Ini Adalah Kelahiran Semula Ainul Selepas Selamat Dibedah

753

Bayi Sembilan bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin selamat menjalani pembedahan.

Ibunya Nurul Erwani Zaidi, 24, melalui status di Instagramnya melahirkan rasa syukur apabila urusan rawatan anaknya yang berusia sembilan bulan dipermudahkan.

Melalui status yang dimuat naik kira-kira 13 jam lalu, dia mengharap agar Ainul Mardhiah cepat sihat dan boleh pulang ke Malaysia.

Alhamdulillah semua dipermudahkan, Ainul stabil, cepat sihat ya Ainul nanti kita boleh balik Malaysia jumpa kawan-kawan.

Pertolongan Allah sentiasa ada, teruskan pergantungan pada Allah Ainul, anak mama paling kuat.

Nurul Erwani turut mengucap terima kasih kepada kumpulan doktor yang berusaha merawat Ainul Mardhiah.

Dipetik dari Berita Harian, ketumbuhan pada mulut bayi berkenaan yang mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram itu, berjaya dibuang oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Julian Ong, seorang daripada empat petugas perubatan yang mengendalikan pembedahan itu, berkata ‘misi’ membuang ketumbuhan pada mulut bayi terbabit berjalan lancar.

Pembedahan sangat lancar, malah lebih baik daripada yang dijangka. Ketumbuhan (pada mulut Ainul) berjaya dibuang mengikut perancangan.

Berdasarkan maklumat awal, Dr Ong yang berasal dari Pulau Pinang menjelaskan, sampel ‘biopsi’ terhadap tumor pada mulut bayi terbabit terdiri daripada komponen sel kanser dan bukan kanser.

Katanya, keutamaan kini terarah kepada usaha untuk merehatkan Ainul menerusi jagaan rapi petugas perubatan supaya luka pembedahan berupaya pulih secepat mungkin, sebelum kesihatan bayi berkenaan dinilai semula.

(Ketika pembedahan) tidak banyak berlaku pendarahan. Syukur, Ainul berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang proses pembedahan dilakukan. Ketumbuhan pada mulutnya sangat besar.

Sekarang, kita perlu pastikan Ainul selesa dalam jagaan rapi, biarkan dia rehat dan lukanya sembuh, kemudian kita akan teliti semula perkembangannya untuk tempoh beberapa minggu akan datang bagi mengesahkan sel kanser mulutnya tidak berulang.

Ainul juga akan diberi ubat tahan sakit dalam jumlah yang bersesuaian bagi membantu melegakannya daripada operasi pembedahan.

Sementara itu, Dr Amalina Che Bakri yang tampil membantu merawat Ainul memberitahu, ketumbuhan seberat 200 gram dalam mulut Ainul berjaya dikeluarkan selepas pembedahan yang mengambil masa lima jam.

Dr Amalina turut berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan.

Saya tidak dapat mengawal emosi sebaik keluar dari bilik pembedahan dan melihat ibu bapa Ainul. Perasaan saya bercampur baur, satu perjalanan yang cukup emosi dan menggembirakan pada masa yang sama.

Doakan untuk Ainul sembuh. Terima kasih diatas doa anda.

Semoga Ainul cepat sembuh dan membesar dengan sihat ya.

Comments

comments