Kemalangan Di Lebuh Raya Akibat Kecuaian Syarikat Pengendali, Pengguna Berhak Saman Menurut Peguam

728

Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia masih lagi tinggi disifatkan sebagai punca utama daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

Sikap pengguna yang cuai merupakan faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan.

Selain itu faktor letih dan mengantuk juga menyebabkan pemandu hilang tumpuan dan menyumbang kepada kemalangan.

Tetapi tahukah anda semua, kemalangan juga berlaku bukan disebabkan oleh pemandu sebaliknya terlanggar objek di atas jalan raya seperti serpihan kayu, tayar pecah, kotak, bekas plastik dan banyak lagi.
kemalangan jalan raya

Jika berlaku kemalangan di atas lebuh raya akibat kecuaian syarikat tersebut, anda boleh menuntut jumlah ganti rugi 100% kepada syarikat tersebut tanpa membuat tuntutan insurans dan tanpa kehilangan NCB.

Ramai diantara anda yang tidak mengetahui bahawa kita boleh menyaman pihak pengendali jika kecuaian itu berlaku di lebuh raya yang diselenggara oleh mereka.

Ini telah dikongsikan oleh seorang peguam mengenai tuntutan kemalangan yang melibatkan kes seperti ini.

Bolehkah kita menyaman dan menuntut ganti rugi dari pihak lebuh raya sekiranya berlaku kemalangan?

Boleh, dalam kes Noor Ana Bt Bakri & 3 lagi lawan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad & 1 lagi [2019] 5 LNS 19 mahkamah membenarkan tuntutan kehilangan tanggungan sebanyak RM 422,400.00 kepada anak dan isteri si mati dan tuntutan sebanyak RM 57,600.00 kepada bapa si mati.

Bagaimana caranya nak buat tuntutan?

Sebelum ini saya pernah menulis tentang tuntutan yang dibuat kepada lebuh raya dengan membuat laporan dan mengisi borang aduan di pejabat lebuh raya sendiri.

Di ruang komen tulisan saya diceritakan tentang pengalaman masing-masing. Ada yang dapat dan ada yang tidak.

Jadi sekiranya anda telah mengambil langkah di atas tetapi masih gagal, anda boleh menyaman pihak lebuh raya bagi menuntut ganti rugi. Tidak kiralah sama ada kemalangan yang melibatkan nyawa atau tidak, anda berhak menyaman.

Saya terangkan lebih lanjut tentang kes di atas supaya anda jelas tentang undang-undang kecuaian lebuh raya ini dan sebagai panduan di masa akan datang.

Si mati terlanggar bongkah kayu di lebuh raya

Dalam kes di atas Noor Ana adalah isteri kepada arwah Mohd Aisamuddin. Pada 13.10.2016 lebih kurang pada jam 8.00 – 8.30 malam di mana Aisamuddin melalui lebuh raya dan terlanggar bongkah kayu di atas lebuh raya di KM 175.4 Lebuhraya Utara Selatan.

Sewaktu di mahkamah pegawai penyiasat menyatakan bahawa bongkah kayu tersebut berada di laluan kecemasan sebelum kemalangan dan terseret ke bahu jalan akibat perlanggaran.

Menurutnya, bongkah kayu tersebut digunakan oleh motor/trailer untuk menahan tayar dari bergerak. Bermakna arwah telah menunggang motorsikal di laluan kecemasan.

Namun demikian mahkamah berpendapat adalah menjadi tanggungjawab lebuh raya untuk menyelia dan memastikan keselamatan pengguna-pengguna lebuh raya agar ia selamat digunakan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 11(1) Highway Authority Malaysia (Incorporation) Act 1980.

kemalangan di lebuh raya

Kecuaian pihak lebuh raya

Saksi-saksi Defendan(pihak lebuh raya) mengesahkan kali terakhir membuat rondaan di tempat kejadian adalah pada jam 6.05 petang dan kejadian ini dipercayai berlaku pada jam 7.55 malam.

Mahkamah berpendapat tempoh masa 1 jam 50 minit ini adalah satu jangka masa yang panjang untuk “membiarkan” kewujudan bongkah kayu tersebut di atas lebuh raya.

Dalam kata lain, mahkamah berpendapat ia adalah satu bentuk kecuaian dalam membiarkan bongkah kayu tersebut berada di situ sehingga menyebabkan kemalangan yang membawa kematian si mati.

Setelah meneliti semua keterangan saksi-saksi dari kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan bahawa pihak lebuh raya telah cuai namun demikian mahkamah mendapati si mati turut menyumbang kecuaiaan 30% di dalam kemalangan ini.

Si mati menggunakan lorong kecemasan

si mati guna lorong kecemasan

Ini adalah kerana mahkamah mendapati si mati telah menggunakan lorong kecemasan semasa kemalangan yang mana lorong itu hanya dibenarkan untuk digunakan oleh kenderaan yang menghadapi kecemasan sahaja.

Oleh yang demikian ahli keluarga layak menuntut 70% dari RM422,400.00 bagi anak dan isteri si mati dan 70% dari tuntutan sebanyak RM57,600.00 untuk bapa (si mati).

Begitulah sedikit sebanyak tentang undang-undang kemalangan jalan raya. Malah kadar kiraan ganti rugi sehingga memperolehi jumlah RM422,400.00 dan RM57,600.00 juga adalah berdasarkan peruntukkan undang-undang atas kiraan gaji terakhir si mati, umur si mati, bukti tanggungan si mati dan bukanlah kiraan tanpa asas.

Sekian, berhati-hatilah di jalan raya dan sentiasa berwaspada. Ingat orang yang tersayang. Saya kongsikan link di ini berkenaan post terdahulu langkah-langkah membuat tuntutan dari pejabat lebuh raya tanpa prosedur mahkamah sekiranya kemalangan akibat kecuaian lebuhraya.

Sumber: Facebook

Comments

comments