Jual Durian Sekilo RM1.99, Seorang Pemuda Beri Peluang Semua Lapisan Masyarakat Merasa

Durian sekilo RM1.99

Seorang pemuda daripada Pulau Pinang bertindak menjual durian kampung dengan harga RM1.99 sekilo bagi memberi peluang kepada semua golongan masyarakat menikmati buah kegemaran mereka.

Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Shukri Omcek yang berusia 27 tahun itu membuka gerainya berdekatan Pasar Awam Bagan Serai dan berkata dia mengambil keputusan tersebut setelah mendengar luahan orang ramai berkaitan harga durian yang mahal.

Durian sekilo RM1.99

“Saya sedih bila ada yang mengadu tak mampu nak beli durian kerana harganya yang tinggi di pasaran. Atas sebab ini, saya bersama seorang rakan mencari pekebun-pekebun durian di sekitar kawasan Bukit Gantang dan Trong yang menawarkan jualan rendah secara borong.

“Dengan cara ini, dapatlah kami menjual pada harga serendah RM1.99 sekilogram”. Katanya

Tambah Shukri lagi, dia berasa syukur dengan sambutan yang luar biasa daripada orang ramai, sehinggakan pada satu-satu masa tiga tan durian habis dijual tidak sampai satu jam.

Advertisement

Ada juga pembeli yang datang ingin membeli di gerainya pulang dengan perasaan hampa dan tangan kosong kerana semuanya telah habis dijual.

“Sebelum lori saya sampai, sudah ada pelanggan yang menunggu lebih awal di tapak jualan. Dalam seminggu ini lebih 20 tan durian sudah terjual”.- katanya.

Menurut seorang pelanggan, Mohd Khaizal Mohd Shaari, 48 tahun berkata harga yang ditawarkan sangatlah murah dan berbaloi justeru memberi peluang kepada orang lain juga yang berpendapatan rendah untuk merasa raja buah itu.

“Sikap penjual durian yang menawarkan jualan murah seperti ini perlu dipuji kerana dalam tempoh pandemik Covid-19, sudah tentu ramai terjejas pendapatan. Jika dijual mahal, memang ada yang tak mampu nak beli”- katanya.

Durian RM1.99 sekilo Shukri telah tular di beberapa media sosial sejak beberapa hari lalu.

Sumber

SUMBERSinar Harian

Comments