Doktor Kontrak Sertai Perarakan Mogok Secara Aman

hartal doktor kontrak

Sebelum ini, tular satu video yang memaparkan seorang individu dipercayai mempertikaikan skim pelantikan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.

Terbaharu menerusi Harian Metro, dilaporkan lebih 30 orang doktor kontrak di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru menyertai perarakan mogok yang dilakukan secara aman bermula jam 11.10 pagi.

Didapati kira-kira 20 doktor kontrak memakai pakaian hitam berarak secara aman mengelilingi hospital berkenaan. Seramai 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dilihat mengawal pergerakan di kawasan tersebut.

Advertisement

Menurut jurucakap doktor kontrak yang enggan dikenali, kesemua doktor yang menyertai perhimpunan tersebut berada dalam waktu rehat dan tidak menjejaskan tugasan hakiki di hospital berkenaan.

“Kami akan menyambung kembali tugasan selepas waktu rehat kami tamat”

Walau bagaimanapun, dikatakan bukan semua doktor kontrak yang menyertai perarakan mogok itu kerana sebahagian yang lain perlu bertugas dan mengutamakan tanggungjawab lebih penting.

Menerusi laporan Kosmo, dilaporkan 30 doktor menyertai Hartal Doktor Kontrak di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak berhimpun di lobi utama HRPB sebelum berarak keluar kira-kira jam 11.30 pagi.

hartal doktor kontrak
Sumber : Kosmo Online

Perarakan itu dilakukan dalam keadaan senyap dan tiada sebarang provokasi atau laungan daripada kesemua individu yang terlibat. Kesemua doktor juga difahamkan mematuhi SOP dengan menjaga penjarakan sosial serta memakai pelitup muka.

Di Twitter, ramai individu menggunakan hashtag #HartalDoktorKontrak sebagai tanda sokongan terhadap perarakan yang dilakukan oleh doktor kontrak di beberapa hospital.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan merayu supaya doktor kontrak di seluruh negara untuk tidak melakukan perarakan tersebut. Beliau juga meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka.

Sumber : Harian Metro, Kosmo Online, Twitter, Facebook Noor Hisham Abdullah 

 

Comments