Belanjawan 2020: #MalaysiaKerja Sediakan Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat

1332

Melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan petang tadi, #MalaysiaKerja dilancarkan bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada belia dan wanita. Inisiatif ini juga dilakukan bagi mengurangkan kadar kebergantungan pada pekerja asing berkemahiran rendah.

Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng memberitahu usaha #MalaysiaKerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada majikan dan pekerja.

#GraduanKerja disasarkan kepada golongan graduan yang menganggur untuk tempoh lebih 12 bulan. Di dalam program ini, graduan yang menerima tawaran kerja akan mendapat insentif gaji sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh dua tahun.

Bagi majikan pula, mereka akan mendapat insentif pengambilan kerja sebanyak RM300 juga dalam tempoh masa yang sama.

#WanitaKerja bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.

“Insentif sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh dua tahun akan diberikan kepada wanita yang kembali bekerja.”

Manakala majikan akan diberikan insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan diberikan dalam tempoh masa yang sama. Pengecualian cukai pendapatan akan dilanjutkan kepada empat tahun lagi sehingga tahun 2023 bagi wanita kembali bekerja.

#WatanKerja pula program mengalihkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dengan program kesamarataan pengambilan pekerja.

Bagi warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama.

#PerantisKerja adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan. Elaun diberikan kepada pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET.

Melalui program #MalaysiaKerja ini, akan membantu rakyat Malaysia yang menganggur menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan. Selain memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat masih relevan.

Comments

comments