COVID-19: 3 Senario Menakutkan Bakal Berlaku Sekiranya Rakyat Malaysia Terus Berdegil

covid-19 di malaysia

Oleh kerana tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu 18 Mac sehingga 31 Mac nampaknya seperti tidak berhasil, pihak kerajaan kini telah menginjakkan tempoh tersebut sehingga 14 April nanti. Walaupun sudah diberi peringatan hampir saban hari, masih ramai rakyat Malaysia yang ingkar dan tetap keluar rumah untuk menjalani hari-hari mereka seperti biasa.

Berikutan dengan itu, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu Dr. Ahmad Samhan Awang menegaskan bahawa gelombang ketiga COVID-19 mungkin akan tercetus dan ianya akan membuatkan keadaan menjadi lebih huru-hara.

1. Barisan hadapan kesihatan akan lumpuh

Seperti yang anda sedia maklum, disebabkan oleh wabak COVID-19 yang kian meneruk, bukan sahaja rakyat biasa yang terjejas dengan bahaya malahan banyak kakitangan kesihatan barisan hadapan yang telah dijangkiti dengan virus ini.

Hal ini terjadi apabila pesakit menipu dan tidak bersikap jujur semasa memberikan maklumat semasa pemeriksaan lantas ia memberikan risiko yang tinggi kepada para petugas tersebut untuk dijangkiti COVID-19.

Sekiranya perkara ini berterusan, semakin berkuranglah jumlah kakitangan yang boleh merawat pesakit COVID-19 secara efisien. Tak mustahil, semua petugas barisan hadapan ini akan lumpuh dan tugas merawat akan diambil alih oleh orang yang bukan pakar.

covid-19 di malaysia

2. Peralatan sokongan kian berkurangan

Dengan pertambahan jumlah pesakit, tidak peliklah alat sokongan yang mampan sekarang akan berkurang tidak lama lagi. Antara alat penting dalam merawat pesakit COVID-19 ialah alat bantuan pernafasan di ICU dan banyak institusi kesihatan yang telah meminta jasa baik orang ramai untuk menyumbangkan alat tersebut sekiranya mampu.

Meskipun wabak COVID-19 yang menjadi perhatian utama sekarang ini, tetapi para pesakit lain juga tidak harus dilupakan. Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti lemah jantung dan strok juga sangat memerlukan alat bantuan pernafasan ini. Sekiranya kes kian melambak, petugas kesihatan terpaksa membuat pilihan tentang siapa yang perlu hidup dan siapa yang perlu mati. Takutkan?

covid-19 di malaysia

3. Permulaan gelombang ketiga 

Perlu diingatkan, sekiranya gelombang ketiga bermula di Malaysia, semakin tipis harapan kita untuk memulihkan banyak nyawa. Itali merupakan contoh yang terbaik bagi menjelaskan situasi ini. Disebabkan rakyatnya mengambil sambil lewa sahaja langkah pencegahan yang diuar-uarkan, beribu kes positif COVID-19 yang dilaporkan pada saban hari kini.

Jadinya, kuarantin diri merupakan salah satu langkah yang paling efektif dalam membendung wabak ini daripada terus mengganas. Bukan sengaja pihak kerajaan merayu rakyat Malaysia supaya tinggal sahaja di rumah buat sementara waktu ini, walhal ia adalah jalan penyelesaian yang paling ampuh buat masa ini.

covid-19 di malaysia

Untuk mengelak gelombang ketiga ini, rakyat Malaysia diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Sumber

Comments

comments