Dua Cedera Rapid Pengerang Meletup

1171

Petronas mengesahkan berlaku kebakaran dan letupan di tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor awal pagi tadi.

Pasukan Kecemasan dan Kebakaran kami dikerahkan dan api dapat dikawal dalam 30 minit. Keadaan ketika ini terkawal dan semua pihak berkuasa berkaitan sudah dimaklumkan.

Kami akan berikan maklumat tambahan sementara siasatan sedang dijalankan Dalam kenyataan Petronas.

Malaysiakini sudah menghubungi Petronas untuk maklumat lanjut.

Menurut Malaysia Kini, Laporan media mengatakan kebakaran dan letupan berkenaan kemungkinan disebabkan oleh kebocoran tangki gas.

Pengguna media sosial mendakwa merasakan gegaran akibat letupan di Pasir Gudang yang terletak kira-kira 80 kilometer perjalanan menaiki kereta.

Sementara itu, Bernama melaporkan dua warga tempatan disahkan cedera dalam insiden kebakaran di satu daripada lot tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, dekat Kota Tinggi awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah yang mengesahkan perkara itu berkata kejadian berlaku kira-kira 1.20 pagi tadi.

Katanya, Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) dengan lima kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Petronas RAPID Pengerang dengan kekuatan 30 kakitangan telah diaktifkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenai insiden itu.

Kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.15 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa yang merupakan pengawal keselamatan itu, telah dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan RAPID Pengerang.

Ahsmon berkata siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan akan dibuat bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial (Jaksas) Negeri Johor, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan pihak Pengurusan Keselamatan Petronas RAPID Pengerang.

Pihak polis memuji tindak balas ERT Petronas RAPID Pengerang yang dapat mengawal sepenuhnya insiden terpencil ini dalam masa yang singkat.

Sumber: Malaysia Kini

 

Comments

comments