Dakwa Moratorium Baharu Bebankan Rakyat, Ini Jawapan Pihak Bank

Baru-baru ini tular satu status di laman Facebook mendakwa moratorium menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 membebankan individu yang membuat pinjaman dengan bank.

Screenshot yang dimuat naik individu tersebut menunjukkan pihak Maybank memberi dua pilihan dalam pinjaman sewa beli iaitu pilihan pertama penangguhan ansuran bulanan selama tiga bulan dengan lanjutan tempoh bayaran selama 12 bulan manakala pilihan kedua menawarkan penangguhan bayaran bulanan selama enam bulan dengan lanjutan tempoh bayaran sehingga 24 bulan.

Kenyataan yang dimuat naik individu berkenaan menimbulkan spekulasi dan persoalan orang ramai kerana risau akan terbeban dengan tempoh pembayaran balik terlalu panjang.

Advertisement

Sementara itu, bekas perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohammad Najib Tun Razak juga ada memberi respon terhadap status yang dimuat naik oleh individu berkenaan menerusi hantaran Instagram Story miliknya.

Menerusi laporan Harian Metro, pihak Maybank menjawab isu ini dengan menjelaskan bahawa pakej bantuan bayaran balik yang disediakan pihaknya menawarkan ansuran bulanan paling rendah. Dalam satu kenyataan, pihaknya kini maklum dengan keadaan pelanggannya yang mengalami kesukaran dalam tempoh pandemik.

“Kami memahami walaupun tempoh moratorium berakhir, beberapa pelanggan kami berkemungkinan masih menghadapi beberapa halangan dalam membuat pembayaran bulanan penuh mereka.” – pihak Maybank

Tambahnya, pihak bank menawarkan ansuran bulanan yang lebih rendah untuk meringankan beban kewangan pelanggan. Pelanggan Maybank bagaimanapun mempunyai pilihan untuk memilih jangka masa yang sesuai dengan status kewangan mereka.

Gambar Hiasan

 

Menerusi laman Berita Harian, tujuan moratorium ialah memberi bantuan aliran tunai segera kepada peminjam yang mungkin mengalami masalah kewangan susulan pandemik Covid-19. Semasa tempoh moratorium, institusi kewangan tidak menerima bayaran balik dan terus memenuhi kewajipan dengan menanggung kos deposit sambil menyediakan pinjaman dan pembiayaan kepada ekonomi.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu sidang media semalam berkata, pihak bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penaliti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium automatik menerusi Pemulih, lapor Harian Metro.

Sumber : The Malaysia Reserve

“Fokus utama moratorium ini untuk membantu rakyat dan perniagaan yang kini menghadapi cabaran dan kesusahan akibat Covid-19” – Menteri Kewangan

Tambahnya, pelaksanaan moratorium automatik ini sama seperti yang dilaksanakan seperti tahun lalu.

Sumber : Harian Metro, Berita Harian

Comments