Doktor China, ‘Disenyapkan’ Kerana Memberi Amaran Mengenai Penyebaran Wabak, Terkorban Kerana Coronavirus

3808

Dia ialah seorang doktor yang cuba memberi amaran mengenai jangkitan viral di satu wilayah di China–bahawa jangkitan virus itu mungkin menjadi sukar dikawal–tetapi dia dipanggil oleh polis di waktu malam dan dimarahi kerana ‘menyebarkan kebimbangan’.

Pada Jumaat, doktor itu, Li Wenliang, meninggal dunia setelah dijangkiti virus yang sama iaitu coronavirus. Dia menyertai lebih 600 mangsa coronavirus lain yang terkorban dalam satu wabak yang kini telah tersebar secara global.

Menurut Hospital Wuhan City Central melalui Weibo:

Dr Li tidak bernasib baik dijangkiti virus itu sewaktu merawat pesakit semasa epidemik pneumonia novel coronavirus, dan usaha keras untuk menyelamatkannya telah gagal. Kami sangat kesal dan mengucapkan takziah.

Malah sebelum kematiannya, Dr. Li telah menjadi wira kepada ramai rakyat China setelah apa yang dialaminya dengan pihak berkuasa China tersebar.

Pada awal Januari, dia dipanggil oleh pihak berkuasa kesihatan dan polis, dan dipaksa menandatangani kenyataan bahawa apa yang disebarkannya tidak berasas dan hanya khabar angin.

Berita kematiannya telah menyebabkan ramai menjadi marah.

Kami tidak akan lupakan doktor yang bersuara tentang penyakit tapi dikatakan khabar angin. Apa lagi boleh kami buat, satu-satunya yang boleh kami buat ialah tidak lupakan jasanya.

Dr. Li, berusia 34 tahun dan sedang menunggu kelahiran anak kedua bersama isterinya, ialah seorang ahli optalmologi yang tidak dikenali di Wuhan, ibu wilayah Hubei dan meupakan pusat gempa epidemik coronavirus.

Gambar: Dr Li, sewaktu sedang dirawat di hospital Wuhan.

Tetapi dalam minggu-minggu terbaru, dia menjadi ikon buat rakyat China yang marah kerana wabak viral itu telah berkembang menjadi krisis besar, dan doktor yang bersuara mengenainya pula dihukum.

Sejak kebelakangan ini, China meningkatkan penapisan setelah wartawan China semakin mengkritik dan menulis laporan berunsur penyiasatan yang mendedahkan bahawa terdapat silap langkah oleh pihak berkuasa tempatan dalam memandang rendah dan tidak menonjolkan ancaman coronavirus.

Kematian Dr Li juga mendedahkan aspek yang bermasalah mengenai epidemik kerana ia tidak dinyatakan dalam statistik rasmi: iaitu jumlah doktor, jururawat dan pekerja perubatan yang dijangkiti virus itu.

Beberapa gambar tidak dapat disahkan yang kelihatan seperti data kerajaan menunjukkan beratus pekerja hospital mungkin telah dijangkiti di Wuhan. Pada awal wabak tersebut, seorang pakar penyakit berjangkit yang tekenal memberitahu bahawa seorang pesakit telah menjangkitkan virus itu kepada 14 orang pekerja hospital.

Dr. Li juga dirasakan terlalu muda untuk menghadapi kesukaran melawan virus itu, jika data yang telah dikumpul setakat ini diteliti. Median pesakit ialah dari umur 49 hingga 56, kata pengkaji.

Kematian Dr. Li ialah satu peringatan mengenai risiko yang dihadapi oleh para doktor, jururawat dan pekerja perubatan dalam melawan epidemik coronavirus.

Semasa Dr Li menghantar amaran itu dalam bilik chat pada 30 Disember, coronavirus jenis baru itu masih belum dikenal pasti. Dia mengatakan jangkitan virus itu menyerupai Severe Acute Respiratory Syndrome, atau SARS , yang pernah merebak di China hampir dua dekad lepas.

Tidak lama selepas dimarahi pihak berkuasa, kata-kata Dr. Li terbukti benar apabila ribuan penduduk Wuhan jatuh sakit disertai demam dan simptom pneumonia. Dia menjadi salah seorang yang dijangkiti apabila mendapat virus itu dari seorang pesakit yang sedang dirawatnya kerana glaukoma.

Kematian Dr. Li berlaku semasa ramai sedang berspekulasi tentang nasibnya, termasuk kesedihan dalam talian yang disebabkan laporan-laporan terlalu awal bahawa dia sudah meninggal dunia. Hanya beberapa jam sebelum mengesahkan yang dia telah meninggal dunia, hospital memberitahu yang mereka sedang berusaha untuk menyelamatkannya. Ujar seorang warganet di bawah kenyataan hospital di Weibo:

Tak nak tidur! Tunggu dalam talian untuk keajaiban. Kami tak nak tidur malam ini, tetapi Li Wenliang mesti bangkit!

Bila kematian Dr Li diumumkan, banyak komen dimuat naik menuduh pihak berkuasa sengaja melengahkan pemberitahuan kematiannya sehingga tengah malam.

Tidak lama selepas kematiannya diumumkan, Suruhanhaya Kesihatan Wilayah Hubei mengeluarkan mesej ringkas mengucapkan takziah, begitu juga pihak berkuasa kesihatan bandar Wuhan. Global Times yang merupakan media pro-kerajaan juga bersedih dengan kematiannya, sambil menggesa orang ramai menyokong usaha-usaha kerajaan untuk melawan epidemik tersebut.

Kenyataan bahawa Li Wenliang turut tidak terlepas dari menjadi mangsa coronavirus menunjukkan ini ialah peperangan yang kompleks dan sukar. Pada persimpangan yang kritikal ini, kita semua mesti bersatu.

Kematian Dr Li tampak tidak akan menimbulkan protes di Wuhan, yang sudah ditutup lebih dua minggu dalam usaha untuk mengekang penyebaran wabak itu. Di Wuhan dan di tempat lain di Hubei yang padat penduduk, kebanyakan orang hanya tinggal di rumah dan tidak bersosial berlebihan kerana bimbang dijangkiti virus itu.

Dr. Li terus bersuara semasa sedang berlawan dengan jangkitan virus itu. Dia memberitahu majalah China, Caixin, yang membuat laporan mengenai epidemik itu secara agresif:

Saya rasa masyarakat yang sihat sepatutnya tidak hanya mempunyai satu suara sahaja.

Dan dia juga menyuarakan harapannya untuk sembuh dan kembali bekerja.

Selepas sembuh, saya masih ingin kembali ke barisan hadapan. Epidemik ini masih menyebar, dan saya tak mahu tinggalkan tanggungjawab saya.

 

Comments

comments