“Duduk Di Rumah Diam-Diam”, Perdana Menteri Rayu Orang Ramai Ikuti Perintah Kawalan Pergerakan

tan sri muhyiddin yassin

Di dalam Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan sebentar tadi, Perdana Menteri merayu kepada rakyat Malaysia untuk duduk di rumah masing-masing dan tidak keluar ke mana-mana. Beliau menegaskan tujuan utama perintah itu dikeluarkan adalah mengelakkan penularan wabak tersebut, dan ia tidak akan berjaya jika pergerakan rakyat terutamanya pergerakan balik kampung berterusan.

Hari ini merupakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Namun baru sahaja sehari dijalankan, masih ada lagi yang berdegil dan tidak mengikuti arahan yang telah dikeluarkan.

Tidak perlu pulang ke kampung

Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

Beliau merayu kepada orang ramai untuk terus berada di kawasan kediaman dan tidak bergerak ke mana-mana negeri yang lain. Orang ramai perlu memahami bahawa perintah yang dikeluarkan akan membantu memutuskan rantaian jangkitan, seterusnya mengurangkan jumlah pesakit. Tambahnya, jika ada yang ingin pulang ke kampung, batalkan dahulu niat tersebut.

Tempoh kawalan dua minggu diberikan kerana COVID 19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu. Selepas tamat tempoh dua minggu ini, mereka yang mempunyai simptom diharapkan berjaya diasingkan untuk proses rawatan. Ini sebagai usaha untuk memastikan Malaysia bebas COVID-19.

Advertisement

Beliau memaklumkan ada kemungkinan perintah kawalan dilanjutkan jika wabak itu tidak dapat dikawal dalam tempoh dua minggu ini.

KKM

Statistik terkini COVID-19 dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menerima 117 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima ialah 790 kes. 11 pesakit telah sembuh manakala 60 sudah selamat discaj. Manakala 15 pesakit kini dirawat di unit penjagaan rapi.

Comments