Hari Keempat ‘Lockdown’ Di India, Ribuan Penduduk Terpaksa Menunggu 8 Jam Hanya Untuk Dapatkan Makanan

india lockdown

Tersentuh hati melihat kepayahan sebilangan penduduk di India selepas negara itu mengumumkan perintah ‘lockdown’ untuk semua 1.3 bilion jumlah penduduk selama 21 hari bermula 24 Mac lepas. Harsh Mander, seorang aktivis bebas telah membuka mata masyarakat dunia tentang realiti kehidupan yang dihadapi oleh penduduk miskin tegar disana ketika baru masuk hari keempat ‘lockdown’ dijalankan.

Old Delhi mempunyai ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian harian mereka juga terputus. Mereka hanya mampu menunggu dan terus menunggu untuk mendapatkan sepinggan makanan. Kadangkala penantian mereka antara enam hingga lapan jam.

makan di tepi jalan

Ada juga yang mengadu tidak makan secara cukup sejak tiga hari yang lalu. Makanan yang di terima mereka juga tidak mencukupi untuk menghilangkan lapar mereka. Sekadar untuk mengalas perut dan cukup untuk menunggu hingga ke hari esok.

Saya tidak akan mati daripada koronavirus. Sebelum itu, saya pasti akan mati akibat kelaparan.

Kuah dhal

Kesemua yang berkumpul di situ kebanyakan bekerja di restoran dan hotel sebagai tukang masak, pembuat roti, tukang cuci dan sebagainya yang mengambil upah harian antara Rs. 600 (RM34.37) sehari. Apabila tempat kerja mereka ditutup, mereka kehilangan tempat tinggal dan tempat untuk tidur di samping tidak mempunyai wang.

Tiada keluarga, tiada rumah dan pergerakan terhenti memberikan tekanan yang cukup dahsyat untuk mereka menghadapi baki tempoh ‘lockdown’. Perjalanan kereta api dihentikan serta merta dan pintu antara sempadan juga ditutup. Mereka tiada arah tuju untuk mencari perlindungan untuk diri mereka ketika panas dan hujan.

Kami tidak menjumpai roti sejak 21 mac lalu

wanita tua

Lebih menyedihkan adalah keadaan kaum wanita dan kanak-kanak. Kudrat mereka terbatas untuk berada di antara kumpulan lelaki yang besar. Kanak-kanak yang tidak memahami situasi ini pastinya menghadapi kelaparan untuk jangka masa yang panjang.

Terfikir juga bagaimana nasib orang sebegini untuk hari-hari yang mendatang. Mereka kelaparan, keseorangan dan tidak berupaya untuk melakukan sesuatu. Warga tua yang uzur juga tidak ketinggalan merasai peritnya keadaan ketika ini.

Wabak COVID-19 sememangnya bahaya kerana memberi ancaman kematian kepada sesiapa sahaja, namun di India ada yang lebih menakutkan iaitu kemiskinan dan kelaparan. Setiap 9 daripada 10 pekerja buruh di India tidak diatur dengan baik dan mereka juga tidak mempunyai apa-apa jaminan terhadap pekerjaan mereka.

Apabila kita berada selamat di dalam rumah kita, kita semua juga harus prihatin untuk memikirkan keselamatan orang yang terakhir

penduduk India

Meskipun perintah ‘lockdown’ mengarahkan orang ramai untuk tidak berkumpul dalam satu kumpulan yang besar, namun mereka yang berkumpul di sini hanya mempunyai satu niat, untuk mencari makanan kerana lapar. Tiada yang memahami situasi seperti ini.

Usaha yang dilakukan Harsh Mander ini dilihat sebagai langkah kecil untuk menyuarakan kepada kerajaan agar membantu golongan yang sangat memerlukan ketika seluruh dunia memerangi wabak COVID-19. Mungkin bukan wabak ini yang membunuh mereka, tetapi kelaparan dan kemiskinan yang dihadapi.

Comments

comments