Butang Baju Melayu Logo PDRM Tak Boleh Dipakai Oleh Orang Awam

2406

Kurang dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba, orang ramai kini masih sibuk membeli kelengkapan raya seperti pakaian dan kuih muih. Bukan sahaja pembeli, malah para penjual juga tidak melepaskan peluang untuk menjana pendapatan sempena musim perayaan ini.

Akan tetapi, dalam keghairahan mencari rezeki, ada dikalangan peniaga yang seolah-olah lupa menjaga etika berniaga sehingga menyentuh hal-hal sensitiviti pihak lain.

Antara yang sedang hangat ketika ini ialah mengenai penjualan butang baju Melayu yang menggunakan logo Polis Diraja Malaysia(PDRM). Penjualan butang baju Melayu tersebut telah tular sejak beberapa hari lepas di media sosial dan dijual secara atas talian.


Dipetik dari Awani, PDRM  mengesan penjualan butang baju Melayu berlogo PDRM yang dibuat secara terbuka dan atas talian sekali gus mampu mengundang perlakuan jenayah.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad kelengkapan dan peralatan pakaian seragam PDRM hanya boleh dijual kepada pegawai polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) dan Kadet Polis dengan menunjukkan Kad Sijil Pelantikan.

Kesahihan status pembeli dan kad kuasa yang ditunjukkan secara atas talian tidak mungkin dapat dipastikan kerana setiap peniaga yang berlesen dikehendaki mencatatkan butiran pembeli ke dalam Buku Daftar Penjualan.

Pembeli juga dikehendaki menandatangani di atas pembelian yang dibuat namun proses ini tidak dapat dilakukan sekiranya penjualan di buat atas talian.

Kata Asmawati, peralatan polis adalah dikhususkan ke atas pakaian seragam polis dan jika perkara ini tidak dicegah dan dikawal ia mampu mengundang perlakuan jenayah seperti penyamaran dan sebagainya.

Justeru itu, tindakan segera akan diambil dengan memberi nasihat, membatalkan permit perniagaan atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu jika ia dijual tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

 

Jadi kepada anda di luar sana yang teringin nak beli butang baju Melayu logo PDRM, elakkan kerana ini adalah satu kesalahan jenayah.

Sumber: Astro Awani

 

Comments

comments