. Tapi kita kaya dengan bahagia.

Apakah bahagia yang anda cari? Kalau anda tanya pada saya..saya cuma mahu lihat mak abah tersenyum.

Abg ketiga aku pun sama berkorban. Bijak dan result SPM pun bagus. Tapi mengalah demi adik-beradik.

Jangan lupa kejayaan anda dpt sekarang ni bukan usaha sorang diri. Ada orang lain yg telah menangis dan bermandi peluh berkorban untuk anda. Hargai PENGORBANAN mereka.

Ciptalah moment keluarga.

Aku buat video raya family tiap tahun since 2012. Semua moment aku rekod mak masak etc. Video kami peluk cium dan salam mak abah wajib ada.

Kenapa? Satu hari kami perlu bersedia raya tanpa mak abah. Jangan kesal pada kerinduan.

Record video mak masak rendang, bakar lemang. Cucu main bunga api. Ambil sebanyak boleh muka mak abah kita.

Raya bukan nak bergaya selfie je. Cipta moment adik-beradik. Video ni aku tengok bila rasa down or stress keja.

Boleh tengok mak abah aku makin tua. Video tu je nanti kenangan kami.

Ladang Pahala Untuk Ibu

Aku tak kaya nak bagi emas.Tapi aku bagi yang mampu dengan cara kongsi ilmu.

Aku record mak masak. Aku buatkan video. Aku post resepi. Orang tengok dan belajar.

Pahala berkongsi ilmu tu akan berterusan.

Lagipun aku takut rindu masakan mak bila dia tak ada nanti.

Sumber: @RidzuanK

Comments

comments