Bermula Jumaat Ini, Semua Masjid Dan Surau Di Selangor Akan Kembali Dibuka

masjid

Berita baik untuk rakyat Selangor apabila semua masjid dan surau telah diberikan kebenaran untuk kembali dibuka bermula Jumaat ini. Seperti semua sedia maklum, sebelum ini semua masjid dan surau terpaksa ditutup buat sementara waktu kerana pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan mengenai perkara itu setelah mendapat taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan data terkini wabak COVID-19 di negeri ini.

Bilangan jemaah masih dihadkan

jemaah solat

Namun, bilangan jemaah yang boleh menunaikan solat pada satu masa masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memberitahu bilangan jemaah juga perlu mengikuti keluasan ruang masjid atau surau.

Advertisement

Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, jumlah jemaah yang ditetapkan bagi solat Jumaat dan solat fardhu adalah 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Manakala jumlah jemaah bagi semua masjid lain untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan maksimum 500 orang.

solat jemaah

Namun ianya tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid. Ianya juga tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan.  Sementara itu, bagi Surau Kebenaran Solat Jumaat, jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau itu.

Untuk surau bagi solat fardhu pula, jumlah jemaah yang ditetapkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Ibadah korban

Sultan Sharafuddin bertitah supaya ibadah korban dilakukan di masjid sahaja dan mana-mana surau yang telah merancang untuk melakukan ibadah itu boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

Mohamad Munir berkata, segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor akan dikeluarkan oleh JAIS serta jawatankuasa masjid dan surau berkaitan.

Baginda turut menitahkan supaya semua jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya berwuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup separuh muka semasa hadir ke masjid atau surau serta mengamalkan jarak sosial. Manakala, mereka yang tidak sihat dilarang untuk menyertai solat jemaah di masjid serta surau.

Comments

comments