Disenarai Kumpulan Pertama Terima Vaksin COVID-19, Doktor Malaysia Di UK Zahir Rasa Syukur

Disenarai antara kumpulan pertama menerima suntikan vaksin COVID-19, seorang doktor perubatan di sebuah hospital di United Kingdom (UK) zahir rasa syukur.

Individu yang dimaksudkan ialah Dr Azhan Che Daud yang kini khabarnya gembira dan bangga selepas dipilih antara individu paling awal menerima suntikan vaksin itu selepas UK mengumumkan menjadi negara pertama membenarkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech.

Ujarnya, ia amat penting kerana beliau merupakan petugas barisan hadapan yang berdepan dengan risiko jangkitan virus tersebut.

Advertisement

“Pada Mac lalu, saya turut dijangkiti virus COVID-19 dan menjalani kuarantin selama 14 hari. Ketika itu, saya berasa sangat takut, namun, saya mendapat rawatan dengan baik dan Alhamdulilah saya pulih sepenuhnya selepas tempoh dua minggu.”

Menurut laporan Astro Awani, beliay difahamkan tidak mengalami sebarang alahan teruk selepas mendapat suntikan vaksin.

“Cuma di bahagian tempat suntikan saya berasa sakit, lenguh dan kemerah-merahan, namun ia bukanlah dalam jangka masa panjang. Alahan seperti pening dan muntah pula tidak dialami. Saya pernah menerima beberapa jenis vaksin lain, pada saya vaksin COVID-19 ini sama sahaja.”

Dedahnya lagi, meskipun telah mendapatkan suntikan itu, namun prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan pemakaian alat perlindungan diri (PPE) bagi petugas barisan hadapan masih perlu dijaga.

“Kita masih perlu amalkan SOP itu kerana berdasarkan kajian, hanya 95 peratus sahaja vaksin ini mampu beri perlindungan kepada diri kita, manakala 5 peratus lagi boleh menyebabkan penyebaran virus kepada orang lain. Jadi, dalam tempoh sekarang, amalan SOP itu masih diperlukan sehinggalah jangkitan virus ini berapa pada tahap kosong.”

Sumber: Astro Awani

Comments