Jalan Kaki Dari Johor Ke Terengganu, Lelaki Positif COVID-19 Meninggal Dunia Di Tepi Jalan

Salah satu kematian terbaru COVID-19 di Malaysia, melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditemui meninggal dunia di Muadzam Shah, Pahang.

Ketika sidang media semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr. Noor Hisham mengatakan bahawa jenazah itu positif COVID-19 selepas proses bedah siasat. Dia turut menjelaskan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan polis.

Sementara itu, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) telah mendedahkan bahawa arwah adalah bekas pengawal keselamatan di Hospital Segamat, Johor.

Advertisement

Dia menetap di sana secara sendirian dan keluarganya tinggal di Kuala Terengganu. Waris memaklumkan yang dia telah berhenti kerja dan berniat untuk mencari pekerjaan lain di sana. Namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada pertengahan bulan Mac lalu dia terpaksa menangguhkan niatnya itu.

“Arwah dikatakan terlalu rindukan anaknya di kampung menyebabkan dia berkeras untuk pulang dengan berjalan kaki selepas sekian lama terpisah dengan keluarga sejak Perintah PKP) bermula.”

Dia yang kepenatan, ditemui meninggal dunia di tepi jalan Muadzam Shah.

“Ada sumber memaklumkan kepada kami, arwah ada melintasi lokasi sekatan jalan raya dan anggota bertugas melihatnya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya.”

Jenazahnya dibawa ke Hospital Muadzam Shah pada mulanya untuk prosedur bedah siasat. Namun, bimbang tentang faktor jangkitan COVID-19, jenazah seterusnya ke Hospital Tunku Ampuan Afzan, Kuantan dan dia disahkan positif.

SPJM menyatakan bahawa keluarganya telah dimaklumkan mengenai kematian tersebut. Namun, mereka tidak mampu menanggung kos pengebumian yang berjumlah RM1,500. Oleh itu, pihak pengurusan hospital telah menghubungi SPJM agar mereka dapat membantu proses pengebumian jenazah.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan. Anggota SPJM juga memberitahu bahawa mereka harus memakai Peralatan Pelindung Diri (PPE) semasa mengendalikan pengebumian.

Menurut mereka, semua pengurusan dikendalikan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam.

Comments

comments