AS Lancar Serangan Udara Pertama, Sasar Lokasi Militan Disokong Iran Di Syria

Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara ke atas prasarana digunakan pasukan bersenjata yang disokong Iran di timur Syria, semalam.

Ia dikatakan sebagai ‘isyarat keras’ dihantar pentadbiran Presiden Joe Biden kepada Tehran susulan serangan roket ke atas lokasi tentera AS di Iraq, baru-baru ini.

Sumber : France24

Serangan itu adalah tindakan ketenteraan pertama ke atas kumpulan disokong Iran selepas Biden mengambil alih tampuk pemerintahan AS kira-kira lima minggu lalu.

Jabatan Pertahanan AS memaklumkan, tenteranya melancarkan serangan udara ke atas pusat kawalan sempadan Syria-Iraq yang digunakan kumpulan terbabit, dan memusnahkan beberapa prasarana berkenaan.

Sumber : Arab News

Advertisement

“Atas arahan Presiden Biden, tentera AS telah melancarkan serangan udara ke atas infrastruktur digunakan kumpulan militan yang disokong Iran di timur Syria”

“Ia adalah tindak balas terhadap serangan baru-baru ini ke atas personel AS bersama gabungan di Iraq dan ancaman berterusan yang mereka hadapi,” kata jurucakap Pentagon, John Kirby, dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun setakat ini, Kirby tidak menyatakan sama ada berlaku sebarang kematian akibat serangan dilancarkan pada petang semalam itu.

Namun, Pemantau Hak Asasi Manusia Syria dilaporkan berkata, seramai 17 orang terbunuh selepas serangan itu membedil tiga trak dari Iraq yang sarat dengan muatan peralatan perang, berdekatan kota Bukamal di Syria.

Sumber : outlookindia.com

Kumpulan pemantau itu mendakwa, kesemua yang maut adalah anggota tentera Hashed al-Shaabi, iaitu pasukan memayungi pelbagai gerakan militia mempunyai hubungan dengan Iran.

Kirby berkata, serangan udara berkenaan menyasarkan lokasi yang digunakan kumpulan bersenjata Iraq bawah Hashed al-Shaabi, iaitu Kataeb Hezbollah dan Kataeb Sayyid al-Shuhada.

Serangan ini susulan ketegangan yang berlaku di bawah pemerintahan Trump, yang menyebabkan pembunuhan pemimpin tentera Iran Qassem Soleimani di AS pada Januari 2020.

Iran kemudian membalas dengan serangan peluru berpandu balistik terhadap pasukan AS di Iraq tahun lalu.

SUMBER

Comments

comments