Cara Elakkan Menjadi Mangsa ‘Scammer’

746

Terlalu banyak kes melibatkan scammer di Malaysia dan biasanya mereka akan mengaku panggilan berkenaan merupakan wakil dari pihak bank.

Jika anda pernah menggunakan mesin ATM sebelum ini, anda mungkin melihat mesej yang ada pada skrin seperti amaran dari bank supaya tidak memberikan butiran peribadi anda melalui telefon. Mungkin saat itu anda terfikir yang tidak semudah itu untuk anda di tipu.

Sumber: Bank Rakyat

Ternyata anda silap!

Menurut Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) jumlah kerugian dialami mangsa scam sejak tahun lalu mencatatkan sebanyak RM113.11 juta dan ini merupakan masalah yang serius sebenarnya.

Yang paling popular dan viral di Malaysia sejak tahun lepas ialah kes scam Hong Leong Bank.

Modus operandi

  • Menggunakan nombor sebenar milik Hong Leong Bank (03-76268899) dan menelefon mangsa menggunakan suara mesin mengatakan kononnya mangsa ada hutang tertunggak.
  • Panggilan akan disambungkan kepada operator yang akan menerangkan mengenai pinjaman tersebut walaupun sebenarnya mangsa tidak membuat sebarang pinjaman dan meyakinkan kononnya maklumat peribadi mereka telah disalah gunakan oleh orang lain.
  • Seterusnya, panggilan mangsa akan disambungkan ke IPK Pulau Pinang untuk membuat laporan tentang salah guna maklumat.
  • Mereka akan meminta maklumat peribadi mangsa seperti nombor kad pengenalan dan nama penuh.
  • Kemudian mangsa akan mendapat paggilan dari talian 04-2221152 (IPK Pulau Pinang) yang kononnya akan merekod perbualan tersebut. ‘Sarjan’ yang menelefon mangsa akan meminta untuk menyemak data melalui nombor kad pengenalan ke bahagian rekod sama ada nombor tersebut terlibat dengan mana-mana kes lain.
  • Mangsa akan diberitahu yang mereka terlibat dengan kes pengedaran syabu dan ‘polis’ berkenaan meminta nombor akaun mana-mana bank untuk membuat bayaran sebagai jaminan kepada kes tersebut.
  • Selain itu mangsa juga akan diminta supaya tidak memberi tahu sesiapa termasuk ahli keluarga.

Untuk pengetahuan anda, segala situasi untuk modus operandi di kedengaran sangat ‘real’ seperti di dalam situasi sebenar sehingga ramai yang tertipu dengan mereka.

Sangat licik!

Berdasarkan statistik dikeluarkan CFM, kes penipuan menerusi panggilan dan SMS sehingga Oktober 2017 yang direkodkan berjumlah 3,069 kes.

CFM menggesa para pengguna agar lebih berwaspada apabila menerima panggilan yang mencurigakan dan sentiasa peka mengenai teknik penipuan yang digunakan sindiket scam bagi mengelakkan diri daripada ditipu menerusi kegiatan haram tersebut.

Sumber: Komo

Tujuan utama sindiket tersebut adalah untuk mendapatkan butiran peribadi perbankan daripada mangsa. Melalui kaedah “Caller ID Spoofing”, sindiket penipuan scam boleh meniru nombor telefon pihak lain dan nombor tersebut akan tertera pada telefon mangsa yang dihubungi.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengeluarkan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh BNM. Anda boleh mendapatkan senarai scammer tersebut di sini.

Cara elak ditipu scammer

Jangan jawab panggilan antarabangsa

Sumber: Berita Harian

Jangan jawab panggilan daripada nombor telefon dari luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor tersebut adalah senarai kenalan anda.

Jangan berikan sebarang maklumat peribadi.

Sumber:PDP

Maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, password perbankan online, kod CVV pada kad bank anda atau pun nombor TAC anda sila simpan untuk kegunaan anda sendiri sahaja. Jika pihak tersebut meminta maklumat tentang kad debit/kredit dan perbankan online anda, lebih baik anda tamatkan sahaja panggilan tersebut.

Catat segala maklumat pemanggil

Catat butiran daripada pihak yang menghubungi anda dan maklumkan kepada mereka yang anda tidak dapat bercakap pada waktu tersebut dan akan menghubungi mereka semula. Bertenang dan jangan panik. Semak nombor telefon bank anda atau pihak penguatkuasa undang-undang di laman web rasmi mereka seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Jangan muat turun aplikasi yang mencurigakan

Jangan memuat turun sebarang aplikasi jika anda diminta berbuat demikian kerana dikhuatiri mengandungi Malware atau Spyware yang mungkin dapat mendedahkan butiran peribadi anda.

Pastikan aplikasi itu adalah aplikasi rasmi daripada syarikat berkenaan, lagi-lagi yang melibatkan kewangan.

Hubungi talian khidmat pelanggan

Hubungi Penyedia Perkhidmatan anda jika anda menerima panggilan yang tidak dikenali berulang kali.

Guna aplikasi untuk mengenal pasti dan menyekat panggilan

Playstore dan iOS sering mengeluarkan aplikasi yang boleh menyekat panggilan. Fungsi ini amat berguna kerana masa panggilan diterima, sesetengah aplikasi boleh mengesan dan memaparkan nombor berkenaan sebagai scammer dan sebagainya.

Antara aplikasi yang boleh dimuat turun ialah ‘truecaller’. Selain itu, anda boleh menggunakan laman web scam.my menghimpunkan segala maklumat berkaitan ‘scammer’.

Anda hanya perlu masukkan nombor telefon, akaun bank dan beberapa maklumat tambahan.

Hanya klik pada ruang carian dan jika butiran yang dimasukkan itu dikesan sebagai ‘scammer’, segala maklumat mengenai pihak terbabit akan dinyatakan.

Semak dulu nombor telefon yang mencurigakan sebelum anda menjadi mangsa scammer seterusnya. Semoga bermanfaat.

Comments

comments