Dua Lelaki Sanggup Bakar Kereta Kerana Hutang Along

Lelaki bakar kereta nak bayar hutang Along
Sumber Harian Metro

Seperti yang kita tahu, Along adalah terma yang merujuk kepada syarikat pinjaman wang yang tidak berlesen atau ceti haram. Kebiasaannya, mereka yang terikat dengan pinjaman Along ini adalah daripada golongan yang berpendapatan rendah atau yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang dengan segera.

Mereka ini bertindak meminjam wang dengan Along kerana pinjaman Along adalah lebih mudah, ringkas dan selalunya tidak memerlukan sebarang pemeriksaan kredit berbanding dengan pinjaman bank atau syarikat pinjaman wang yang berlesen.

Wang yang dipinjam daripada Along kebiasaannya didatangkan dengan faedah dan risiko yang tinggi. Ramai yang memandang rendah terhadap risiko meminjam wang daripada Along ini.

Advertisement

Mereka berpendapat bahawa selagi jumlah wang yang dipinjam adalah kecil dan dibayar dalam tempoh sesingkat yang mungkin, urusan pinjaman wang daripada Along boleh berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Buntu mahu melangsaikan hutang Along berjumlah RM500,000 menyebabkan dua lelaki bertindak membakar tiga kenderaan milik mereka bagi membolehkan tuntutan insuran dilakukan.

Menurut sumber daripada Harian Metro, tiga kenderaan mewah model Bentley Continental GT(A), Ford Fiesta dan Hyundai Accent dilaporkan terbakar dalam kejadian di Taman Merdeka Batu Berendam, Melaka, dalam kejadian Isnin minggu lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis segera menjalankan siasatan lanjut susulan tiga laporan diterima pihaknya termasuk daripada pemilik Bentley itu.

Bagaimanapun hasil siasatan dijalankan pihak polis mendapati terdapat keraguan pada laporan dan kes kebakaran tersebut sebelum polis menahan kedua-dua suspek.

“Suspek pertama yang juga pemilik kereta Bentley ditahan pada hari kejadian manakala seorang lagi ditahan keesokannya di sekitar Bandaraya Melaka. Kedua-dua mereka berusia 36 tahun,” kata Datuk Abdul Majid Mohd Ali pada sidang media di Balai Polis Sungai Udang, semalam.

Lelaki bakar kereta nak bayar hutang along
Sumber Harian Metro

Datuk Abdul Majid Mohd Ali menambah lagi, hasil siasatan dijalankan turut mendapati kedua-dua suspek yang ditahan bekerja sebagai kontraktor dan jurujual.

Mereka dipercayai merancang perbuatan itu sejak tiga bulan lalu dan dipercayai membakar kereta tersebut untuk membuat tuntutan insuran berjumlah kira-kira RM250,000 bagi membayar hutang Along sebanyak RM500,000.

Semakan lanjut yang dilakukan pihak polis turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes khianat dengan api, samun dan curi termasuk dadah.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan selain kertas siasatan juga sudah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara

SUMBERHarian Metro

Comments