COVID-19: Produk ‘Antah Wellness Defend Healthtag’ Viral Selepas Beberapa Menteri Didakwa Turut Memakainya

antah wellness healthtag

Tidak semena-mena, produk Antah Wellness Defend Healthtag ini menjadi viral dalam kalangan netizen selepas beberapa menteri dilihat memakainya. Ini semua gara-gara ada yang mendakwa produk tersebut memampu menghindarkan diri daripada jangkitan wabak COVID-19. Tetapi tidak dapat dipastikan, kesahihan disebaliknya.

Namun, beberapa gambar pemimpin Malaysia yang memakai produk tersebut menguatkan lagi dakwaan bahawa produk tersebut sememangnya dapat membantu. Antara yang dilihat memakai ‘tag’ tersebut ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri.

tan sri muhyiddin yassin

dato ismail sabri

Advertisement

Tetapi sejauh manakah keberkesanannya? Lagi-lagi apabila gambar yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp ini tidak dapat dipastikan sama ada ia sebenarnya adalah produk Antah Wellness Defend Healthtag. Hebahan mengenai produk ini mula menjadi bualan ramai selepas dikongsikan di media sosial sejak beberapa hari ini.

Harga naik mendadak

Harga asal produk tersebut adalah RM59.90 namun berdasarkan tinjauan di beberapa platform penjualan atas talian, ada yang menjualnya pada harga RM99.90! Buat masa ini, Shopee menjualnya pada harga RM99.90 tetapi itupun hanya melalui pre-order sahaja.

Manakala, di platform lain pula kebanyakannya sudah kehabisan stok namun masih dijual pada harga asal. Pada tinjauan kami di Watson Online, produk tersebut telah ditinjau oleh lebih 21,000 orang setakat ini. Menunjukkan ramai yang mula menunjukkan minat untuk mendapatkan produk tersebut.

antah wellness defend healthtag

Melihatkan kepada bahagian deskripsi produk tersebut, produk yang dijual di Malaysia ini merupakan edaran syarikat MPlus. Mengikut maklumat yang dikongsikan syarikat tersebut, tag ini mengandungi bahan aktif yang mampu membebaskan anti mikrobik klorin dioksida (chlorine dioxide).

Kandungan mikrobik klorin dioksida di dalam tag ini berfungsi untuk membersihkan udara sekeliling pemakai, menghapuskan 99.9% bakteria dan virus, membasmi kuman, memberikan perlindungan 45 hari dan perlindungan kepada pemakai dalam linkungan 1 meter.

Memandangkan ianya merupakan sebuah tag, cara pemakaiannya lebih mudah untuk dipakai di mana-mana. Pemakai hanya perlu mengeluarkan paket aluminium foil dan meletakkan beg Natrium Chlorit di dalam tag plastik. Pastikan tag terbuka ketika ianya digunakan dan catat tarikh ianya mula digunakan.

Pemakai juga disarankan untuk membalut dan membuang beg Natrium Chlorit dengan serta-merta jika ia bersentuhan dengan air atau jika ia dibuka selain perlu disimpan di tempat kering yang sejuk.

Produk ‘Virus Shut Out’

produk shut out

Berdasarkan tinjauan awal kami, sebelum ini terdapat satu produk yang hampir sama yang turut mendapat sambutan yang hangat dari pengguna di Asia. Produk buatan Jepun, ‘Virus Shut Out’ itu dikatakan terbukti berkesan untuk menghalang bakteria dan virus termasuk COVID-19.

Walaupun produk tersebut telah diharamkan penjualannya, ianya masih lagi dijual secara meluas di Hong Kong dan beberapa negara Asia yang lain. Menurut pakar imunologi dan virologi, Dr Ariane Davison, produk yang mengandungi chlorine dioxide itu adalah ‘scam terbesar’ kerana tidak dapat melakukan apa-apa untuk melindungi diri seseorang dari virus terutamanya yang melibatkan pernafasan.

Produk (Virus Shut Out) tersebut dipakai pada leher, bukannya berhampiran dengan mulut dan hidung yang merupakan kunci penting untuk jangkitan Covid. Jika ianya dipakai dekat pada bahagian muka, ia boleh memberikan masalah pernafasan, iritasi pada mata dan rasa terbakar pada kulit kerana mengandungi bahan aktif chlorine dioxide.

virus shut out

Walaupun tidak dapat dipastikan sejauh mana persamaan kedua-dua produk tersebut, namun keduanya mempunyai kandungan yang sama iaitu chlorine dioxide. Produk ‘Virus Shout Out’ telah digunakan secara meluas di beberapa negara walaupun telah diharamkan penjualannya.

Pihak Berkuasa Kastam di Hong Kong mengambil serius tentang penjualan produk ini kerana bimbang ianya akan memudaratkan pengguna. Setakat ini, beberapa tempat seperti 7-Eleven di Hong Kong masih lagi menjual produk ini walaupun telah diharamkan penjualannya.

Artikel berkaitan: 3 Jenis Ubat Di Malaysia Beri Kesan Positif Kepada Rawatan Pesakit COVID-19

Comments