Hospital Medan Tawau Giat Dibangunkan, KKM Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Angkatan Tentera Malaysia

Dilihat tampil bekerjasama dalam mendirikan hospital medan di Tawau, Sabah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah zahir ucapan terima kasih buat pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menerusi posting yang dimuat naik Dr Noor Hisham di laman Facebook miliknya, jelas kelihatan foto persediaan dan kerja-kerja pembinaan kini sedang giat dilakukan di Dewan Kompleks Sukan Tawau. 

Terletak 10 minit dari Hospital Tawau, hospital medan ini akan menempatkan pesakit bukan COVID-19 khususnya untuk perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik dan pembedahan am. 

Advertisement

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3 – 5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna, manakala kes-kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2) akan terus  ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID19 Berisiko Rendah (PKRC),”

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dilihat tidak berkira mendoakan supaya segala urusan merawat dan mencegah pandemik ini dipermudahkan.

Malah wujud juga segelintir pihak dilihat tidak ketinggalan memuji usaha yang dipamerkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan ATM dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, ATM dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, Perkhidmatan Kesihatan melalui Kor Kesihatan Diraja akan menghantar 72 petugas dan kelengkapan hospital medan ke Tawau, Sabtu ini.

Ia membabitkan 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan yang akan dibawa melalui penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan.

Comments

comments