Empat Syarikat Telco Dikenakan Kompaun Berjumlah RM3.2 Juta

Syarikat telco dikompaun

Empat syarikat telco Malaysia telah dikenakan 64 kompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjumlah RM3.2 juta pada suku kedua tahun ini.

Dalam kenyataan pada hari ini, MCMC mengeluarkan kompaun berkenaan kepada syarikat tersebut kerana kegagalan mereka mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik serta ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.

Menurut laporan Berita Harian, syarikat Maxis Broadband Sdn Bhd dikenakan 54 kompaun berjumlah RM2.7 juta kerana gagal mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik.

Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Penomboran) 2016.

Advertisement

Pada masa yang sama, MCMC telah mengeluarkan 10 lagi kompaun kepada syarikat U Mobile Sdn Bhd kerana ketidakpatuhan Garis Panduan Prabayar berjumlah RM250,000 dan dua kompaun bernilai RM100,000 kepada Maxis Broadband dan Digi Telecommunications Sdn Bhd serta satu kompaun bernilai RM50,000 kepada XOX Com Sdn Bhd.

Kompaun berkenaan telah dikeluarkan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan hak pengguna diberi keutamaan dalam memilih syarikat telekomunikasi berdasarkan kepada perkhidmatan yang ditawarkan,” menurut MCMC.

MCMC memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat telco ini dan menggesa supaya mereka lebih tegas terhadap ejen-ejen yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan demi aspek keselamatan dan kepentingan pengguna.

Sumber

SUMBERBerita Harian

Comments