Bekas Pengarah MSN Zolkples Tak Setuju Ziyad Diberi Ganjaran

“Kegagalan adalah kegagalan”, itulah apa yang didakwa Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. Ini selepas ada cadangan memberikan Ziyad Zolkefli ganjaran yang setimpal walaupun pingat emasnya dalam acara lontar peluru di Paralimpik Tokyo 2020 ditarik balik.

Zolkples turut merasakan jika Ziyad diberikan ganjaran walaupun dia gagal, ini akan memberi impak negatif kepada masa depan sukan negara. Beliau bimbang jika situasi seakan Ziyad turut berlaku kepada atlet lain, mereka juga akan menuntut ganjaran setimpal.

“Asasnya, Ziyad dalam kes ini, dia dikatakan ‘Did Not Start’ walaupun mengambil bahagian dalam (status) protes dan segalanya. Pada akhirnya, kejayaan dia ditarik dan dia tidak berjaya, gagal. Jadi, bagaimana kita nak menafikan kegagalan itu?”

“Di sini ada yang ingin mengambil kesempatan. Ada yang nak ‘menangguk di air keruh’, kononnya nak tunjuk simpati. Saya pun simpati. Kalau nak dikirakan nilai sentimental, saya adalah orangnya kerana sayalah yang mula membawa Ziyad sewaktu saya Ketua Pengarah MSN.” – Katanya.

ziyad

Bagaimanapun, Menteri Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini mencadangkan kepada Kabinet untuk memberikan ganjaran setimpal kepada Ziyad bagi menghargai usahanya di Paralimpik.

Advertisement

Ini apabila apa yang berlaku ke atas Ziyad tidak pernah dijangka, malah tidak pernah dikatakan dalam dasar pemberian ganjaran kepada atlet.

Cadangan pemberian ganjaran setimpal ini turut disokong bekas Menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Kecualilah kalau mereka yang cadangkan itu ingin mencari duit sendiri, bagi duit sendiri… itu lainlah. Tapi jangan guna duit SHAKAM kerana di bawah kategori SHAKAM, tak ada peruntukan yang boleh membenarkan Ziyad menerima imbuhan ini.”

“Apa yang penting, jangan mulakan kerana kalau diberi nanti, apabila ada lagi kes seperti ini berlaku, maka akan jadi haru-birulah. Seperti saya katakan, peraturan dibuat untuk diikuti bukan untuk dilanggar.” – Tambah Zilkples lagi.

Untuk pengetahuan, Ziyad yang memenangai pingat emas Paralimpik Rio 2016 lalu turut menerima ganjaran RM1 juta di bawah SHAKAM, unit suite kediaman di Trion 888, Equine Park dan Kia Sportage sumbangan Naza Corporation. Selain itu, Ziyad turut menerima RM5,000 setiap bulan sepanjang hayat.

Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara

Comments