Hari Pertama PKPB, Tular Gambar Orang Ramai Beratur Panjang Di KWC Fashion Wholesale

sumber : Astro Awani dan Facebook

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu, membenarkan beberapa sektor ekonomi dan perniagaan dibuka semula mulai 4 Mei. Namun, masih ada beberapa kategori perniagaan yang masih belum dibenarkan untuk beroperasi.

Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, bazar Ramadan dan apa juga sebarang bentuk perhimpunan. Ini untuk mengelakkan berlakunya penularan virus dan bagi menjaga penjarakan sosial.

Sejurus pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan, netizen rancak berdebat dalam memberikan pandangan di media sosial mengenai isu ini. Sebahagian dari mereka bimbang kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa ini akan memberikan ‘lampu hijau’ kepada orang ramai untuk berpusu-pusu berkumpul di tempat awam terutamanya ke pusat membeli-belah.

Perkarangan KWC Fashion Wholesale sesak sejak pagi.

Advertisement

Beberapa gambar tular di Facebook Siti Syakhila yang telah mendapat perkongsian lebih 25,000 orang, menunjukkan orang ramai mula beratur panjang di perkarangan KWC Fashion Wholesale sejak awal pagi tadi. Ramai yang meluahkan rasa kecewa dengan warga kota yang terlalu ghairah berkunjung ke pusat membeli-belah berkenaan, sedangkan umum mengetahui wabak COVID-19 masih lagi belum reda sepenuhnya.

Mereka yang beratur panjang bukanlah pelanggan yang ingin berbelanja.

Walau bagaimanapun, Penolong Pengurus Pengiklanan dan Promosi Perbadanan Pengurusan Kompleks KWC Fashion Mall, Wendy Lam memberitahu orang ramai yang beratur panjang di luar bangunan pusat membeli-belah itu bukanlah pelanggan yang ingin berbelanja di situ.

Sebaliknya mereka merupakan para pekerja premis perniagaan di dalam pusat membeli-belah tersebut. Menurut Wendy, para pekerja ini harus melalui pemeriksaan suhu badan masing-masing selain beberapa langkah pencegahan lain sebelum dibenarkan masuk bekerja di dalam bangunan itu.

sumber : Astro Awani

Proses ini menyebabkan kesemua pekerja berkenaan terpaksa beratur panjang di luar bangunan sekaligus mengundang salah faham pelbagai pihak.

“Apa yang berlaku pada pagi ini, para pekerja dan penyewa premis ingin masuk ke dalam kompleks ini dan kami perlu membuat pengesanan suhu badan dan beberapa langkah pencegahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” menurut Wendy.

Orang ramai yang tidak mempunyai sebarang keperluan penting untuk keluar, perlu untuk terus kekal berada di rumah.

Bagi yang perlu berkunjung ke pusat membeli-belah, pastikan anda mematuhi penjarakan sosial dan langkah pencegahan lain pada setiap masa.

Comments

comments